Wednesday, June 25, 2008

Tanam getah secara komersial

Borneo Post

Sarawak sedia usahakan penanaman getah secara besar-besaran
KUCHING: Sarawak bersedia mengusahakan penanaman getah secara besar-besaran sebagai sokongan kepada hasrat Kerajaan Persekutuan membangunkan industri getah di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Jemut Masing mengalu-alukan kemasukan Lembaga Pembangunan Pekebun Kecil Industri Getah (RISDA) ke Sarawak untuk memajukan penanaman getah di kawasan-kawasan luar bandar negeri ini.

Menurutnya, permukaan bumi di negeri Sarawak khususnya di kawasan luar bandar adalah lebih sesuai untuk pokok-pokok getah berbanding pokok-pokok kelapa sawit.

“Saya gembira kerana RISDA akhirnya memasuki Sarawak. Bagi saya, getah adalah tanaman yang sangat bagus bagi kawasan luar bandar.

“Pertama, ini disebabkan oleh permukaan bumi yang lebih sesuai bagi getah berbanding kelapa sawit.

“Kedua, budaya penanaman dan penorehan getah sudah sebati dengan para penduduk luar bandar sementara penanaman kelapa sawit masih baru bagi mereka,” katanya ketika ditemu ramah, Isnin lalu.

Beliau mengulas mengenai peruntukan RM32.5 juta daripada RISDA untuk membangunkan industri getah di Sarawak dan projek pertama di negeri ini yang membabitkan kawasan tanah seluas 2,500 hektar di Betong dan Saratok dijangka bermula pada bulan Ogos.

Projek itu akan bermula sejurus selepas agensi persekutuan itu menubuhkan pejabat dan menyediakan kemudahan di sini sebagai susulan kepada rancangan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan industri getah di Sarawak.

Pengerusi RISDA Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata di Kuala Lumpur pada Ahad lepas, kemasukan RISDA ke Sarawak adalah hasil perbincangan selama lebih setahun yang diadakannya dengan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Daripada RM32.5 juta, Rahim berkata RM28 juta adalah untuk membiayai projek berkenaan termasuk bekalan bahan mentah manakala bakinya adalah untuk pejabat cawangan Sarawak yang akan dikendalikan oleh kakitangan berpengalaman serta untuk pengambilan kakitangan baru.

Masing berkata beliau turut terbabit semasa RISDA mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri dan ahli-ahli kabinet negeri tahun lalu.

Beliau memberitahu kawasan tanah seluas 14,000 hektar lagi di Lubok Antu mungkin akan dimajukan juga oleh RISDA.

“Saya menemui mereka (RISDA) pada tahun lepas, malah saya meninjau ladang-ladang getah mereka di Semenanjung.

“Saya memberitahu mereka ‘anda patut datang ke Sarawak’, kerana di Semenanjung, getah bersaing dengan kelapa sawit untuk tanah.

“Di Sarawak, saingan adalah kurang kerana sebahagian daripada tanah di sini tidak sesuai untuk kelapa sawit tetapi tidak bermasalah bagi getah,” katanya.

Masing, yang diketahui amat meminati bidang pertanian, memberitahu beliau sendiri ada menanam biji-biji getah di ladangnya di sini dan beliau sudah biasa dengan tanaman berkenaan.

Memandangkan harga getah sekarang bagus di pasaran, Masing berkata sudah tiba masanya para pekebun kecil di kawasan luar bandar menanam getah untuk menambah pendapatan.

“Kelapa sawit juga bagus tetapi kerja-kerjanya berat dan banyak menggunakan tenaga kerja.

“Bagi getah pula, kita hanya perlu bangun awal pagi dan meluangkan masa selama dua hingga tiga jam di ladang. Tiada banyak masalah,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, selepas mesyuarat dengan para pegawai RISDA di sini pada 18 Jun, mengumumkan bahawa pembangunan ladang getah akan dibuat berdasarkan konsep usaha sama tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Jabu berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar.

No comments: