Sunday, April 13, 2008

Proses transformasi lahirkan generasi berdaya saing perlu diberi penekanan

MIRI: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) menggariskan lima cabaran utama sebagai teras transformasi dalam menghadapi cabaran era globalisasi.

Presidennya, Lihan Jok berkata, lima cabaran itu ialah mewujudkan semangat perpaduan di kalangan persatuan etnik; memelihara keunikan budaya; penguasaan ilmu pendidikan dan kemahiran teknologi tinggi; meningkatkan penglibatan orang Ulu dalam perniagaan dan mengekalkan semangat murni di kalangan orang Ulu.

“Kelima-lima aspek ini merupakan teras utama yang perlu diberi penekanan dalam proses transformasi ke arah melahirkan generasi orang Ulu yang berdaya daing dan tidak ketinggalan dalam pembangunan,” katanya.

Beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang usan berkata demikian dalam ucapan aluan-aluan sempena persidangan delegasi pertama FORUM di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Persidangan berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato’ Jacob Dungau Sagan serta ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.

Lihan dalam ucapan seterusnya berkata, kejayaan orang Ulu pada masa hadapan amat bergantung kepada sejauh mana kukuhnya semangat perpaduan dan kerjasama yang menjadi pegangan.

“Kejayaan yang dinikmati kita sebelum ini adalah kerana perpaduan. Kita akan terus berjaya jika sentiasa bersatu padu dan bekerjasama,” tegasnya.

Mengenai aspek kebudayaan, Lihan mahu orang Ulu terus bergiat aktif dalam mengenengahkan keunikan budaya dan tradisi mereka untuk tatapan kaum lain di Malaysia.

Dalam pada itu beliau berkata fokus utama FORUM ialah memajukan pendidikan melalui penyediaan lebih banyak prasarana tadika dan pra sekolah di kawasan komuniti orang Ulu.

“Penguasaan ilmu kita masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain. Justeru fokus utama ialah memajukan kemudahan pendidikan supaya kita dapat menguasai pendidikan dan kemahiran teknologi tinggi.

“Asas pendidikan yang kukuh ini dapat meningkatkan keupayaan supaya kita terus relevan dengan peredaran semasa global yang kompetitif,” tegasnya lagi.

Selain itu FORUM akan mengenal pasti langkah bagaimana untuk meningkatkan pembabitan dan persaingan golongan orang Ulu dalam aktiviti perniagaan melalui penubuhan dewan perniagaan dan perdagangan Orang Ulu.

“Kita akui bilangan usahawan Orang Ulu amat sedikit. Kita berharap FORUM ini dapat dijadikan platform kepada kita untuk mencari pendekatan mantap bagi melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan Orang Ulu,” katanya

Tegas Lihan, berteraskan cabaran ini FORUM berharap kerajaan dapat memberi sokongan dalam menentukan hala tuju penubuhannya termasuk membina pusat kesenian dan kebudayaan dan sekolah teknik di kawasan komuniti orang Ulu.

“Selain itu membina jaringan jalan raya dalam kawasan org Ulu dan memperluaskan liputan komunikasi dan kemudahan air serta elektrik,” katanya.

Mengenai persidangan delegasi, Lihan menyifatkan ia adalah satu lagi mercu kejayaan Orang Ulu untuk bergabung di bawah satu payung dalam menghadapi masa depan. “Saya berharap semua persatuan terus mengamalkan semangat terbuka, toleransi dan bekerjasama serta menggelakkan elemen-elemen perpecahan yang hanya merugikan orang Ulu,” tambah beliau.

Sementara itu pendaftaran FORUM telah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 19 September tahun lepas dan dianggotai oleh Persatuan Berawan Sarawak, Persatuan Bisaya Sarawak, Persatuan Kayan Sarawak, Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak, Rurum Kelabit Sarawak, Persatuan Lakiput Sarawak, Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Persatuan Masyrakat Lun Bawang Sarawak.

No comments: