Friday, April 25, 2008

Penduduk diminta bersabar



Ellron ketika melawat sebuah jalan putus dalam kawasan Sook


KENINGAU: Penduduk di beberapa kampong yang terjejas akibat kerosakan jalan raya diminta untuk bersabar sementara kerja-kerja dilaksanakan kerajaan dengan seberapa segera. Penduduk kampong seperti di Kampung Karamatoi dan Kampung Kahaba dalam daerah Kecil Sook tidak dapat menggunakan jalan raya utama untuk ke pekan-pekan berhampiran kerana jalan raya terputus akibat hujan lebat.

Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin berkata, Pejabat Daerah Kecil Sook telah mengambil tindakan untuk mengatasi masalah itu dengan segera, dan kerja-kerja pembaikan itu akan dilaksanakan secepat mungkin.

“ Kerosakan jalan – jalan raya itu telah menyebabkan ramai penduduk terkandas dalam aktiviti harian mereka. Saya berharap mereka ( rakyat ) bersabar sementara ini, kerana kerajaan memahami keperluan mereka dan mengambil tindakan,” kata Ellron

Penduduk dari Mukim Dalit adalah antara yang terjejas dalam masalah jalan raya putus.

Sementara itu Ellron yang merupakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, beliau akan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam usaha mendapatkan bekalan bersih untuk rakyat di kawasan itu.

Oleh itu katanya beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan menganggu tadahan air dan pencemaran.

Ellron berkata demikian ketika melawat beberapa jalan yang putus di kawasannya dan memerlukan perhatian segera dari kerajaan.

Katanya yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), gandingan antara beliau dengan Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup yang juga merupakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah adalah rahmat bagi kedua-dua kawasan di luar Bandar itu untuk mendapat perhatian dari kerajaan.

No comments: