Tuesday, April 22, 2008

Menara Elektrik Tumbang Dipercayai Perbuatan Vandalisme

KOTA KINABALU, 22 April (Bernama) -- Menara talian penghantaran elektrik di Sepanggar dekat sini yang tumbang semalam mengakibatkan bekalan terputus hampir ke seluruh Sabah dipercayai berpunca daripada perbuatan vandalisme sejak beberapa hari lepas.

Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Baharin Din berkata sebanyak 20 batang besi menara itu hilang dipercayai dicuri.

"Tak mungkin kerja mencuri berlaku semalaman tetapi mungkin sejak beberapa hari lepas. Kami tengok ada beberapa nat yang menyokong menara itu telah dibuka," katanya kepada pemberita di Wisma SESB di sini selepas melawat tempat kejadian di Suang Parai, Sepanggar dekat sini, hari ini.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Ahmad Sofi Zakaria.

Baharin berkata nilai kerugian ialah antara RM300,000 dan RM500,000 manakala kos pembaikan dijangka menelan belanja lebih RM400,000.

Beliau berkata SESB akan mengambil masa tiga minggu untuk memasang menara kecemasan sebelum meneruskan kerja pembaikan menara tetap yang akan memakan masa enam bulan.

SESB telah memulakan kerja pemulihan secara berperingkat mulai 7.15 malam tadi dan bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya di seluruh negeri lima jam kemudian.

Kecuali daerah Papar, Beaufort, Ranau, Tenom, Keningau dan Telupid, bekalan elektrik ke seluruh negeri terputus mulai 6.41 petang semalam.

-- BERNAMA

No comments: