Friday, November 23, 2012

Pairin tinjau stesen keretapi sejauh 134 km



   TINJAU..Pairin dan Mohd Zain di Stesen Keretapi Tanjung Aru sebelum memulakan lawatan   menaiki keretapi sejauh    134    sehingga ke Tenom.
TENOM : Kemudahan dan perkhidmatan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) akan terus dipertingkatkan demi menjamin keselesaan pengguna, sebagai pengangkutan yang berkesan, disukai ramai dan anjakan kepada sektor pelancongan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastuktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama kakitangan di Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI)  dan agensinya Jabatan Keretaapi telah membuat tinjauan dari stesen ke stesen bermula dari Stesen Tanjung Aru (Kota Kinabalu) sehinggalah ke Stesen Keretapi Tenom. Hadir sama Pembantu Menteri, Datuk Japlin Akim, Setiausaha Tetap KPI Datuk Felix Madan dan Pengurus Besar JKNS  Mohd Zain Hj Mohd Said.

Pairin berkata, tinjauan ke dari stesen ke stesen sejauh 134 kilometer itu adalah bertujuan untuk meninjau persiapan mempertingkatkan perkhidmatan keretapi kepada rakyat.
Pairin dan rombongan menaiki keretapi bermula dari Tanjung Aru dan bertukar kepada pengangkutan railbus dari Beaufort ke Tenom dengan menyinggah 13 buah Stesen Penumpang serta 1 buah Stesen Terminal Muatan Barang sepanjang 134km.
“Perkhidmatan pengangkutan keretapi di Sabah telah wujud sekian lama sejak zaman British dan merupakan pengangkutan utama penduduk bukan sahaja untuk ke kawasan laIn tetapi juga mengangkat komoditi pertanian untuk dipasarkan khususnya dari kawasan pedalaman ke Bandar,” kata Pairin dalam satu sidang media di sebuah hotel disini.

Pairin berkata, hasil tinjauan dan lawatan yang dibuat telah melihat keperluan pembaikan dan peningkatan infrastruktur, termasuklah mempertingkatkan soal keselamatan rel.
“Kerajaan juga telah membuat kajian mengenai fakor keselamatan yang dilakukan oleh konsultan. Namun lebih cepat laporan itu diberikan kepada kementerian, maka lebih cepat dibawa ke mesyuarat kabinet untuk dibincangkan,” kata Pairin ketika ditanya mengenai kajian peningkatan keselamatan yang dijalankan oleh konsultan.
Katanya, kajian itu akan mencadangkan apa yang perlu untuk membaiki keadaan.
Selain itu kata Pairin pelbagai kemudahan kepada pengguna akan dipertingkatkan seperti kemudahan tandas, perhentian berbumbung terutama di stesen yang menjadi tumpuan pengguna di stesen-stesen keretapi.
“Kerajaan memandang jauh ke hadapan dalam meningkatkan perkhidmatan keretapi kepada masyarakat, bukan sahaja kepada perkhidmatan sedia ada , kita juga memperhatikan perkhidmatan kepada kawasan lain dengan dorongan ramai yang suka dengan pengangkutan keretapi,” kata Pairin.
Jelasnya, jabatan keretapi juga berperanan dalam menganjak kepada kedatangan pelancong ke kawasan luar Bandar yang menawarkan eko pelancongan khususnya water rafting di Sungai Padas.

No comments: