( PERKONGSIAN KEPADA SEMUA) MISOMPURU TOKOU, ANSILULUM TAKA
TEKS UCAPAN
YB TAN SRI JOSEPH PAIRIN KITINGAN
PRESIDEN PARTI BERSATU SABAH (PBS)
MERANGKAP TIMBALAN KETUA MENTERI SABAH DAN MENTERI PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR SABAH
PADA 24 MAC 2013, 2.00 PETANG, HONGKOD KOISAAN, PENAMPANG
YB Tan Sri Bernard Dompok, Presiden UPKO dan AMT
YB Tan Sri Joseph Kurup, Presiden PBRS dan AMT
YBhg Datuk Henrynus Amin, Setiausaha Agung PBS Merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dan Ketua Pengarah, Operasi TATABA Sabah
Ybhg Datuk Madius Tangau, Setiausaha Agung UPKO
YBhg Datuk Johnson Tee, Setiausaha Agung PBRS
Tuan-Tuan dan Puan-puan
Selamat petang, Salam sejahtera, salam Bersatu dan Salam 1Malaysia
Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan kepada saya untuk bersama-sama YB Tan Sri Bernard Dompok Presiden UPKO dan YB Tan Sri Joseph Kurup Presiden PBRS di Majlis Perlancaran Gelombang TATABA pada petang ini.
Pertemuan kita pada petang ini adalah bertujuan untuk menyempurnakan majlis pelancaran Gelombang TATABA iaitu suatu inisiatif politik dipelopori oleh ketiga-tiga Setiausaha Agung PBS, UPKO dan PBRS. Saya bersetuju dan menyokong penuh objektif Gelombang TATABA untuk menyatu padu dan mengukuhkan sokongan masyarakat KDM kepada Barisan Nasional. Sebenarnya matlamat utama Gelombang TATABA sama dengan Gelombang Biru yang dipelopori oleh Barisan Nasional. Hanya fokus Gelombang Tataba lebih tertumpu kepada kawasan-kawasan majoriti penduduknya adalah Kadazandusun dan Murut dan hanya melibatkan tiga parti komponen BN iaitu PBS, UPKO dan PBRS.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Majoriti kaum KDM lebih kurang 62% masih tinggal di kawasan luar bandar dan walau pun majoriti dari mereka mempunyai sumber pendapatan tersendiri, namun ada golongan-golongan tertentu yang masih belum melepasi paras kemiskinan tegar dan amat memerlukan bantuan kerajaan atau mana-mana badan NGO yang dapat membantu.
Kita berkumpul di HongKod Koisaan ini sebagai tanda persetujuan untuk bekerjasama ke arah pencapaian objektif Gelombang TATABA yang menjurus ke arah membentuk masyarakat KDM yang bersatu padu, progresif, berdikari, berdaya saing, maju dan mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
Tidak dinafikan perlaksanaan Gelombang TATABA melalui Operasi TATABA adalah langkah yang tepat. Ianya melibatkan beberapa aktiviti termasuk:
- Bantuan Bibit Getah Berkualiti
- Bantuan Biji Sawit Bercambah
- Bantuan Peralatan Gereja
- Karnival Sukan Perpaduan TATABA
Saya mengalu-alukan Operasi TATABA yang telah mempelopori bantuan bibit getah berkualiti dan bantuan biji sawit bercambah yang diberikan kepada rakyat yang memerlukannya. Saya difahamkan bantuan getah 1Malaysia misalnya telah mendapat sambutan baik di 20 kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri dimana majoriti penduduknya dari masyarakat KDM. Harapan saya bantuan ini akan menjadi pemangkin semangat berdikari dan ingin maju di kalangan masyarakat KDM seluruh Sabah. Saya syorkan agar setiap penerima memanfaatkan bantuan-bantuan tersebut dan mempastikan masing-masing berusaha membuka kebun getah dan kebun sawit sebagai punca pendapatan yang lumayan.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Operasi TATABA juga melibatkan bantuan peralatan kepada gereja seperti keyboard, speaker dan PA system, kerusi plastik, genset, chainsaw, atap zink dan lain-lain. Saya difahamkan 2000 buah gereja Kristian dari berbagai denominasi telah menerima manfaat dari bantuan gereja. Saya yakin aktiviti seperti ini bukan sahaja mendekatkan parti-parti politik kepada pihak gereja tetapi secara tidak langsung kepada rakyat jelata. Saya difahamkan bahawa fasa 2 Bantuan Gereja akan dilaksanakan tidak lama lagi. Saya ucapkan terima kasih kepada penaja Operasi TATABA kerana murah hati menghulur bantuan sebagai tambahan kepada bantuan kerajaan kepada gereja-gereja di negeri Sabah.
Operasi TATABA tidak melupakan para belia dan beliawanis berumur di bawah 40 tahun. Menjelang pilihanraya ini Operasi TATABA memberi bantuan peralatan sukan termasuk T Shirt, baju jersey, bola dan lain-lain kepada 16 kawasan Dewan Undangan negeri. Melalui sumbangan ini setiap DUN boleh menganjur karnival sukan termasuk bola sepak, bola tampar dan sepak takraw yang bakal menarik penyertaan para belia dan beliawanis di bawah umur 40 tahun. Saya percaya bantuan ini akan dapat dimanafaatkan agar sukan boleh memupuk persefahaman, perpaduan dan persahabatan para belia dan beliawanis dari ketiga-tiga parti PBS, UPKO dan PBRS di setiap kawasan DUN.
Saya mengalu-alukan usaha Gelombang TATABA untuk menggubal perancangan masa panjang atau Pelan Induk KDM untuk menjana pembangunan sosio ekonomi masyarakat KDM. Pelan Induk (blueprint) KDM ini masih dalam perancangan. Namun kita semua harus menyedari matlamat perancangan masyarakat KDM tidak mungkin tercapai tanpa perpaduan, persefahaman dan kerjasama antara parti-parti politik yang mewakili masyarakat KDM.
Bagi saya cadangan kerjasama menghasilkan blueprint pembangunan masyarakat KDM adalah merupakan komitmen ketiga-tiga parti – PBS, UPKO dan PBRS – untuk meningkatkan status sosio ekonomi masyarakat KDM agar seiring dengan masyarakat-masyarakat lain di negara ini. Sebagai warga negara Malaysia, masyarakat KDM berhak untuk menuntut dan menikmati pembangunan yang adil dan saksama ke arah pencapaian objektif Wawasan 2020.
Masyarakat KDM harus diberi peluang bukan sahaja dalam bidang pertanian tetapi juga aktiviti ekonomi bukan berasaskan pertanian seperti pembuatan, pembinaan, perdagangan, perhotelan dan sebagainya.
Oleh yang demikian kita harus meletakkan tanda aras pencapaian kita sebagai satu kelompok masyarakat di Malaysia melalui perlaksanaan pembangunan di kawasan-kawasan kita. Namun kejayaan kita terletak kepada keupayaan kita untuk memikirkan, menggubal dan melaksanakan idea-idea baru yang boleh membantu masyarakat kita. Saya yakin inisiatif Gelombang TATABA ini walau pun baru bermula menggambarkan usaha-usaha kepimpinan KDM dalam PBS, UPKO dan PBRS ke arah pembangunan masyarakat KDM baik dari segi minda mahu pun pembangunan sosio ekonomi rakyat. Jadi kita menyokong usaha baik ini agar ianya berjaya mencapai objektifnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Untuk menjadikan Gelombang TATABA ini lebih bermakna dan berkesan, saya syorkan agar ianya merangkumi pembangunan minda, jatidiri bangsa dan kecekapan. Saya menyeru masyarakat KDM agar menguasai cara berfikir yang betul seiring dengan perubahan zaman. Kita tidak boleh menyelasai masalah-masalah masa kini dengan cara berfikir tahun enam puluhan. Falsafah Gelombang TATABA merangkumi transformasi minda, pembentukan jatidiri dan kecekapan untuk menjana bangsa yang berdikari, bermaruah, berdaya saing, maju dan mampu. Kita harus berkeupayaan melihat jauh ke hadapan. Kita harus melihat potensi kita sebagai pemangkin kemajuan bukan sahaja bagi masyarakat kita tetapi bagi menjana kekayaan negara keseluruhannya.
Harapan saya agar Gelombang TATABA bakal melahirkan masyarakat yang membudayakan sifat-sifat positif seperti rendah hati, mengasihi, berdikari, rajin bekerja, bertolak ansur, berdisiplin, saling hormat menghormati dan lain-lain lagi.
Gelombang TATABA mempastikan masyarakat KDM khusus generasi baru memiliki kecekapan untuk menjana membangun bangsa mereka ke tahap lebih tinggi. Kecekapan ditakrifkan sebagai keupayaan mengguna masa, talenta (bakat semula jadi) dan sumber alam untuk menjana kekayaan bagi diri mereka, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Kita boleh mencapai objektif kita sekiranya kita pertingkatkan program-program latihan untuk masyarakat kita khusus generasi muda seperti kursus-kursus, seminar-seminar, bengkel-bengkel, ceramah-ceramah dan harus diadakan diseluruh negara.
Harapan saya agar Gelombang TATABA bakal melahirkan masyarakat berdikari yang pandai berfikir, memiliki karakter (jatidiri) dan kecekapan untuk menguna khazanah Tuhan untuk menjana kekayaan bagi kepentingan bangsa dan negara. Gelombang TATABA sudah pasti bakal mengutamakan pembangunan infrastruktur serta prasarana luar bandar selain membawa masyarakat KDM ke arah masyarakat yang lebih kuat dan bersatu padu.
Dalam kesempatan ini, saya berterima kasih kepada masyarakat akar umbi KDM khusus ahli-ahli dan penyokong-penyokong PBS, UPKO dan PBRS kerana telah meneruskan suara dan terus mendesak untuk perpaduan KDM.
Akhir sekali, saya ingin mengingatkan rakyat jelata bukan sahaja kepada masyarakat KDM tetapi semua kaum di negeri Sabah bahawa kita harus meneruskan agenda perpaduan dalam Barisan Nasional. Kita baru sahaja dikejutkan dengan peristiwa berdarah pencerobohan penganas di Lahad Datu. Pencerobohan ini mengingatkan kita bahawa ancaman musuh wujud dan nyata sekali. Ancaman ini bukan sandiwara politik tetapi merupakan sebahagian dari “grand design” pihak tertentu untuk menjejas kedaulatan negara kita.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Saya amat terkilan dengan kenyataan pihak tertentu yang jelas menghina dan mempersoal status masyarakat KDM di negeri Sabah sebagai penduduk asal negeri Sabah ini. Mereka berselindung di bawah badan-badan NGO yang tidak diketahui agenda sebenar mereka. Saya tekankan PBS berpegang teguh kepada definasi Anak Negeri yang digubal oleh kerajaan dan termaktub dalam perlembagaan. Mereka yang datang menceroboh tidak berhak untuk memijak di bumi Sabah. Ada musuh negara menggambarkan bahawa pendatang asing dari luar negeri Sabah yang menceroboh masuk secara haram adalah penduduk asal negeri Sabah. Pendirian PBS mengenai perkara ini jelas. Warga negara asing tidak berhak terhadap negeri Sabah walau seinci pun. Kedaulatan sesebuah negara bukan terletak kepada tuntutan politik yang sudah lapuk tetapi haruslah berdasarkan kepada kehendak rakyat yang menduduki sesebuah wilayah negara tersebut. Oleh yang demikian, kedaulatan negeri Sabah terletak kepada rakyat Malaysia yang tinggal dan menetap di negeri Sabah. Soal siapa pemilik negeri Sabah tidak perlu dibahas lebih panjang. Negeri Sabah dimiliki rakyat Malaysia di negeri Sabah dan mereka sudah menentukan masa depan mereka apabila menyertai gagasan Malaysia dalam tahun 1963.
Dalam konteks ini, PBS telah bekerjssama dan akan terus memberi kerjasama dengan parti-parti komponen dalam BN termasuk UMNO, UPKO, PBRS, LDP, gerakan, MCA, dan MIC untuk menjayakan pencapaian matlamat penubuhan RCI mengenai pendatang tanpa izin.
PBS akan bekerjasama dengan UPKO dan PBRS mempastikan bahawa masyarakat KDM tidak akan terpinggir. Kita akan menggagalkan percubaan atau agenda untuk menukar demografi politik negeri Sabah.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Dalam pada itu, Pelan Induk KDM yang sedang digubal mengutamakan agenda pembangunan masyarakat KDM. Ianya harus membantu masyarakat KDM dimana merasakan diri mereka terabai selama ini. Usaha Gelombang TATABA bukan pengganti kepada usaha kerajaan. Sebaliknya Gelombang TATABA memerlukan bantuan kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk mencapai tujuannya. Masyarakat KDM memerlukan persefahaman dan sokongan masyarakat Cina, Melayu, Bajau dan lain-lain.
Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada ketiga-tiga Setiausaha Agung PBS, UPKO dan PBRS atas kerjasama mereka untuk menjayakan program, Gelombang TATABA ini. Saya yakin kejayaan pencapaian Gelombang TATABA mempunyai kesan positif terhadap keharmonian kaum dan keamanan negara. Saya melihat bahawa kerjasama erat sudah bermula ketika program agihan bibit getah dan bantuan gereja dilaksanakan. Pemimpin-pemimin dari ketiga-tiga parti ini telah bekerjasama di semua peringkat baik peringkat negeri, mahu pun peringkat DUN, PDM dan kampung. Kejayaan Fasa 1 perlaksanaan Operasi TATABA menggambarkan masa depan program ini cerah dan kita semua yang hadir disini menyokong agenda ini.
Saya, selaku Presiden PBS, sesungguhnya mengalu-alukan persahabatan dengan UPKO dan PBRS dalam kerangka kerjasama Barisan Nasional. Kita sama-sama meneruskan sokongan kita kepada YAB Perdana Menteri yang kita hormati. Demikian juga, kita harus memberi kerjasama dan komitmen kepada Ketua Menteri Sabah untuk meneruskan agenda pembangunan negeri Sabah. Pilihanraya sudah diambang pintu. Kita harus bersiap sedia untuk menghadapai kemungkinan pilihanraya bila-bila masa. Marilah semua masyarakat KDM bangkit dan maju ke hadapan berjuang demi masa depan kita dan anak-anak kita.
Sekian dan terima kasih.