Wednesday, June 25, 2008

Keluarga penoreh getah dirompak

Borneo Post

Kumpulan bertopeng, bersenjata larikan RM3,000 hasil jualan getah, dua telefon bimbit, 11 ahli keluarga tidak dicederakan

SIBU: Lapan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang, pisau dan pistol bertindak nekad merompak sebuah keluarga penoreh getah di Pradom kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat bandar di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, kumpulan lelaki berkenaan yang dikatakan berbahasa Indonesia melarikan hasil jualan getah bernilai kira-kira RM3,000 dan dua telefon bimbit.

Bagaimanapun 11 orang ahli keluarga terbabit dengan lapan orang daripada mereka kanak-kanak, tidak dicederakan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihak polis kini sedang memburu kumpulan perompak terbabit serta mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai rompakan bersenjata yang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Katanya, sehingga kini pihak polis telah menahan 11 orang termasuk 10 orang warga Indonesia untuk membantu siasatan.

Terdahulu sebelum kejadian, kumpulan lelaki berkenaan dipercayai masuk secara senyap melalui pintu dapur sebelum menahan seorang kanak-kanak berusia enam tahun.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan sedang berseorangan di dapur untuk minum air manakala ahli keluarganya yang lain sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Kehadiran kumpulan lelaki berkenaan hanya disedari selepas kanak-kanak berkenaan menjerit minta dilepaskan.

Ibu mangsa yang terdengar jeritan mangsa kemudian bergegas ke dapur lalu turut ditahan oleh kumpulan terbabit yang bertindak menutup muka mereka dengan tuala.

Kumpulan perompak berkenaan kemudian membawa mangsa dan ibunya ke ruang tamu sebelum mengikat tangan kedua-dua mereka serta ahli keluarganya yang lain dengan menggunakan pita pelekat.

Menurut ibu mangsa ketika ditemui di tempat kejadian, dia dan empat orang anaknya baru sahaja tiba dari Miri untuk bercuti.

“Salah seorang daripada perompak terbabit telah menengking kami supaya tidak melawan dan menuruti arahan mereka.

“Mereka kemudiannya meminta wang tetapi kami tidak boleh bercakap kerana mulut kami ditampal dengan pita pelekat,” jelasnya yang masih terkejut dengan kejadian itu. Salah seorang daripada perompak terbabit kemudian menanggal pita pelekat itu dari mulut mangsa.

Menurut mangsa, dia yang bimbang akan dicederakan kemudian segera menunjukkan hasil simpanan daripada jualan getah mereka kepada perompak terbabit.

Katanya, perompak turut bertindak menyelongkar barangan di dalam rumah mereka sebelum meninggalkan tempat kejadian beberapa minit kemudian.

Sebaik sahaja perompak terbabit melarikan diri, keluarga malang itu bertindak menanggalkan ikatan sebelum meminta bantuan daripada jiran dan pihak polis.

Sepasukan anggota polis termasuk Unit Anjing (K-9) bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, pihak polis turut meminta bantuan daripada orang awam untuk melaporkan sebarang perkara yang mencurigakan.

'Usul undi tidak percaya tunggu masa sesuai

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun berkata, Parti Maju Sabah (SAPP) tetap akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden SAPP menafikan laporan sebuah akhbar hari ini bahawa beliau tidak pernah menyatakan persetujuan untuk menyokong usul tersebut.

Katanya, apa yang belum pasti sebenarnya ialah masa untuk berbuat demikian.

Menurutnya, mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP sendiri tidak pernah memutuskan untuk mengemukakan usul tersebut semalam.

''Usul itu tetap akan diteruskan tetapi tidak semestinya daripada saya, mungkin juga ada orang lain yang akan kemukakan. Pada masa ini tidak ditentukan bila akan dibuat, kita mencari masa yang sesuai nanti,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberitahu, meskipun usul itu tidak dikemukakan pada mesyuarat kedua penggal pertama Parlimen ke-12 yang bermula semalam, tidak semestinya ia tidak akan dikemukakan langsung.

Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, timbul tanda tanya apabila dua Ahli Parlimen dari SAPP iaitu Majimbun dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau) tidak hadir untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Rabu lalu, Teck Lee menyatakan pendirian SAPP bahawa parti itu hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri dan dua ahli Parlimennya akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap beliau.

Mengulas lanjut, Majimbun berkata, meskipun keputusan untuk menyokong usul undi tidak percaya itu mendatangkan risiko terhadap masa depan politiknya, ia terpaksa dilakukan demi kepentingan rakyat Sabah.

Jelasnya, apa yang dilakukan bukanlah untuk kepentingan peribadi atau kerana mendapat tawaran dan sogokan daripada pihak tertentu.

"Apa yang saya buat bukanlah untuk kepentingan peribadi tetapi bagi membela nasib rakyat Sabah," katanya.

Menurut Majimbun, beliau tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat semalam kerana sebab yang tidak dapat dielakkan termasuk faktor keselamatan dan melawat saudaranya yang meninggal dunia.

Berikutan itu, beliau memohon bercuti daripada mengikuti persidangan Dewan minggu ini.

Majimbun turut mengakui menerima panggilan berbentuk ugutan daripada pihak tertentu sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, beliau tidak bercadang membuat laporan polis kerana tidak dapat mengenal pasti identiti pemanggil tersebut.

Tanam getah secara komersial

Borneo Post

Sarawak sedia usahakan penanaman getah secara besar-besaran
KUCHING: Sarawak bersedia mengusahakan penanaman getah secara besar-besaran sebagai sokongan kepada hasrat Kerajaan Persekutuan membangunkan industri getah di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Jemut Masing mengalu-alukan kemasukan Lembaga Pembangunan Pekebun Kecil Industri Getah (RISDA) ke Sarawak untuk memajukan penanaman getah di kawasan-kawasan luar bandar negeri ini.

Menurutnya, permukaan bumi di negeri Sarawak khususnya di kawasan luar bandar adalah lebih sesuai untuk pokok-pokok getah berbanding pokok-pokok kelapa sawit.

“Saya gembira kerana RISDA akhirnya memasuki Sarawak. Bagi saya, getah adalah tanaman yang sangat bagus bagi kawasan luar bandar.

“Pertama, ini disebabkan oleh permukaan bumi yang lebih sesuai bagi getah berbanding kelapa sawit.

“Kedua, budaya penanaman dan penorehan getah sudah sebati dengan para penduduk luar bandar sementara penanaman kelapa sawit masih baru bagi mereka,” katanya ketika ditemu ramah, Isnin lalu.

Beliau mengulas mengenai peruntukan RM32.5 juta daripada RISDA untuk membangunkan industri getah di Sarawak dan projek pertama di negeri ini yang membabitkan kawasan tanah seluas 2,500 hektar di Betong dan Saratok dijangka bermula pada bulan Ogos.

Projek itu akan bermula sejurus selepas agensi persekutuan itu menubuhkan pejabat dan menyediakan kemudahan di sini sebagai susulan kepada rancangan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan industri getah di Sarawak.

Pengerusi RISDA Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata di Kuala Lumpur pada Ahad lepas, kemasukan RISDA ke Sarawak adalah hasil perbincangan selama lebih setahun yang diadakannya dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Daripada RM32.5 juta, Rahim berkata RM28 juta adalah untuk membiayai projek berkenaan termasuk bekalan bahan mentah manakala bakinya adalah untuk pejabat cawangan Sarawak yang akan dikendalikan oleh kakitangan berpengalaman serta untuk pengambilan kakitangan baru.

Masing berkata beliau turut terbabit semasa RISDA mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri dan ahli-ahli kabinet negeri tahun lalu.

Beliau memberitahu kawasan tanah seluas 14,000 hektar lagi di Lubok Antu mungkin akan dimajukan juga oleh RISDA.

“Saya menemui mereka (RISDA) pada tahun lepas, malah saya meninjau ladang-ladang getah mereka di Semenanjung.

“Saya memberitahu mereka ‘anda patut datang ke Sarawak’, kerana di Semenanjung, getah bersaing dengan kelapa sawit untuk tanah.

“Di Sarawak, saingan adalah kurang kerana sebahagian daripada tanah di sini tidak sesuai untuk kelapa sawit tetapi tidak bermasalah bagi getah,” katanya.

Masing, yang diketahui amat meminati bidang pertanian, memberitahu beliau sendiri ada menanam biji-biji getah di ladangnya di sini dan beliau sudah biasa dengan tanaman berkenaan.

Memandangkan harga getah sekarang bagus di pasaran, Masing berkata sudah tiba masanya para pekebun kecil di kawasan luar bandar menanam getah untuk menambah pendapatan.

“Kelapa sawit juga bagus tetapi kerja-kerjanya berat dan banyak menggunakan tenaga kerja.

“Bagi getah pula, kita hanya perlu bangun awal pagi dan meluangkan masa selama dua hingga tiga jam di ladang. Tiada banyak masalah,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, selepas mesyuarat dengan para pegawai RISDA di sini pada 18 Jun, mengumumkan bahawa pembangunan ladang getah akan dibuat berdasarkan konsep usaha sama tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Jabu berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar.

Sunday, June 22, 2008

SAPP patut keluar





Keningau : Usaha parti SAPP untuk membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri adalah sesuatu yang kurang wajar dan bertentangan dengan prinsip permuafakatan Barisan Nasional (BN). Dimana tindakan parti tersebut bukan sahaja membuang masa tetapi memakan diri sendiri ( parti SAPP).

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berkata, jika SAPP terus membuat pendirian untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri yang merupakan Pengerusi BN, maka langkah terbaik bagi parti itu ialah keluar dari BN.

” Mereka (SAPP) tidak akan berjaya ( usul tidak percaya) kerana tidak akan mendapat sokongan majoriti,” kata Kurup mengulas pendirian SAPP yang mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam.

Kurup yang juga merupakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, adalah sama sekali tidak baik untuk SAPP merancang untuk membuat usul tidak percaya kepada pucuk pimpinan kerana ia mengugat serta mengancam BN.

Dalam soal itu kata Kurup , tidak wajar bagi SAPP terus mendapat perlindungan serta kemudahan dari BN tetapi pada masa yang sama menderhaka.

Kurup juga menegaskan parti PBRS memberi sokongan penuh tanpa berbelah bagi kepada pucuk pimpinan BN.

” Pada waktu dimana kesetiaan kita tercabar...PBRS tetap bersama dengan BN. Pendirian kami adalah teguh,” kata Kurup dalam satu kenyataan disini sebelum berlepas ke India dalam rangka kerja rasmi kementerian itu.

Menurut Kurup, PBRS seperti mana parti-parti komponen BN yang lain telah mengemukakan permohonan demi kepentingan rakyat di negeri Sabah.

” Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri baru-baru ini kita semua diberi jaminan oleh pucuk pimpinan , bahawa segala permintaan parti-parti di negeri ini akan diberi perhatian. Saya percaya beliau (PM) mempunyai pertimbangannya sendiri,” kata Kurup.