Monday, July 14, 2008

Kurup diberi gelaran Ruyan Atulai




Nabawan :Para pengusaha bot penumpang di daerah Kecil Pagalungan disini kini tidak perlu lagi merungut kerana keluhan mereka mengenai kenaikan harga minyak telah diatasi oleh kerajaan. Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, beliau telah menemui kementerian yang berkenan dan mendapat maklumbalas yang sangat positif dimana para pengusaha bot yang merupakan pengangkutan utama di Mukim Pegalungan dan Mukim Pensiangan akan menerima subsidi minyak.

Kurup yang juga merupakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata , apa yang paling penting ialah pemilik bot itu harus mendaftar dengan Pejabat Daerah Kecil Pagalungan dengan mengisi borang perniagaan sebagai pengusaha bot penumpang.

“Inilah syarat yang dikenakan oleh kementerian yang saya temui di Kuala Lumpur, para pengusaha bot harus berdaftar dan akan mendapat kemudahan subsidi minyak. Ini lebih praktikal dan sangat mudah dilakukan oleh para pengusaha bot penumpang,” kata Kurup di majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Ruang Tamu Rumah Panjang Kg Silungai disini sabtu.

Dalam pada itu Kurup juga mengingatkan para pengusaha bot penumpang agar mengutamakan keperluan penumpang yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“ Kita mahu lebih ramai orang pelancong datang ke kawasan kita seperti ke Daerah Kecil Pagalungan yang mempunyai daya tarikan tersendiri. Pengusaha bot harus mempunyai tariff tambang yang tetap dan harus dipatuhi oleh semua,” kata Kurup. Pada ketika ini para pengusaha bot penumpang tidak mempunyai persatuan dan mereka menjalankan perniagaan mengikut kebijaksanaan masing-masing.

Dimana cara itu kata Kurup kurang praktikal dan mereka seharusnya mempunyai badan-badan tertentu agar segala perancangan mengenai tambang dan kemudahan terutamanya dari kerajaan akan mereka nikmati jika mempunyai persatuan.

Bot penumpang di daerah Kecil Pagalungan juga ada yang menjalankan perkhidmatan sehingga ke Kalimantan , Indonesia, dimana ia turut melibatkan pelancong dari luar negara.

Katanya dengan adanya kedatangan pelancong ke daerah di ulu yang berhampiran dengan sempadan itu, akan merancakkan lagi sumber pendapatan penduduk di sekitar kawasan itu.

“ Para pengusaha bot dan penduduk harus memberikan contoh yang baik kepada para pelancong kita agar ada kesinambungan, kerana kita mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik lebih ramai pelawat datang ke daerah kita”.

Dimajlis itu Kurup yang juga merupakan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) turut diberi penghormatan dan diberi gelaran ‘ ruyan atulai’ oleh masyarakat Murut Tagol di Daerah Kecil Pagalungan. Gelaran itu bermaksud pemimpin yang disanjung tinggi, dihormati dan berani dalam memperjuang dan membela rakyat. Turut hadir di majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah, Sukiang Ensing, Ketua Daerah, Tinus Lindas dan Ketua Anak Negeri (KAN) Phillip Antugi.

Kedatangan Kurup ke kampong itu juga turut membawa khabar gembira kepada penghuni 2 blok rumah panjang itu apabila beliau mengumumkan KKLW mempunyai peruntukan sama ada untuk membina atau memperbaiki rumah-rumah panjang. Penghuni rumah panjang di kampong itu ialah seramai 400 orang, sebahagiannya telah berhijrah. Rumah panjang yang kelihatan usang itu telah dirasmikan oleh Kurup ketika beliau menjawat Timbalan Ketua Menteri Sabah era PBS.

“Kerajaan mengambil penuh perhatian terhadap permohonan ini dan saya minta satu rekabentuk struktur rumah panjang yang baru dikemukan kepada KKLW,” kata Kurup yang mendapat tepukan gemuruh dari para penghuni rumah panjang tersebut.

Pengerusi Penganjur, Simpanan Angkong berkata, penduduk di Mukim Pagalungan amat berbangga dengan kedatangan wakil rakyat tersebut yang melawat rakyat di ulu pedalaman.

“ Kami juga berterima kasih kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri kerana memberi penghargaan kepada Pensiangan untuk menjawat portfolio Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) , dan ini adalah satu penghormatan kepada penduduk luar Bandar seperti Daerah Kecil Pagalungan,” kata Simpanan, bekas Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Mukim Pagalungan.