Tuesday, May 13, 2008

Hentikan Desakan dan beri masa : Kurup

oleh Rozie Jumat

Keningau : Hentikan desakan mengenai tuntutan dan beri Perdana Menteri ( Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) masa. Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berkata demikian bagi mengulas beberapa kenyataan yang disuarakan oleh ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah mengenai tuntutan dan peranan wakil rakyat di dalam kerajaan pusat.

Menurut Kurup, beliau memahami niat murni ahli-ahli parlimen itu untuk meminta lebih banyak peranan di dalam kerajaan pusat setelah memberikan kemenangan besar malahan sebagai penyumbang kepada pemerintahan BN sekali lagi di negara ini selepas pilihan raya umum ke 12.

Bagaimanapun kata Kurup beliau berpendapat perdana menteri harus diberi peluang untuk membuat tindakan sebagaimana yang telah dipersetujui semasa pertemuan antara parti-parti komponen BN sebelum ini di Kota Kinabalu.

“ Kita semua telah membuat permintaan terhadap perdana menteri semasa pertemuan itu atas aspirasi yang diberikan oleh rakyat yang berada di belakang kita. Oleh itu kita harus reda dan bersabar menunggu beliau ( Abdullah ) untuk membuat tindakan terhadap apa yang telah kita (BN Sabah) kemukakan ,” kata Kurup dari Kuala Lumpur, yang sedang menghadiri persidangan parlimen.

Menurut Kurup, PBRS seperti juga dengan komponen parti yang lain telah membuat tuntutan kepada kerajaan pusat , dan Perdana Menteri telah memberi perhatian kepada permintaan-permintaan yang dikemukakan.

“ Tidak perlulah kita ungkit-ungkit dahulu. Kita beri peluang kepada beliau (Abdullah) untuk meneliti dahulu apa yang kita telah kemukakan,” ujar Kurup, yang berkeyakinan perdana menteri selaku Pengerusi BN telah mengambil perhatian ke atas kesemua yang telah disuarakan oleh parti-parti komponen dari Sabah.

Sementara itu Kurup yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata, mandat dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan BN haruslah dihormati oleh semua pihak termasuk pembangkang.

“ Sebuah kerajaan yang dibentuk melalui perbuatan melompat wakil rakyat adalah kerajaan yang tidak akan mendapat penghormatan sepenuhnya. Malahan ia adalah sebuah kerajaan yang tidak diyakini oleh rakyat ,” kata Kurup membidas usaha Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Anwar Ibrahim yang sedang secara perang saraf mempengaruhi wakil-wakil rakyat dari negeri Sabah untuk menyertai parti pembangkang atas cubaan mengambil alih kepimpinan negara.

Kata Kurup melihat kepada peratusan undi , rakyat secara keseluruhannya masih lagi memberi sokongan padu kepada BN dimana semua pihak harus menghormatinya.

Oleh itu kata Kurup adalah lebih baik bagi Anwar untuk menumpukan perhatian dan menjalankan tanggungjawab beliau sebagai seorang ketua pembangkang didalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Sehubungan dengan itu kata Kurup yang juga merupakan Ahli Parlimen Pensiangan , mandat rakyat terhadap BN haruslah dihormati sehingga tempohnya berakhir.

No comments: