Wednesday, June 25, 2008

Keluarga penoreh getah dirompak

Borneo Post

Kumpulan bertopeng, bersenjata larikan RM3,000 hasil jualan getah, dua telefon bimbit, 11 ahli keluarga tidak dicederakan

SIBU: Lapan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang, pisau dan pistol bertindak nekad merompak sebuah keluarga penoreh getah di Pradom kira-kira setengah jam perjalanan dari pusat bandar di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, kumpulan lelaki berkenaan yang dikatakan berbahasa Indonesia melarikan hasil jualan getah bernilai kira-kira RM3,000 dan dua telefon bimbit.

Bagaimanapun 11 orang ahli keluarga terbabit dengan lapan orang daripada mereka kanak-kanak, tidak dicederakan.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihak polis kini sedang memburu kumpulan perompak terbabit serta mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai rompakan bersenjata yang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Katanya, sehingga kini pihak polis telah menahan 11 orang termasuk 10 orang warga Indonesia untuk membantu siasatan.

Terdahulu sebelum kejadian, kumpulan lelaki berkenaan dipercayai masuk secara senyap melalui pintu dapur sebelum menahan seorang kanak-kanak berusia enam tahun.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan sedang berseorangan di dapur untuk minum air manakala ahli keluarganya yang lain sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Kehadiran kumpulan lelaki berkenaan hanya disedari selepas kanak-kanak berkenaan menjerit minta dilepaskan.

Ibu mangsa yang terdengar jeritan mangsa kemudian bergegas ke dapur lalu turut ditahan oleh kumpulan terbabit yang bertindak menutup muka mereka dengan tuala.

Kumpulan perompak berkenaan kemudian membawa mangsa dan ibunya ke ruang tamu sebelum mengikat tangan kedua-dua mereka serta ahli keluarganya yang lain dengan menggunakan pita pelekat.

Menurut ibu mangsa ketika ditemui di tempat kejadian, dia dan empat orang anaknya baru sahaja tiba dari Miri untuk bercuti.

“Salah seorang daripada perompak terbabit telah menengking kami supaya tidak melawan dan menuruti arahan mereka.

“Mereka kemudiannya meminta wang tetapi kami tidak boleh bercakap kerana mulut kami ditampal dengan pita pelekat,” jelasnya yang masih terkejut dengan kejadian itu. Salah seorang daripada perompak terbabit kemudian menanggal pita pelekat itu dari mulut mangsa.

Menurut mangsa, dia yang bimbang akan dicederakan kemudian segera menunjukkan hasil simpanan daripada jualan getah mereka kepada perompak terbabit.

Katanya, perompak turut bertindak menyelongkar barangan di dalam rumah mereka sebelum meninggalkan tempat kejadian beberapa minit kemudian.

Sebaik sahaja perompak terbabit melarikan diri, keluarga malang itu bertindak menanggalkan ikatan sebelum meminta bantuan daripada jiran dan pihak polis.

Sepasukan anggota polis termasuk Unit Anjing (K-9) bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, pihak polis turut meminta bantuan daripada orang awam untuk melaporkan sebarang perkara yang mencurigakan.

2 comments:

Anonymous said...

# Maka di sini sudah jelas yang Malaysia adalah negara yang memastikan impian segala lapisan masyarakat menjadi kenyataan untuk membentuk BANGSA MALAYSIA yang kita impikan dan suku - suku bangsa yang ada di Malaysia berbanggalah dengan kejadian ini.
#

# BANGSA MALAYSIA, BAHASA MALAYSIA, JIWA MALAYSIA, DUNIA MALAYSIA...marilah kita bersama - sama membuat pilihan yang sewajarnya kerana untuk 50 ke 100 tahun akan datang cabaran globalisasi adalah agenda utama!
#

# Majulah Malaysia untuk Semua.

Puteri Ezza said...

Hai, Jie!

Kasian ooo tu adik Ramli.