Thursday, July 3, 2008

HANTAR PTI PULANG : PAIRIN






oleh Rozie Jumat
Keningau : Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang tidak mempunyai pekerjaan dan dokumen harus dihantar pulang dengan segera kerana kehadiran mereka yang semakin ramai membebankan kerajaan dan rakyat di negeri ini. Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, tidak ada sebab untuk tidak menerima mereka jika mempunyai dokumen yang membolehkan mereka berada di negeri ini untuk mencari rezeki.

Pairin yang juga merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, cadangan pemberian status penduduk tetap ( PR) kepada pendatang yang telah lama berada di negeri ini boleh dipertimbangkan berasaskan undang-undang negara.

“ Pemberian status PR itu sendiri tidak semestinya mereka ( orang asing) boleh menjadi warganegara kerana ada tempoh tertentu untuk menilai kelayakan seseorang untuk menjadi rakyat di negara ini,” kata Pairin mengulas kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Luar Negara Filipina di akhbar ini kelmarin (rabu).

Katanya pandangan untuk memberi status PR terhadap rakyat asing (PTI) di negeri ini perlu penelitian secara spesifik , matlamat-matlamat tertentu dan sasaran. Bagaimanapun katanya pihak kedutaan yang berkenaan tetap akan diminta untuk memberi rekomendasi.

Pemberian status PR juga harus diperhalusi dan berdasarkan undang-undang agar tidak menyakiti hati rakyat tempatan ujar Pairin. Beliau menganggap cadangan tersebut bukanlah tidak baik tetapi perlu dipertimbangkan dengan asas undang-undang.

“Kita mahu meningkatkan hubungan yang baik berlandaskan peraturan, polisi, dasar dan undang-undang. Oleh itu ia harus ada kerjasama dan persefahaman tanpa menjejaskan sebuah keluarga yang besar iaitu Asian terutamanya negara-negar jiran kita, kata Pairin yang merasmikan majlis upacara Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Keningau disini khamis.

“Apa yang kami mahu ialah PTI ini mempunyai dokumen yang sah untuk berada di Sabah, tanpa dokumen yang kami mahu, ia adalah salah disisi undang-undang negara ini. Jadi menghantar mereka pulang adalah jalan terbaik,” kata Pairin. Beliau juga memberitahu kehadiran ramai PTI di negeri ini mencetuskan masalah sosial dan kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan.

Pairin juga meminta majikan yang mengambil PTI sebagai pekerja mereka perlu mematuhi undang-undang.

“Adalah menjadi kesalahan bagi mereka ( majikan) mengaji dan melindungi pekerja yang tidak mempunyai dokumen yang sah. Perbuatan seumpama ini boleh menjejaskan hubungan antara kerajaan, pihak keselamatan dan majikan ,” tegas Pairin.

Dalam pada itu Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS)kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Sabah Progressive Party (SAPP), Datuk Raymond Tan berhubung dengan sebuah artikel di dalam laman web malaysiakini.

“ Saya menasihati beliau agar jangan mendengar khabar angin dan jangan percaya kepada malaysiakini. Lebih baik jangan baca malaysiakini kerana itu adalah tidak benar,” kata Pairin. Malaysiakini melaporkan PBS telah memberi usul untuk memecat keahlian SAPP dari Barisan Nasional (BN) dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

“Dalam mesyuarat itu tidak ada usul, setahu saya para pemimpin hanya diminta untuk membuat pendapat masing-masing berlandaskan peraturan dan konsep permuafakatan dalam BN. Oleh itu beliau (Raymond) harus berhenti dari melayari malaysiakini yang memberi cerita tidak betul,” kata Pairin.

2 comments:

Anonymous said...

jika itu suara besar maka elok la tu.

All Thing Viral said...

pasal pti diberi status PR, kena kaji secara mendalam dan harus bermesyuarat atau mendapatkan suara ramai dari Ketua Anak Negeri, ketua kampung dsb.

kebaikan dan keburukan perlulah ditimbang sebelum diteruskan.