Wednesday, April 30, 2008

Krisis diesel di Miri kritikal

Oleh SUMI MALENG, Utusan Malaysia

MIRI 29 April - Krisis minyak diesel di bandar raya Miri bertambah buruk hari ini apabila 14 daripada 20 stesen minyak di sini kehabisan kouta bahan api itu.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati hampir kesemua stesen minyak di sini kehabisan bekalan dan agak lenggang berbanding hujung minggu lalu.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku di beberapa stesen minyak yang masih mempunyai bekalan terutama di Stesen Minyak Lambir yang terletak di pinggir bandar raya ini.

Keadaan itu menyebabkan perhatian pemilik kenderaan yang menggunakan minyak diesel mulai berbaris panjang untuk mendapatkan minyak diesel dari stesen tersebut.

Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri, Zakaria Awang berkata, sepuluh stesen minyak milik Shell dan empat stesen minyak Petronas kini kehabisan kouta minyak diesel.

Katanya, hanya enam daripada 20 stesen minyak di bandar raya ini yang masih mempunyai bekalan bahan api berkenaan.

"Kita juga sudah meminta bantuan daripada wakil rakyat di sini, untuk menjelaskan situasi dan keperluan sebenar penduduk khususnya dari pedalaman terhadap penggunaan minyak diesel kepada pihak atasan kementerian.

"Bekalan tambahan termasuk penyaluran bekalan dari depot minyak di sini harus disegerakan, meskipun secara keseluruhannya keadaan masih boleh dikatakan terkawal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mendapati pertambahan bilangan kenderaan berat dan lori pengangkut menjadi antara punca berlakunya kekurangan bahan api berkenaan.

''Berbeza dengan Semenanjung, pengguna di Sabah dan Sarawak khususnya Miri, ramai menggunakan kenderaan yang kita kategorikan sebagai kenderaan berat dan besar termasuk pacuan empat roda.

''Kenderaan berat popular di sini disebabkan ia bersesuaian dengan keadaan jalan dan bentuk muka bumi di sini yang sangat berbeza berbanding di Semenanjung,'' katanya.

Justeru menurut beliau, penggunaan minyak diesel di kalangan pemilik kenderaan di Sarawak amat popular kerana ia bersesuaian dengan keadaan dan keperluan mereka.

''Kita amat memahami keperluan penduduk khususnya yang datang dari sekitar kawasan pedalaman sama ada di Sabah mahupun Sarawak,'' katanya.

Ditanya sampai bila penduduk di Miri akan berdepan dengan masalah ini, beliau berkata, pihaknya sedang berusaha untuk memastikan bekalan minyak diesel dapat disalurkan seperti biasa mulai esok.

''Saya harap penduduk bersabar kerana kita juga bersimpati dengan kesulitan yang mereka hadapi sekarang," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

Hai,

Seingat saya dulu pernah Prof daripada Philippine telah menemui satu alternatif iaitu penggunaan AIR juga boleh menggerakkan sebuah enjin kenderaan.

Akan tetapi agak malangnya Prof tersebut dibunuh tanpa sempat mendedahkan Formula tersebut. Beginilah kalau pengusaha minyak selama ini telah sekian lama mengaut keuntungan melalui dengan penjualan minyak.

Mereka takut jatuh bankrap lalu upah Pembunuh Upahan.

Kesian dan Rugi besar.