Friday, November 23, 2012

UCAPAN ALU ALUAN YB PRESIDEN PBS SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN PBS KE 27

YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH PAIRIN DATUK KITINGAN

Sempena MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN TAHUNAN PBS KALI KE 27
oleh YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI TAN SRI HAJI MUHYIDIN BIN MOHD YASSIN
Hongkod Koisaan Penampang Pada 21 November 2012 Jam 2.00 Petang

 

Selamat Pagi, salam sejahtera, salam hormat, salam bersatu dan salam 1Malaysia.

 

Terlebih dahulu izinkan saya memanjatkan ucapan syukur kepada Tuhan yang masa kuasa kerana dengan izinnya kita sekali lagi dapat bersama-sama dalam majlis yang sangat bermakna pada petang ini.

 

Secara khusus saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Hj Muhyidin Bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia atas kesudian beliau untuk meluangkan masa dalam kesibukan tugas seharian agar dapat bersama kita semua dan seterusnya menyempurnakan upacara perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Kali ke 27 petang ini.

 

Kita amat berbangga kerana YAB Tan Sri Timbalan Perdana Menteri tidak jemu-jemu bertemu dengan kita di Sabah. Kalau tidak silap YAB Tan Sri telah datang untuk merasmikan Persidangan kita sebanyak 3 kali berturut-turut. Kedatangan YAB Tan Sri setiap tahun sudah tentulah tidak sia-sia oleh kerana ianya memberi ruang dan peluang kepada kami untuk menyampaikan pandangan kami mengenai isu-isu rakyat yang penting dan seterusnya menyampaikan sokongan tidak berbelah kami kepada Barisan Nasional dan kepimpinannnya.

 

Sesungguhnya YAB Timbalan Perdana Menteri adalah rakan karib PBS dan rakyat Sabah. Beliau sama seperti YAB Perdana Menteri kerana sentiasa prihatin, memahami dan mengambil berat tentang hal ehwal negeri Sabah. Secara peribadi saya sangat menghargai kata-kata dorongan beliau dalam persidangan tahun lalu dan juga yang diulangi dalam Perutusan beliau sempena Persidangan tahun ini. Beliau telah menekankan keyakinan dan kepercyaan kepimpinan BN pusat terhadap kesetiaan PBS dalam wadah perjuangan BN. Keyakinan beliau terhadap PBS sudah pasti akan menyuntik dan menyemarakkan lagi  semangat perjuangan ahli-ahli PBS untuk terus bersama dengan rakan-rakan seperjuangan dalam Barisan Nasional.

 

Kita dalam PBS tidak akan mensia-siakan keyakinan dan kepercayaan pucuk kepimpinan BN kepada kita dan kita akan membalasnya dengan usaha dan kerja kuat kita dalam pilihanraya yang akan datang untuk mempastikan BN sekali lagi menang dengan cemerlangnya dan terus menerajui pentadbiran kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah. Seperti rangkap pantun yang sering digunakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah,

 

Ada ubi ada batasnya

Ada budi ada balasnya

 

Oleh yang demikian, saya bagi pihak pemimpin-pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PBS ingin sekali lagi menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia kerana prihatin dan mengambil berat terhadap kami di negeri Sabah. Kami doakan agar YAB Tan Sri serta keluarga terus sihat walafiat.

 

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan terima kasih kita semua kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman, selaku Pengerusi BN Sabah atas kesempatan beliau bersama kita dalam majlis berbahagia ini. YAB Ketua Menteri Sabah sudah tidak asing lagi bagi kita semua dalam PBS kerana beliau sebenarnya telah menghadiri perasmian persidangan kita setiap tahun sejak beliau menjadi Ketua Menteri Sabah.

 

PBS sangat menghargai kehadiran beliau kerana ianya menggambarkan sokongan beliau terhadap PBS yang sangat bermakna. Tidak dinafikan sokongan dan kerjasama yang beliau berikan kepada PBS telah meningkatkan lagi persefahaman, permuafakatan dan persaudaraan kita dalam kerabat Barisan Nasional Sabah. Hari ini di bawah kepimpinan YAB ketua Menteri Sabah kita terus bersatu dan menjadikan lebih kuat, lebih mantap dan lebih bersemangat menghadapi cabaran politik masa kini.

 

Seterusnya saya ingin mengucapkan selamat datang kepada para jemputan khas khusus Presiden-Presiden atau wakil-wakil komponen BN peringkat Negeri dan Nasional. Kehadiran Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional telah menyuntik keyakinan baru bagi kami untuk meneruskan perjuangan kami.

 

Seterusnya saya juga berterima kasih atas kehadiran semua para hadirin, dif-dif kehormat, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk kerana menyerikan lagi majlis pada petang ini. Khusus kepada para perwakilan dan pemerhati PBS dari seluruh pelusuk Sabah, kehadiran atas kehadiran yang begitu ramai petang ini. Selaku pemimpin-pemimpin akar umbi PBS saya ucapkan terima kasih kerana kerjasama dan komitmen berterusan anda semua untuk bersama saya dalam perjuangan murni parti. Terima kasih kepada anda semua kerana telah melaksanakan tanggung jawab anda masing-masing sesuai dengan kehendak Perlembagaan kita.

 

Dalam persidangan kali ini sepatutnya kita akan mengadakan pemilihan kepimpinan tertinggi parti untuk tempoh tiga tahun lagi. Namun disebabkan tumpuan kita tertuju kepada persiapan pilihanraya, maka Majlis Tertinggi PBS dalam mesyuarat yang lalu telah memutuskan untuk menangguh pemilihan tersebut sehingga tahun hadapan dan melanjutkan tempoh jawatan Majlis Tertinggi sekarang sehingga ke Persidangan Perwakilan Tahun hadapan.

 

Tidak dinafikan kemungkinan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke 27 ini adalah yang terakhir sebelum berlangsungnya pilihanraya umum. Sebelum saya meneruskan ucapan saya, terimalah serangkap pantun saya...

 

semboyan pilihanraya sudah bergema

semarak perjuangan mengisi ruang udara

jantung di dada berkobar-kobar

menanti saat Parlimen dibubar

 

Juga tidak dapat dinafikan bahawa pilihanraya kali ini amat genting kerana ianya akan menentukan masa depan kita dan negara kita. Persiapan kita tidak cukup setakat menghadiri majlis-majlis perjumpaan rakyat dan mendengar ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Pihak pembangkang terus menyerang dan menyemarakkan sentimen membenci Barisan Nasional dan pemimpin-pemimpinnya. Kita berhadapan dengan cabaran baru pihak pembangkang yang lebih bersungguh-sungguh.

 

Pihak pembangkang sebenarnya tidak kuat dan tidak dapat menggugat kedudukan BN Sabah.  Namun mereka sudah menjadi pakar putar belit dan saudagar janji kosong untuk mengaburi mata rakyat. Sebahagian rakyat nampaknya masih terpengaruh dengan dakyah politik Pembangkang. Oleh itu, kita tidak boleh mendabik dada dan mengatakan BN boleh menang mudah. Hakikatnya kita harus bekerja keras, komited, bersungguh-sungguh, segera turun padang agar tidak mensia-siakan kepercayaan yang diamanahkan kepada kita oleh pucuk kepimpinan Barisan Nasional. 

 

Saya percaya dan yakin bahawa kunci utama kejayaan kita dalam Barisan Nasional adalah teras pendekatan kita sebagai parti sederhana iaitu melalui perpaduan, kerjasama, persefahaman, muafakat, toleransi dan semangat kekitaan. Sebagai anggota Barisan Nasional kita harus bergerak maju, seiring dan sejalan, seia dan sekata dalam menangani isu-isu rakyat. Selagi kita bersatu dan terus bersatu, bekerjasama untuk kebaikan bersama, kita boleh menangkis serangan musuh yakni dapat mempertahankan negeri Sabah sebagai kubu kuat Barisan Nasional.

 

Saya berbangga dan berterima kasih kerana semua anggota dan penyokong PBS di semua kawasan DUN dan Parlimen Sabah telah menyumbang kepada kekuatan Barisan Nasional. Saya mengajak kita agar meneruskan tahap persefahaman dan kerjasama ini di peringkat kawasan masing-masing dalam pilihanraya akan datang. Kita lupakan perselisihan yang telah menjejas kekuatan BN dan kita mulakan lambaran baru kerjasama yang berlandaskan kepada keikhlasan mencari kepentingan bersama dan saling hormat menghormati.

 

Sepertimana yang kita sedia maklum, PBS masih berpegang kepada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 4 kerusi Parlimen. Kita sebenarnya mengharapkan tambahan kerusi dalam pilihanraya kali ini. Berikutan pengunduran parti SAPP dari Barisan Nasional, kerusi-kerusi yang dikuasai pembangkang terbuka untuk parti-parti komponen BN yang lain. Saya pernah mengatakan dan saya ulangi sekali lagi bahawa perkara ini harus ditentukan oleh kebijaksanaan kepimpinan Barisan Nasional melalui perundingan meja bulat dimana parti-parti komponen BN tidak bertelingkah tetapi membuat ketetapan yang adil dan saksama. Untuk makluman para perwakilan dan pemerhati semua, pucuk kepimpinan PBS telah menyampaikan pendapat atau hasrat kita kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional. Harapan kita ialah agar cadangan kita mendapat perhatian dan sokongan. PBS sememangnya bersedia bertanding dan meletakkan calon-calon menang atau winnable candidatesdalam mana-mana kerusi yang dipercayakan kepada PBS.

 

Dalam kesempatan ini, saya juga merakamkan syabas dan tahniah kepada pucuk pimpinan kerana mempunyai pendekatan baru dengan konsep 1Malaysia iaitu “ Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Pendekatan ini sangat serasi dengan pendekatan PBS iaitu ‘patriotisme Asas perpaduan.” Perjuangan BN telah mengambil kira keperluan rakyat berbilang kaum dan agama dan masa depan yang tidak boleh dipisahkan.

 

Sebagai sebuah badan politik,  BN tidak lari dari berhadapan dengan pelbagai cabaran yang bukanlah sesuatu yang ganjil. Cabaran-cabaran itu adalah perkara yang kita sentiasa ambil berat dan ambil kira. Namun dengan kerjasama antara parti-parti komponen BN serta kekuatan jentera-jentera BN yang ada, kita akan sama-sama memperoleh penyelesaiannya.

 

Kita amat bertuah kerana kita mempunyai Perdana Menteri yang mempunyai pendekatan menyeluruh seperti Gagasan 1Malaysia dan diterima oleh rakyat. Beliau mempastikan rakyat mengetahui dan mendalami segala perancangan serta niat baik, keikhlasan dan usaha kerajaan BN untuk menghadapi atau menyelesaikan masalah-masalah rakyat. Dengan memperkenalkan Gagasan 1Malaysia “Rakyat DiDahulukan dan Pencapaian DiUtamakan” YAB Perdana Menteri telah membawa kita ke arah landasan politik yang betul dengan memastikan persekitaran politik, sosial dan ekonomi sesuai dan kondusif untuk memacu kejayaan dan pencapaian negara menjelang tahun 2020.

 

Kita sedia maklum pihak Pembangkang bersungguh-sungguh mahu menimbulkan keraguan rakyat terhadap keupayaan kerajaan Barisan Nasional. Pembangkang mendakwa bahawa kerajaan BN kononnya tiada buat apa-apa untuk rakyat. Namun rakyat Malaysia tidak buta. Mereka boleh melihat dan menghargai kesungguhan dan keprihatinan kerajaan BN untuk memastikan impian atau keinginan dan hasrat rakyat akan terus menjadi kenyataan. Mereka tahu bahawa kerajaan BN mampu mewujudkan satu keadaan yang lebih baik, suasana politik yang lebih aman, harmoni dan stabil, serta suasana sosial yang lebih adil dan saksama, dan suasana ekonomi yang lebih mengizinkan untuk menjana kekayaan negara. 

 

Secara khusus YAB Perdana Menteri telah memperkenalkan beberapa langkah-langkah yang saya anggap sebagai mesra rakyat. Misalnya, penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menangani Pendatang Tanpa Izin (PTI) ia adalah langkah bijak dan strategik yang menerima sokongan majoriti rakyat negeri Sabah. Pihak Pembangkang cuba menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan kerajaan Barisan Nasional. Namun hakikatnya Suruhanjaya tersebut sudah diwujudkan dengan terma-terma yang cukup memuaskan dan dianggotai ahli-ahli Panel yang berwibawa dan boleh dipercayai. Walau bagaimana pun, parti-parti politik serta rakyat jelata harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya yang telah dilantik oleh kerajaan agar fakta-fakta yang berkaitan dengan kehadiran pendatang tanpa izin dapat didokumentasikan untuk tindakan-tindakan selanjutnya.

 

Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak rakyat dan PBS , ingin merayu supaya satu mekanisme diwujudkan bagi membincang dan mencapai penyelesaian “menang-menang” (win win) ke atas sumber asli atau resources seperti minyak dan gas, supaya keperluan negeri dan  hasrat rakyat dapat diambil berat demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Sabah yang berkekalan. PBS berharap YAB Timbalan Perdana Menteri boleh memberi respon yang positif terhadap rayuan dan permohonan ini.

 

Sementara itu, masyarakat Kadazandusun dan Murut sudah tentunya amat berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana telah bersetuju untuk meluluskan penubuhan Kolej KDM yang telah dirasmikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri di Tambunan. Baru-baru ini tapak pembangunan Bangunan Pusat  Latihan Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Penampang telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri. Semuanya ini harus menjurus ke arah memartabatkan budaya, bahasa dan nilai-nilai masyarakat Kadazandusun dan Murut di negara kita.

 

 Kita juga amat bertuah kerana kita mempunyai Ketua Menteri Sabah yang bijak dalam pengurusan ekonomi dan kewangan negeri. Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, YAB Ketua Menteri Sabah telah membentangkan Bajet negeri Sabah bagi tahun 2013 sejumlah lebih kurang RM4 billion. Jumlah ini merupakan jumlah paling besar dalam sejarah Belanjawan negeri Sabah. Ianya menggambarkan kejayaan dan keupayaan kerajaan negeri Sabah untuk menjana kekayaan untuk pembangunan dna kesejahteraan rakyat negeri Sabah.

 

Di negeri Sabah program-program Sabah Development Corridor (SDC) melalui SEDIA bakal mengubah lanskap pembangunan di negeri ini. Kita menyaksikan jumlah peruntukan yang disediakan sentiasa bertambah sejak tahun 2008 sehingga ke tahun 2012. Dengan adanya strategi perlaksanaan yang lebih mantap, saya yakin kerajaan BN akan dapat mencapai matlamat pembangunannya bagi tahun-tahun mendatang ini.

 

Kita menyokong laporan awal perancangan transformasi pendidikan yang telah diumumkan baru-baru ini.  Bagi negeri Sabah banyak yang perlu diambil kira oleh kerajaan berkaitan dengan pertindihan kelas, kekurangan rumah guru dan kemudahan infrastruktur yang diminta. Begitu juga dengan keperluan asrama untuk pelajar yang jauh.

 

Guru-guru dari Sabah perlu ditempatkan di negeri sendiri atas sebab  mereka lebih proaktif dan bersemangat di tempat sendiri. Kita minta kerajaan memberi pertimbangan agar guru yang baru keluar dari institut latihan diberi keutamaan untuk mengajar di tempat asal sendiri. Mereka perlu pendedahan untuk meningkatkan keyakinan diri sebelum ditempatkan di sekolah-sekolah lain.

 

Saya juga berterima kasih kerana Dasar Pendidikan Negara terus mengiktiraf pembelajaran Bahasa Kadazandusun dan Murut dalam sekolah-sekolah kerajaan. Saya difahamkan dan saya berterima kasih kerana kerajaan juga kini mempunyai sikap yang liberal untuk membolehkan pelajaran “Bible Knowledge” dimasukkan dalam kurikulum sekolah. Dasar Pendidikan Negara mengiktiraf betapa pentingnya bagi negara ini terus berada di atas landasan betul. Walau pun Islam merupakan agama rasmi, Perlembagaan memberi kebebasan bagi rakyat Malaysia untuk memilih dan menganuti agama masing-masing. Saya percaya kebebasan ini termasuk hak rakyat Malaysia belajar agama masing-masing. Ianya haruslah dilaksanakan sesuai dengan matlamat asal dan semangat dimana ianya digubal semasa Malaysia di bentuk dahulu.

 

Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada YAB Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran atas sikap terbuka yang sedia menerima pendapat dan cadangan. PBS akan terus menyuarakan cadangan-cadangan untuk membina dan membantu kerajaan merealisasikan matlamat Pendidikan Negara. 

 

Tidak dinafikan BN hari ini berada di landasan yang tepat. Pucuk pimpinan PBS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Doktor Politik kita, YAB Perdana Menteri Malaysia, yang telah mengambil pendekatan yang bijak dan berani. PBS adalah sehaluan pendapat dan memahami pendekatan beliau. Oleh itu, kita tidak ragu-ragu menyokong penuh hala tuju kerajaan Barisan Nasional baik di peringkat kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri Sabah.

 

Kita tidak ragu-ragu menyatakan sedemikian dengan keyakinan bahawa perhubungan di antara PBS dan pucuk kepimpinan BN begitu rapat dan mantap sekali. Kita percaya hubungan kita bukan sahaja erat tetapi wujud hubungan strategik dan persefahaman yang sangat mendalam yang saya percaya mengikat ke dua –dua pihak ke arah aspirasi dan destinasi yang membanggakan rakyat jelata.  

 

Sebagai penutup, sekali lagi saya ingin tekankan bahawa sokongan PBS terhadap BN adalah berasakan kepada asas perjuangan BN yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat. PBS yakin perancangan pembangunan yang disediakan dan dilaksanakan oleh Kerajaan BN menyeluruh, tidak tertumpu kepada kawasan bandar atau di Semenanjung sahaja atau hanya untuk kepentingan orang perseorangan. Kita yakin pendekatan kerajaan BN ialah kepentingan rakyat yang harus didahulukan. Kerajaan BN tidak mengetepikan rakyat dan sentiasa menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira anutan agama dan juga suku kaum. Rakyat negeri Sabah terjamin di bawah kerajaan Barisan Nasional. Hakikatnya kerajaan BN menitikberatkan keutamaan, kepentingan dan keperluan rakyat dalam penggubalan dan perlaksanaan dasar pembangunan negara.

 

Saya akhiri ucapan saya dengan doa dan harapan yang tinggi serta ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas kedatangan YAB Timbalan Perdana Menteri ke Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke 27 tahun ini. Semoga pertemuan kali ini sekali lagi meningkatkan semangat juang kita untuk bersama-sama rakyat akar umbi dan memperjuangkan kepentingan dan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang.

 

Sekian dan Terima Kasih.

 

 


MANGSA KEBAKARAN RUMAH DIZIARAHI PAIRIN

Pairin di rumah mangsa kebakaran , Puan Maria Kuntiou.
 
KENINGAU :  Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah meluangkan masa mengunjungi keluarga yang telah kehilangan rumah dalam satu kebakaran di Kampung Tuarid Taud.
Mangsa, Michael Majungal seorang pesara polis dan isterinya, Maria Kuntiou, memberitahu kejadian itu berlaku ketika mereka menghadiri upacara keagamaan.
Rumah konkrit dan sebuah kereta pacuan empat roda musnah dalam kejadian 2hb November lalu.
Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau menyampaikan simpati dan  turut menyerahkan sumbangan wang tunai untuk meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga berkenan.

Pairin menyerahkan sumbangan kewangan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga Pn.Maria.
 

Pairin tinjau stesen keretapi sejauh 134 km



   TINJAU..Pairin dan Mohd Zain di Stesen Keretapi Tanjung Aru sebelum memulakan lawatan   menaiki keretapi sejauh    134    sehingga ke Tenom.
TENOM : Kemudahan dan perkhidmatan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) akan terus dipertingkatkan demi menjamin keselesaan pengguna, sebagai pengangkutan yang berkesan, disukai ramai dan anjakan kepada sektor pelancongan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastuktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama kakitangan di Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI)  dan agensinya Jabatan Keretaapi telah membuat tinjauan dari stesen ke stesen bermula dari Stesen Tanjung Aru (Kota Kinabalu) sehinggalah ke Stesen Keretapi Tenom. Hadir sama Pembantu Menteri, Datuk Japlin Akim, Setiausaha Tetap KPI Datuk Felix Madan dan Pengurus Besar JKNS  Mohd Zain Hj Mohd Said.

Pairin berkata, tinjauan ke dari stesen ke stesen sejauh 134 kilometer itu adalah bertujuan untuk meninjau persiapan mempertingkatkan perkhidmatan keretapi kepada rakyat.
Pairin dan rombongan menaiki keretapi bermula dari Tanjung Aru dan bertukar kepada pengangkutan railbus dari Beaufort ke Tenom dengan menyinggah 13 buah Stesen Penumpang serta 1 buah Stesen Terminal Muatan Barang sepanjang 134km.
“Perkhidmatan pengangkutan keretapi di Sabah telah wujud sekian lama sejak zaman British dan merupakan pengangkutan utama penduduk bukan sahaja untuk ke kawasan laIn tetapi juga mengangkat komoditi pertanian untuk dipasarkan khususnya dari kawasan pedalaman ke Bandar,” kata Pairin dalam satu sidang media di sebuah hotel disini.

Pairin berkata, hasil tinjauan dan lawatan yang dibuat telah melihat keperluan pembaikan dan peningkatan infrastruktur, termasuklah mempertingkatkan soal keselamatan rel.
“Kerajaan juga telah membuat kajian mengenai fakor keselamatan yang dilakukan oleh konsultan. Namun lebih cepat laporan itu diberikan kepada kementerian, maka lebih cepat dibawa ke mesyuarat kabinet untuk dibincangkan,” kata Pairin ketika ditanya mengenai kajian peningkatan keselamatan yang dijalankan oleh konsultan.
Katanya, kajian itu akan mencadangkan apa yang perlu untuk membaiki keadaan.
Selain itu kata Pairin pelbagai kemudahan kepada pengguna akan dipertingkatkan seperti kemudahan tandas, perhentian berbumbung terutama di stesen yang menjadi tumpuan pengguna di stesen-stesen keretapi.
“Kerajaan memandang jauh ke hadapan dalam meningkatkan perkhidmatan keretapi kepada masyarakat, bukan sahaja kepada perkhidmatan sedia ada , kita juga memperhatikan perkhidmatan kepada kawasan lain dengan dorongan ramai yang suka dengan pengangkutan keretapi,” kata Pairin.
Jelasnya, jabatan keretapi juga berperanan dalam menganjak kepada kedatangan pelancong ke kawasan luar Bandar yang menawarkan eko pelancongan khususnya water rafting di Sungai Padas.

Wednesday, November 16, 2011

sabah rekod Anak Luar Nikah tertinggi

Membaca suratkhabar pagi tadi dengan muka tajuk besar "Sabah Rekod Anak Luar Nikah Tertinggi". Jumlah itu ialah sebanyak 41,490 orang menurut yang dilaporkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Mari sejenaj kita renungkan mengapa jumlah ini sangat besar berlaku di Sabah? sudah tentu masalah anak luar nikah ini bukan setakat berlaku di kalangan remaja. Malahan berlaku juga di kalangan orang dewasa.


Saya melihatnya berlaku kerana :
1. masalah dokumen bapa.
2. kes rogol bawah umur
3. terlanjur
4. pergaulan bebas

di Sabah ramai orang yang tidak mempunyai dokumen dan tidak boleh dinikahkan atau dikahwinkan. maka ada yang menggunakan pendekatan untuk tinggal tanpa sebarang ikatan. Mereka akan membentuk keluarga namun tidak akan dapat dokumen sijil kahwin tetapi kelahiran anak mereka tetap didaftarkan di hospital.
anak-anak generasi pendatang haram /asing juga tidak dapat kahwin secara sah kerana mereka tidak mempunyai kad pengenalan seperti mana yang dikehendaki dalam tuntutan agama masing-masing.
sudah tentu masalah ini akan berterusan bermula dari generasi masa kini mereka sehinggalah masa akan datang.
apabila saya menyertai gerakan pendaftaran surat beranak di Daerah Kecil Sook, Keningau beberapa tahun yang lalu. Terdapat di kalangan ibu ibu muda mengistiharkan diri mereka sebagai ibu tunggal dan memberitahu suami mereka lari meninggalkan mereka anak beranak.
ada juga yang saya lihat mempunyai suami orang asing tetapi mengistiharkan diri mereka sebagai janda atau ibu tunggal kerana mahu mendapatkan bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan, dan begitu juga sebaliknya.
berbalik kepada masalah anak luar nikah di kalangan rakyat di negeri ini. oleh kerana syarat yang ketat dibuat oleh jabatan pendaftaran dan larangan kahwin sebelum usia 18 tahun menyebabkan berlakunya kelahiran anak luar nikah.
di kawasan pedalaman, jika berlaku pergaulan di antara anak anak remaja lelaki dan perempuan, mereka akan dikahwinkan. namun undang-undang tidak membenarkan perkahwinan itu. satu perkahwinan yang membenarkan mereka ialah perkahwinan secara adat kampung. namun perkahwinan secara adat kampung tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
namun saya merasa simpati kepada wanita wanita di luar sana yang hanya menjadi mangsa kasanova. dan menanggung keperitan dan penghinaan disebabkan oleh kesilapan sendiri mudah menerima pujukan lelaki berhidung belang.
Kita juga bersimpati terhadap remaja remaja yang menjadi mangsa rogol. namun kita percaya hukuman berat telah dikenakan kepada pesalah.

kita minta kerajaan bersungguh sungguh untuk menyelesaikan masalah ini. perbanyakkan siri siri seminar kesedaran undang-undang terutamanya berkaitan dengan jenayah (rogol).


salam

Saturday, April 23, 2011

ketahui rahsia tanaman gaharu

Miri : Haruman adalah terapi yang mendamaikan dan memberikan ketenangan. Namun untuk mendapatkan haruman yang asli dan sejati mengambil risiko yang besar. Haruman yang mahal ini semakin memupus disebabkan pengambilan tidak terkawal melalui penyeludupan dan penebangan haram di hutan-hutan. Tindakan ini bukan sahaja membawa kemusnahan tetapi mengancam kelangsungan hidupan ini.
Pokok karas atau agrawood merupakan rahsia terbesar hutan Borneo satu ketika dahulu. Hanya golongan tertentu yang mengetahuinya dan menjadikannya sebagai mata pencarian yang memberikan pendapatan lumayan kerana melibatkan pasaran luar Negara.
Namun keperluan terhadap pokok karas semakin meningkat seiring dengan permintaan di seluruh dunia baik untuk upacara keagamaan, batiniah dan gaya hidup. Bekalan semakin mengecil permintaan semakin meningkat. Malaysia dikatakan antara pembekal utama minyak dunia. Namun penguatkuasaan kerajaan terhadap pengambilan secara besar besaran pokok karas di hutan yang dilindungi membuktikan bukannya mudah mendapatkan hasil dengan cara yang salah terhadap pokok karas di mana mana hutan di Malaysia.
Menyedari hakikat bahawa pokok karas adalah tanaman mahal yang membawa pendapatan yang besar. Ramai yang telah membuat langkah bijak dengan menanam pokok karas bagi tujuan komersil tanpa menyeludup masuk ke hutan dan menanggung risiko yang tinggi.
Malahan penanaman pokok gaharu secara komersil ini lebih menguntungkan. Bukan semua pokok karas yang ditemui di tengah hutan belantara mempunyai resin. Tetapi pokok pokok karas yang ditanam di halaman rumah atau ladang anda tetap memberikan pendapatan kerana teknologi moden digunakan untuk memastikan pokok karas ini mengeluarkan resin melalui inokulasi.
Gaharu adalah tanaman jangka panjang yang boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya. Dikenali sebagai pokok jutawan, kini ramai yang menanamnya kerana imbuhan yang bakal diperolehi. Namun sejauh manakah kefahaman anda mengenai penanaman gaharu sehinggalah ke peringkat penuaian dan pemasaran? Tanpa pengalaman dan kefahaman sudah tentu penanam gaharu akan berputus asa di pertengahan jalan.
Ini boleh berlaku apabila mendapat khidmat nasihat yang salah. Namun di Gaharu Asia, penanam pokok gaharu baik yang berskala kecil dan besar. Mereka akan diberi bimbingan berterusan dan jika pengusaha itu menghadapi masalah pemasaran, produk mereka akan dibeli oleh Gaharu Asia untuk dipasarkan ke Thailand atau Arab.
Ketua Pegawai Esekutif Gaharu Asia, Brazilan Daved berkata, secara logiknya 100 pokok gaharu boleh mengubah ekonomi masa depan dengan dengan hanya lima tahun. Dimana anggaran keuntungan kasar 100 pokok itu ialah ialah RM100 ribu.
Keistimewaannya daun gaharu yang disyorkan oleh Gaharu Asia boleh dijadikan teh sementara menunggu hasil inokulasi selama lima tahun. Di mana daun ini juga boleh membawa pulangan kepada pengusahanya. Produk teh tersebut telah pun berada di pasaran.
Kerajaan Malaysia juga menggalakkan penanaman pokok karas @ gaharu secara komersil kerana nilainya yang boleh memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha.
Kepada mana-mana yang berminat untuk mengetahui rahsia bagaimana untuk merealisasikan impian untuk menjadi jutawan gaharu atau mendalami ilmu pengetahuan mengenai pokok ini bolehlah menyertai seminar di Miri pada 30 April disebuah hotel disini. Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi 014-8849269 (Ann) atau Daved 014-8567869. Seminar itu memberi maklumat penting dan terkini kepada peminat gaharu dan sejenis tanaman herba bernama nilam yang memberi pulangan dalam masa 6 bulan kepada pengusahanya. Yuran RM300 dikenakan.

Wednesday, January 12, 2011

Pilihanraya 1Malaysia?

SABTU lalu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Malaysia telah mengadakan perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen. Meskipun tidak dinyatakan dengan terperinci butiran pertemuan itu. Ramai yang memberi gambaran, YAB Dato Najib Tun Razak, memberi amaran tentang pilihanraya umum tidak lama lagi, dan mana-mana ahli parlimen yang kurang menyerlah atau 'kurang berkhidmat' kepada rakyat bakal berhadapan dengan masa depan yang kelam...
Gambaran tentang pilihanraya bakal diadakan pada tahun ini sangat jelas. Menurut sumber yang dipercayai, Setiausaha –Setiausaha Agung parti komponen BN, telah diingatkan untuk menggerakkan jentera persiapan pilihanraya dan mengadakan lebih banyak program di kawasan masing-masing.
Selain dari itu baik dari BN atau parti pembangkang, masing-masing telah menunda pemilihan pucuk pimpinan parti, yang boleh menjejaskan persiapan pilihanraya jika diadakan. Antaranya UMNO, LDP, PBRS, MCA dan DAP. Itu adalah petanda petanda kelaziman sejak di zaman Tun Dr. Mahathir Mohammd.
Meskipun baru memegang tampuk pemerintahan Negara melalui peralihan 2/3 kuasa dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang hampir kehilangan majority dalam pilihanraya umum pada tahun 2008. Najib, cukup optimistik, bahawa senario masa kini di Negara ini sangat sesuai untuk mengadakan PRU Ke 13.
Tapi benarkah orang Cina sudah kembali kepada BN? Benarkah orang India kembali kepada BN? Saya percaya Sabah tetap fixed deposit kepada BN, kecuali beberapa kawasan urban.
Andaian tentang pilihanraya serentak dengan Negeri Sarawak ialah untuk merealisasikan konsep YAB Perdana Menteri berkenan dengan Konsep 1Malaysia. Maka dengan itu, pilihanraya umum Negara ini sudah tentulah diadakan secara serentak, dan kita bolehlah namakan ia sebagai Pilihanraya 1Malaysia.
Penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada Julai ini. Dan kemungkinan pilihanraya umum seluruh Negara akan diadakan pada tempoh ini.
Difahamkan selepas pertemuan Ahli-Ahli Parlimen dengan Perdana Menteri, parti-parti komponen mulai menyusun persediaan jentera.

Tuesday, November 23, 2010

Rocelyn story , how about local who cant fight their right?

Kota Kinabalu: A former Filipina waitress whose earlier Labour Court decision against a seafood operator was upheld by the High Court, Monday, urged employers in Sabah not to underestimate or look down on poor foreign workers.
"We come from poor families to earn an honest living here.
We are not even illegal workers or were trafficked here but came in properly.
"I know of many other legalised Filipino nationals who are victimised by other employers in Sabah. They are afraid to air their grievances in the media or lodge reports with

the Labour Department for fear of losing their jobs because they have many mouths to feed back home," said Rocelyn Tubal Raneses, a single mother.
She said either their actual working conditions sometimes differ from what's stated in the contract or are not in accordance to the Malaysian Labour Laws.
It is believed to be the first time that a legalised foreign worker's case against an employer had gone to the High Court level in Sabah.
"I had to endure several months on friends and sympathysers for financial support while waiting for my case to be finally over," she said, Monday.
"Maybe because I was a poor kampung girl from the Philippines, I was supposed to have just gone home long ago without expecting any of the money that rightfully belonged to me.
"I thank the Malaysian Immigration for being kind enough to grant me three extensions to stay on for the court hearing. It was not easy because they (Immigration staff) also got tired of seeing me going back to them repeatedly.
"Otherwise, you can imagine that I would have been forced to return to my kids and family penniless because even the Labour Court's decision in my favour was challenged by my ex-employer," she said.
"I was shocked to learn that a Labour Court decision in Malaysia is not enforceable at all and can be challenged considering that the sum in my case is only RM4,000. I'm sure even the legal fees of the other side could cost 10 times this amount or more, although I know that is not my concern," she said.

"I am very happy over the outcome and thank my lawyer Pereira for taking up my case for free. You don't always meet a person like him.

"God will repay his kindness to less fortunate fellow beings.

I also want to thank the church groups for their support, help and prayers," she said, adding she knew of others in similar situation who have since returned home.

Rocelyn's happiness, however, is mixed with a tinge of sadness because her final immigration extension expired on Nov. 16.

"I fear there will be a compound for overstaying.

But it is not my fault. The case has been dragging on for so long.

And now I finally can't go home although I want to because my passport is with the Immigration Department.

"Last Friday, I called up the department to find out the status of my passport, and they told me that the Director was not around.

"Today (Monday), I rang up again and they told me to wait until they called me," she lamented, adding it is too late to catch the ferry.

She needs to go back urgently as got word that her six-year-old son was warded in hospital in Mindanao with serious food poisoning.

Tuesday, May 19, 2009

Kejutan di Hari Kaamatan

Ini tupai yang dimasak mengikut citarasa mereka

ini pula ialah biawak...tak tau pula rasanya...tak berani nak test...

Kalau tak silap ini daging katak...pun tak berani mau cuba...


dan ini biasalah...tuntul (siput sungai) ...dan macam2 jenis makanan kampung.
Saya suka makan itu mangga tuh...

Kotobian Tadau tagazo do kaamatan..saya kira dimana-mana tempat yang ada orang Kadazan, Dusun, Murut dan suku-suku kaumnya sekarang ni sibuk meraikan Pesta Kaamatan. Lagu-lagu Kaamatan yang membuat air mata mengalir atau sebak kerana kita dapat meraikan Pesta Kaamatan, mengingat nenekmoyang kita dulu2 yang telah merintis kepada kehidupan yang lebih baik dan macam-macam la bentuk ' fikiran ' yang membolehkan kita meneruskan kehidupan serta masa depan.
Pesta Kaamatan bagi saya amat bermakna, kerana ia menjadi lambang perpaduan diantara suku kaum di Sabah. Tak kiralah sama ada ia berada dalam rumpun KDM ( Kadazan, Dusun, Murut) atau tidak , kita sama-sama meraikannya. sempena kaamatan juga kita melihat pelbagai etnik KDM yang ditonjolkan sepanjang perayaan , dan pada ketika ini turut diselitkan dengan Sabah Fiest.
Apakah yang menarik dalam Pesta Kaamatan? setiap individu mempunyai pendapatnya sendiri. Ada yang suka kepada budaya, muzik, sukan, makanan, minuman, juga kepada pertandingan Unduk Ngadau. Bagi saya , Kaamatan adalah satu perayaan yang sangat siginfikan bagi masyarakat KDM yang telah berpecah belah kerana perbezaan politik. Perayaan ini membuat kita rasa sebak di dada melihat para pemimpin kita duduk satu meja dan makan minum bersama-sama. Mereka ketawa dan gembira bersama-sama. Menolak perbezaan pendapat masing-masing demi menghormati budaya yang kita warisi dari nenek moyang kita- kita melihatnya disini iaitu di Pesta Kaamatan.
Melalui ruangan ini saya memberi anda melihat koleksi gambar yang saya kutip sempena Pesta Kaamatan di kawasan Daerah Kecil Sook.
Makanan - makanan ini gila bagi diri saya yang mencintai binatang...tetapi di zaman nenek moyang kita dan moyang-moyang mereka...ia bukanlah satu kejutan malahan kebanggaan.

Selamat Menyambut Hari Kaamatan.

rozie

Friday, May 15, 2009

MARI MENANAM GAHARU




Sejak kebelakangan ini saya menerima banyak panggilan mengenai pokok gaharu, mengenai masa depan pokok gaharu dan macam-macam lagi lah yang ditanya kawan-kawan kita sama ada melalui panggilan atau email. Saya mengucapkan berbanyak berterima kasih diatas minat kalian mengenai pokok gaharu atau kita namakannya sebagai pokok jutawan.

Untuk pengetahuan negeri Sabah dan khususnya Borneo adalah penghasil pokok gaharu dari jenis acquilare malacanse. Namun menurut sifu saya, saudara Pilipus Pur, apa pun jenis pokok gaharu itu, jika dijaga dan disuntik apa bila masanya tetap memberikan hasil. Jangankan pokoknya , malahan dahannya pun boleh menghasilkan enzim. Daun, ranting, kayu buangan pun hasilkan duit…

Bagi mereka berminat untuk menanam pokok gaharu, pokok ini boleh ditanam di halaman rumah. Seperti tumbuhan yang lain , pokok gaharu juga memerlukan perhatian dari penanamnya. Mungkin juga anda tidak perlu menghebohkannya kerana faktor keselamatan tanaman anda di masa yang akan datang. Banyak kejadian dimana pokok gaharu yang ditanam hilang dicabut orang.

Sifu saya berkata, satu ekar boleh memuatkan kira-kira 460 pokok dengan cara penanaman antara 10 X 10 atau 10 X 8. Cuba bayangkan jika sepokok ianya adalah berharga RM5000, bukankah ianya RM2.3 juta? Itupun anggaran paling murah. Sepokok dijangka boleh mencecah harga antara RM15 ribu.

Mengapa kita menanam gaharu? mungkin kerana imbuhannya? Itu tidak lari. Kerana apa pun yang kita lakukan harus memberikan kepuasan kepada diri kita sendiri. Saya minat dengan gaharu kerana ia amat menarik bagi diri saya sendiri. Saya obsess dengan pembuatan minyak wangi. Selama ini , jutaan mungkin billion telah dicuri di hutan kita semata-mata untuk memenuhi permintaan terhadap gaharu di seluruh dunia. Orang dari Thailand menceroboh masuk hutan kita kerana di tempat mereka sudah kekurangan sumber. Kita juga berada di landasan yang tepat untuk menanam pokok gaharu kerana hukuman berat menanti orang yang mencuri kayu gaharu di hutan.

Apakah masa depan gaharu? selagi ada manusia wujud di muka bumi. Selagi itulah kita menggunakan gaharu. Agama Kristian, Hindu, Buddha dan Islam juga menggunakan minyak gaharu dalam upacara keagamaan. Permintaan untuk kosmetik juga meningkat. Dan sudah tentu imbuhan bagi mereka yang sabar dan tabah sedia menanti…

Tidak hairan pada satu hari nanti maka timbullah produk tempatan berasaskan minyak gaharu yang mungkin dinamakan huminodun, sumandak, huguan siou, kinabalu dan sebagainya.

Kepada anda yang berminat untuk buat tempahan anda boleh call saya 016-8351291 atau email ke
wendyrozie@hotmail.com . Bibit berharga antara RM5 keatas mengikut umur bibit. Bagi jumlah yang banyak mungkin boleh dipertimbangkan untuk penghantaran.

Selamat menanam pokok gaharu

Wednesday, April 22, 2009

Teringat zaman kanak-kanak


Seingat saya la, pertama kali saya dibawa ke bendang ketika umur dalam lima atau enam tahun. zaman dulu di kampung saya, mana ada tadika. jadi biasanya kalau tidak kena bawa pigi sawah atau pigi kebun, saya main dengan kawan-kawan yang dekat-dekat rumah la. sambil naik itu pokok jarak, main baling2 buah dia atau main tiup2 getah dia keluar belon2...punya siok. tau-tau sekarang rupa-rupanya ada harga pula buah pokok jarak ini...RM800 satu tan geng. orang bilang, punya murah...tapi bagi saya , itu duit maaaa....kan...siapa mau bagi, kalau tidak kena usaha sendiri.

sya ingat waktu mula dulu sya pegi sawah. bapa sya lah yang mula-mula bawa. dia terpaksa bawa sya pg sawah kerana sya kan ' ekor' bapa sya dulu dulu...kalau dia jalan sja sya mesti mau ikut..mana saja dia pergi saya mahu ikut.

dipendekkan cerita, adalah satu hari bapa sya mau tingu dia punya padi yang menguning. nama kawasan padi kami itu ialah Donibung. sya suka nama itu klasik betul. so. mcm biasa la ' anak bapa' mahu ikut juga. kami jalan kaki masa itu belum ada paganuan beli kereta. seronok juga la jalan kaki ikut beliau. cantik pemandangan sekitar kawasan sawah padi yang mulai menguning. wangi tau kalau musim padi berbuah. kalau tak caya cuba try pigi sawah padi , lagi wangi kalau waktu pagi.

sampai sahaja di Donibung. terus saya panjat beliau sya. sya betul-betul terkejut nampak bentuk orang tapi muka dia rumput, ada sirung, lengkap pakaian segala. macam di gambar ini yang saya rakam di kampung Simbuan, Sook. Sya nampak sahaja ' tulun-ulun' ni sya teringat zaman dulu sya.. uiii bukan main sya teriak menangis ketakutan...apa lagi kalau tangan dia itu kena tiup angin, goyang2...ntah la...perasaan saya masa itu...itulah hantu...hahahaha...

sejak dari itu bapa sya guna si hantu ini sebagai lesen dia kalau dia mahu jalan...

kalau kebetulan ada lagi ramai2 di sulap lepas mengetam padi. sya la budak yang tidak pandai turun tanah kalau suda petang2. sya benci betul itu ' orang-orang'. kalau siang2 sya selalu humban pakai kayu atau batu bei...punya teruk tanggapan saya sama itu ' orang-orang'.

bila sya besar sikit, dan ada gambar dia di buku teks baru sya faham itu apa ...aiyaa..
dan sya pun pandai buat tulun - ulun di sawah kami ...cantik dan seksi lagi...dia punya pantang itu tidak boleh pakai baju merah, nanti jadi tarikan si burung pipit. nda tau la di tempat lain..

apa pun thanks to my dady and my mom...kalau bukan mereka, siapa la sya pada hari ini..dan sya tidak sama sekali lupa asal usul sya...

salam






Monday, April 6, 2009

Biadap Punya Orang

Apabila Perdana Menteri kita yang baru, Datuk Najib Tun Razak mengistiharkan pembebasan tahanan ISA sempena perlantikan beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Satu perkara yang penuh biadap berlaku di Pantai Timur. Mereka membakar bendera Sabah , lambang kewujudan sebuah negeri merdeka yang bernama Sabah.

Dalam kejadian itu seramai lelaki yang mengadakan perhimpunan secara haram dan bertindak membakar bendera Sabah di pekan Lahad Datu. Dalam kejadian kira-kira pada pukul 8.40 pagi itu, sekumpulan lelaki yang turut membawa tiga bendera kuning bergambar singa merah.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua suspek yang berumur antara 14 hingga 41 tahun itu ditahan di hadapan perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada pukul 9.35 pagi.

Dalam kejadian itu sebanyak enam bendera Sabah telah dibakar di dua tempat berasingan iaitu di hadapan Pasar Rakyat Lahad Datu dan di depan sebuah pasar raya Milimewa.

Mengikut susualan berita seterusnya, perhimpunan ini dicetuskan oleh seseorang yang mendakwa sebagai keturunan waris sultan Sulu. Apa yang dikesalkan ialah mereka yang terlibat ini adalah warganegara, yang diberi perlindungan oleh kerajaan.

Jika mereka tidak tahu bersyukur berada di negara ini, khususnya di negeri Sabah. Atau mungkin mereka mendapat kad pengenalan diri dengan cara yang salah. Adalah lebih baik hantar mereka pulang ke tempat asal mereka. Atau serahkan mereka kepada ISA.

Jika mereka orang tempatan, nampaknya orang-orang ini tidak mempunyai semangat patriotik.

Monday, March 30, 2009

Mutalib MD mahu berhenti jadi blogger tanam pokok jarak ?

Pengendali sabahkini.net mahu jadi tokey pokok jarak la pula...

Ketika sedang mengikuti perkembangan muktahir pemilihan kepimpinan UMNO yang baru lalu. Saya menerima khidmat pesanan ringkas (sms) dari Presiden Persatuan Blogger Sabah (PBS) yang juga peneraju sabahkini.net. Saudara Mutalib MD memberitahu saya yang beliau akan ke Keningau pada keesokan harinya. Katanya hendak melawat projek jatropha di sekitar kawasan Bingkor.

Sekaligus saya mendapat ilham untuk menulis sesuatu mengenai pokok jarak yang boleh menghasilkan bio-diesel. Setahu saya , negara India dan Indonesia telah lama menanam pokok jarak ini. Malahan mereka memproses sendiri minyak dari buah pokok jarak dan minyak itu digunakan untuk kenderaan. Jimatkan...

Saya tidak dapat membayangkan pada satu ketika nanti , saya memproses minyak untuk kegunaan kenderaan sendiri. Ini kerana saya sendiri berminat dengan pokok jarak. Orang Dusun Kota Belud menamakannya belija. Dulu di kampung saya di Kampung Piasau, Kota Belud, pokok belija banyak tumbuh dimana-mana. Lebat-lebat lagi buahnya, batang-batang pun besar macam batang pokok betik.

Kalau di masa itu pokok jarak berharga seperti ini, sudah lama kita kaya.

Kami sering menggunakan buah belija yang jatuh dan dibakar. Ia mengeluarkan api kebiru-biruan ibarat api dari dapur gas jika kita meletakkan sesuatu di hujungnya. Getah dari daunnya pula boleh digunakan untuk menghentikan pendarahan pada luka. Manakala pokoknya boleh dibuat pagar. Seingat saya pokok ini cepat tumbuh semula. Makin lagi lebat apabila dipotong kerana ia mengeluarkan tunas baru.

Dalam keadaan minyak semakin berkurangan di dunia ini, mendapatkan hasil minyak berasaskan tumbuhan , ada manfaatnya juga. Peperangan berlaku kerana berebutkan minyak. Sabah, pengeluar minyak terbesar di Malaysia pun tidak mendapat imbuhan setimpal dari hasil pengeluaran atau sumbangannya kepada ekonomi negara. Boleh dikatakan apa yang kita dapat ialah ‘ tempias tempias ‘ sahaja atau boleh dikatakan ‘ asal ada’.

Lawatan kami ke ladang pokok jarak di Mongitom dan tapak semaian pokok jarak Bionas di Kampung Bunga Raya telah memberi manfaat kepada diri saya sendiri. Saya mengetahui dengan jelas mengenai kelebihan pokok jarak. Penanamannya mudah dikendalikan dan boleh dibuat. Pada ketika ini saya dimaklumkan buah jarak dibeli dengan harga RM800 setan.

Dari kita duduk diam-diam di rumah, lebih baik kita cari peluang. Stigma “saya sekolah tinggi “ atau “saya tidak dilahirkan sebagai petani”, harus diketepikan. Tolak perasaan malu anda itu. Ada orang lulus dalam bidang undang-undang tetapi dianugerahkan sebagai Usahawan Tani atau Usahawan Ternak. Di Amerika, golongan jutawan adalah terdiri dari kalangan petani. Saya syorkan anda menanam pokok jarak. Kalau mahu cari bibit pergi sahaja ke Kg Bunga Raya. Bibit mereka datangnya dari India dan Thailand.

Berbalik kepada kisah Mutalib MD tadi, rupa-rupanya dia datang bersama dengan kawan-kawannya yang ingin tahu sangat dengan penananam pokok jarak. Habis kena inteviu orang-orang di ladang Bionas. Dan macam biasalah, Mutalib MD yang saya kenal sejak tahun 1998 itu , mencari scoop lagi eklusif untuk sabahkini.net. Kalau mahu tahu hasil lawatannya anda boleh melayari laman web beliau- ada kisah biawak di Kampung Bunga Raya, dan pembangunan yang dibuat oleh kedua wakil rakyat Adun Bingkor dan Ahli Parlimen Keningau di kawasan itu. Ada banyak kejutan dipaparkan di sabahkini.net.

Terima kasih kepada Pengerusi JKKK Kg Pegansangan, Juse Loibin yang mengiringi perjalanan kami.

salam