Thursday, April 17, 2008

Tindakan Tegas Terhadap Pemusnah Alam Sekitar : Ellron




KENINGAU : Tindakan tegas dan drastik akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang membuat ancaman atau melakukan pencemaran terhadap alam sekitar, sehubungan dengan itu masyarakat adalah diminta untuk memberi kerjasama kepada kerajaan bagi mengatasi masalah seumpama itu dari berlaku.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin berkata, beliau telah mendapat maklumat dari masyarakat di daerah kecil Sook mengenai masalah-masalah pencemaran yang telah berlaku di kawasan itu.

Antaranya kata Ellron yang juga merupakan wakil rakyat Sook, pusat –pusat tadahan air serta sungai yang menjadi sumber air di kawasannya telah tercemar dan tidak boleh digunakan seperti di Sungai Kuala Punteh.

Menurut Ellron, beliau akan mengambil tindakan yang lebih tegas atas kapasiti beliau sebagai yang diberi tanggungjawab untuk menjaga hal ehwal alam sekitar di bawah kementerian pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar.

Ini kerana kata Ellron masalah bekalan air bersih adalah diantara masalah utama di kawasan itu, dan perlu diberi perhatian yang serius.

Terdahulu Ellron menyampaikan sumbangan berupa zink kepada mangsa rumah kebakaran Unsing Domiru ,59, di Batu Lunguyan disini. Rumah enam bilik itu musnah dalam satu kebakaran baru-baru ini. Turut musnah dalam kebakaran itu ialah peralatan untuk membina bekalan paip gravity yang akan dilaksanakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Moilin Unsing dari Rakan Membangun Masyarakat (Pacos) berkata, hasrat penduduk di kampong itu untuk mendapat bekalan air gravity musnah apabila peralatan untuk tujuan itu turut terbakar dan rosak akibat bahang api.

“ Kami sepatutnya mengadakan gotong royong bersama pada Mei ini tapi harapan ini punah, kami terpaksa mencari dana untuk tujuan ini sekali lagi kerana peralatan yang diletakkan di halaman rumah saya ini adalah sumbangan NGO yang lain,” katanya sedih.

No comments: