Friday, April 11, 2008

BN PUSAT TERUS KETEPIKAN SABAH SARAWAK



KOTA KINABALU, SABAH : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyifatkan pembahagian jawatan dalam kabinet kerajaan Malaysia yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan kemerosotan , tidak seimbang serta penuh dengan tekanan dan tidak dihormati.

Naib Presiden PKR , Datuk Dr.Jeffrey Kitingan berkata, tidak ada perubahan didalam pembahagian jawatan kecuali personaliti baru diserap dalam kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sabah masih menerima jumlah jawatan menteri dan timbalan menteri yang lebih kurang sama meskipun menyumbang 24 kerusi parlimen, berbanding negeri Selangor yang kalah teruk tetapi mendapat 6 jawatan dalam kabinet itu. Sabah menerima 7 lantikan.

“Pemansuhan beberapa kementerian dan setiausaha politik jelas menunjukkan kepimpinan BN berada di ambang kemerosotan, sementara lantikan senator yang kemudiannya dilantik dalam kabinet juga dilihat sebagai ketidak kepercayaan pimpinan Abdullah terhadap wakil-wakil rakyatnya yang lain ( yang menang melalui pilihan raya),” kata Dr.Jeffrey yang ditemui Suara Keadilan di Sokid Villa.

Menurut Dr.Jeffrey, melihat kepada sumbangan yang besar dari Sabah dan Sarawak, kerajaan seharusnya memberi kelebihan kepada kedua negeri ini dalam penyertaan kabinet. Jika pakatan pembangkang memenangi pilihan raya kata Dr.Jeffrey, Timbalan Perdana Menteri akan dilantik dari Malaysia Timur. Melihat kepada kelebihan pada ketika ini kata beliau, ada kemungkinan wakil dari Sarawak yang lebih layak menerima jawatan tersebut jika PKR dan rakan-rakan membentuk kerajaan.

Dr.Jeffrey berkata, kedudukan BN semakin lemah setiap hari, dan kemungkinan mereka tidak akan mampu bertahan sehingga sepenggal. Beliau percaya rakyat juga semakin hilang kepercayaan terhadap BN dan angin perubahan itu pasti akan berlaku di negeri Sabah.

Sementara itu calon PKR DUN Likas, Christina Liew berkata, penyertaan wakil rakyat dari Sabah dalam kabinet itu dilihat hanyalah untuk penyedap mata dan semata-mata menyenangkan hati parti-parti komponen.

“Saya percaya ramai yang tidak berpuas hati dengan perkembangan ini,
Sabah telah memberikan 24 kerusi untuk memastikan BN menang dengan majority mudah, tapi nampaknya jasa dan sumbangan BN Sabah tidak dihargai,” kata Christina yang juga hampir mengalahkan calon BN di DUN Likas.

Bagi Timbalan Ketua Bahagian PKR Keningau, Jius Awang berkata penolakan jawatan timbalan menteri di peringkat persekutuan membuktikan kepimpinan Abdullah tidak dihormati.
“Keputusan mengenai lantikan ini juga tidak diberitahu lebih awal, lantikan ini kelam kabut dan tidak efesen,” kata Jius yang ditemui di Keningau. Oleh itu kata Jius ternyata kepimpinan BN pada ketika ini berada di dalam keadaan yang tertekan dan berhadapan dengan masalah dalaman yang akan menyebabkan BN tidak mampu bertahan.

No comments: