Friday, March 21, 2008

Dr Chan nafi khabar angin Richard Riot keluar parti

The Borneo Post ( Sarawak)

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan menafikan ada menerima surat keluar parti daripada Ahli Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem, sekali gus menafikan desas-desus yang kedengaran ketika ini.

“Saya harap ia (khabar angin) tidak benar. Saya juga tidak menerima apa-apa surat daripada ahli-ahli SUPP Cawangan Serian mahu keluar parti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengesahkan desas-desus yang menyatakan Richard bercadang keluar parti bersama kira-kira 300 ahli SUPP Cawangan Serian kerana kecewa tidak ditawarkan apa-apa jawatan dalam Kabinet Persekutuan yang diumumkan awal minggu ini.

“SUPP ada mengemukakan nama Richard untuk dipertimbangkan dalam Kabinet Persekutuan sebagai Setiausaha Parlimen.

“Saya tahu Bidayuh tidak berapa gembira dengan situasi ini. Apatah lagi (bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) Datuk Dr Tiki Lafe yang dahulu satu-satunya Bidayuh dalam kabinet digugurkan,” kata Dr Chan ketika dihubungi semalam.

Malah, nama Ahli Parlimen Mambong Datuk Dr James Dawos daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga berketurunan Bidayuh tidak tersenarai dalam barisan kabinet.

Nama beliau juga dipercayai telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk dipertimbangkan.

Sumber dari Tebakang - salah satu Cawangan Kecil SUPP - ketika ditemui semalam memberitahu, ada beberapa ahli SUPP Cawangan Serian datang ke rumahnya untuk mengambil kad keahlian SUPP daripadanya. Dia bersetuju menyerahkan kad berkenaan.

Menurutnya, selain cawangan kecil Tebakang, empat cawangan lain turut serta bercadang keluar parti ialah Tebedu, Ranchan, Mongkos dan Balai Ringin.

Tambahnya, Richard mengadakan mesyuarat cawangan pada malam Selasa minggu ini untuk membincangkan perkara berkenaan.

“Keesokan hari (Rabu) beliau membawa kad keahlian SUPP kira-kira 300 orang kepada Dr Chan di Kuching dengan hanya meletakkan di atas meja,” jelas beliau.

Katanya, selepas menghantar kad-kad dan surat permohonan keluar parti, Richard terus beredar.

Richard enggan memberi sebarang ulasan dan kini berada di luar negara.

Setiausaha Agung SUPP Datuk Sim Kheng Hui juga gagal berjumpa dengan Richard meskipun difahamkan Sim pergi sendiri ke rumah Richard di Tebakang, katanya.

Sim gagal dihubungi untuk sebarang ulasan.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Datuk Michael Manyin yang dihubungi juga menafikan dakwaan Richard keluar parti.

Katanya, pelantikan seseorang ke dalam kabinet terletak atas budi bicara Perdana Menteri dan pucuk pimpinan parti hanya mengemukakan nama-nama yang dicadangkan. Keputusan akhir dibuat Perdana Menteri.

“Saya harap komuniti Bidayuh bersabar (kerana tidak ada perwakilan dalam Kabinet Persekutuan) dan tidak mengambil tindakan drastik,” katanya.

Selain Richard, Wakil Rakyat komuniti Bidayuh daripada SUPP ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh Dr Jerip Susil dan ADUN Opar Ranum Mina.

Kedua-duanya enggan memberi sebarang ulasan berkaitan isu terbabit.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini, Richard menewaskan pencabarnya daripada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Sylvester Belayong Jayang.

No comments: