Saturday, May 24, 2008

Reda dengan ketentuan Tuhan ...






“ Jika dia bersekolah dia sepatutnya sudah berada di tingkatan 2, sebagai anak lelaki dia boleh membantu kami sekeluarga bekerja di kebun atau mengikut ayahnya memburu,” begitulah luahan rasa hati seorang ibu yang terpaksa mengendong dan membawa ke mana sahaja anaknya yang telah berusia 14 tahun namun masih seperti seorang bayi yang berusia 1 tahun.

Ogos bin Embang, 57 tahun ibu kepada Ramli bin Sosor, dari kampung Korobot, Keningau berkata, sejak anaknya dilahirkan beliau terpaksa memikul anak bongsunya itu sama ada ke kebun atau membuat urusan lain kerana hanya itu yang mampu dilakukanya. Sementara anak-anak beliau yang seramai 11 itu ada yang telah berkeluarga.

Menurut Ogos, ketika dilahirkan pada 10 Disember 1994 Ramli berada di dalam keadaan yang sihat. Namun selepas berusia 5 bulan Ramli telah diserang sawan sebanyak tiga kali. Bagaimanapun beliau menganggapnya sebagai perkara biasa kerana ia juga terjadi kepada mana-mana anaknya sebelum ini.

Bagaimanapun mereka sedar sesuatu yang tidak normal telah berlaku terhadap anak bongsu itu apabila Ramli tidak membesar seperti kanak-kanak yang lain. Ogos dan suaminya, Sosor Aling telah menghantar anak mereka untuk diperiksa di Klinik Desa Ansip dan namun anaknya disahkan sihat. Melalui klinik itu Ramli telah diberikan bantuan makanan sehingga berusia 6 tahun.

Mereka menerima ketentuan ilahi dengan hati yang lapang dan akan terus menjaga anak istemewa itu selagi hayat di kandung badan, tanpa merasa terbeban. Namun mereka juga mengharapkan agar adanya tangan-tangan yang ringan untuk membantu dan berkongsi ketentuan itu.

Kelurga miskin berbangsa Murut itu juga berkata pernah membuat permohonan bantuan kebajikan tetapi tidak lulus. Sehubungan dengan itu Ogos amat mengharapkan agar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat membantu beliau kerana usia beliau semakin lanjut untuk menjaga Ramli.

Ketika tentang apakah bentuk bantuan yang diperlukannya, Ogos berkata beliau memerlukan bantuan kewangan untuk memastikan anaknya itu mendapat pemeriksaan rawatan di hospital dimana mereka sekeluarga tidak berkemampuan kerana tidak mempunyai sumber pendapatan.

Menurut Ogos, Ramli diberi makan bubur sepanjang hidupnya dan tidak mempunyai banyak karenah. Ramli juga tidak mempunyai barang-barang permainan, jauh sekali memiliki baby walker yang memudahnya bergerak. Bukan itu sahaja Ramli yang kelihatannya kekurangan vitamin itu juga mempunyai kulit bersisik selain rambut yang mulai berkurangan.

Daily Express yang bertandang ke rumah keluarga itu juga diberitahu , Ramli tidak mampu bercakap dan hanya memandang para tetamu dengan pandangan sayu. Siapa yang tahu apa di fikirannya. Namun ketika menghulurkan tangan untuk bersalam Ramli menyambutnya.

Pengerusi Persatuan Wanita Sabah (Pewasa) bahagian Keningau, Nancy Datuk Angian berkata, pihak beliau amat bersimpati dengan apa yang berlaku terhadap Ramli bin Sosor, dan perlu mendapat bantuan masyarakat. Sehubungan dengan itu katanya pihak Pewasa amat mengalu-alukan sumbangan dan bolehlah disalur kepada pihak Pewasa dengan menghubungi Carol Udang HP 0195366266.

Dimana katanya antara barangan keperluan yang diperlukan Ramli ialah seperti baby walker yang membolehkan Ramli tidur atau berbaring dengan selesa serta bergerak dengan bebas, tilam, vitamin , permainan, makanan kesihatan dan sebagainya yang tergerak di hati masyarakat pedalaman yang prihatin. Barang – barang itu akan dihantar minggu depan dengan kerjasama antara Pewasa, Kelab Lions dan Persatuan Ibu Tunggal Keningau ujarnya.

Wakil dari Persatuan Ibu Tunggal Keningau, Carol Udang berkata, pada lawatan yang akan datang pihaknya akan membawa bersama Kebajikan , Jabatan Pendaftaran dan pihak Hospital agar dapat membantu keluarga itu.

“ Ramli telah berusia 14 tahun dan beliau lebih dari layak memiliki kad pengenalan meskipun keadaannya sedemikian. Ramli mempunyai hak untuk mempunyai kad pengenalan ,” kata Carol. Menurutnya kemungkinan besar antara penyebab tumbesaran Ramli terganggu adalah disebabkan demam panas.

1 comment:

Anonymous said...

Rancang keluarga sebelum terlambat..