Tuesday, April 22, 2008

Habitat kelawar boleh dilihat melalui kamera di Gua Rusa

Oleh Steve Annuar


MIRI: Pengunjung Gua Rusa di Taman Negara Mulu berpeluang memerhati dan me-neliti secara jelas habitat lebih tiga juta ekor kelawar di gua itu dengan menggunakan kemudahan Mulu Bat Cam yang dilancarkan oleh Putera Albert II dari Monaco pagi semalam.

Majlis perasmian itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Wilson Baya Dandot.

Rombongan Diraja dari Monaco yang turut disertai Evelyne Genta dan Achille Kallakis, Timbalan Menteri Pelancongan, Dato Sri Sulaiman Taib, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Jacob Dungau Sagan dan ADUN Telang Usan Lihan Jok turut hadir pada majlis bersejarah ini.

Rombongan perlu berjalan kaki di laluan pejalan kaki sejauh tiga km melalui kawasan hutan dara sebelum tiba di Gua Rusa yang turut mempunyai profil wajah Presiden Amerika, Abraham Lincoln pada batu di ruang masuk gua itu.

Projek ini dilaksanakan oleh pihak Borsamulu Park Management Sdn Bhd dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC), antara produk pelancongan ekologi Sarawak.

Kamera berteknologi tinggi ini dikendalikan secara digital dengan sistem pemantauan kawalan jauh direka oleh CTG Security Matrix iaitu syarikat pemenang anugerah bertaraf antarabangsa dari Australia.

Projek ini juga dijangka akan dipertandingkan untuk merebut anugerah rekaan dan inovasi bertaraf antarabangsa.

Mulu Bat Cam menggunakan lima kamera televisyen kawalan jauh dan cahaya infra red yang diletak di dalam Gua Rusa yang membolehkan pengunjung gua itu mendapat gambaran jelas tentang kelakuan kelawar dan habitat mereka.

Sementara itu, Putera Albert memberitahu bahawa beliau kagum tentang Mulu setelah menyaksikan rancangan dokumentari yang memaparkan kehidupan kelawar serta kekayaan kehidupan biologi di Mulu di stesen televisyen BBC di Eropah.

Beliau juga kagum dengan komentar pengarah rancangan itu dalam rancangan khas tentang Mulu yang disiarkan oleh BBC hampir dua tahun lalu.

Mulu menurut beliau amat sesuai dijadikan sebagai tapak khazanah yang kaya dengan sumber ilmu tentang hidupan flora dan fauna untuk disimpan dan dipelajari oleh generasi akan datang

Projek Bat Cam diharap akan meningkatkan pemahaman ahli sains serta orang awam bukan hanya tentang habitat kelawar tetapi juga aspek ekologi dan pemuliharaan di Mulu.

Putera Albert juga melepaskan ikan-ikan ke Sungai Melinau dalam perjalanan ke Gua Air Jernih untuk bersarapan sebelum merasmikan regatta mini Mulu.

Rombongan Diraja itu meninggalkan Miri petang semalam dan bertolak ke Singapura.

Pengarah Urusan Borsamulu Datuk Robert Geneid memberitahu, Mulu mengambil masa yang lama untuk dikenali sebelum mencapai kejayaan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO)

Borsamulu akan terus mempromosikan Mulu dalam pakej pelancongan ekologi dengan membangunkan keupayaan sumber manusia dengan meningkatkan latihan kakitangan, pemandu pelancong, petanda arah, buku panduan, pembangunan infrastruktur serta promosi untuk mengukuhkan nama Mulu di mata dunia.

Taman kini mempunyai seramai 80 kakitangan di bahagian pengurusan taman serta 200 orang pemandu pelancong sementara seramai lebih 80 kakitangan berkhidmat di Royal Mulu Resort.

No comments: