Saturday, November 1, 2008
Manusia Mati Sekali Dua Kali Kubur
Rozie Jumat
1hb November 2008
Khamis lepas seorang kawan bernama Eta minta tolong ambil video pemindahan jenazah ayahnya, Lans Koperal Ibrahim Basinau dari ' tanah wakap' kg membulu ke tanah perkuburan keluarga, 800meter dari kawasan tersebut. Kami melewati ladang kelapa sawit untuk ke ' tanah wakap' itu dalam keadaan panas terik. Habuk jalan raya jangan cakap la. Lori-lori minyak dari kilang kelapa sawit pun laju-laju. Muka yang cute lagi cantik ni rosak dek habuk yang berterbangan menerpa wajah.
ini adalah sesuatu yang amat sukar saya kira apabila melihat keluarga itu. Ayah mereka beragama Islam dan merupakan anggota polis. Beliau, Ibrahim Basinau meninggal dunia pada tahun 2007. Sebelum jenazah dikuburkan di kawasan yang telah dirancang sebagai tanah perkuburan itu berlaku pertikaian dan saling berebut mayat antara pihak keluarga dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) Keningau. Namun akhirnya pihak keluarga terpaksa akur kepada JHEAINS kerana ia adalah permintaan terakhir si mati.
Masalah mengenai agama dan cara hidup si mati sebelum meninggal bukanlah persoalannya. Sebenarnya persoalan itu ialah kebimbangan pihak keluarga itu sendiri terhadap status tanah perkuburan itu. Dimana si mati adalah jenazah pertama disemadikan di tanah tersebut yang merupakan bekas paun milik jabatan Haiwan.
Tanah itu sebelum ini telah dipohon oleh pihak pengurusan masjid di kampung itu dan kini hanya menunggu proses kelulusan. namun difahamkan tanah yang tidak bergeran itu juga dipohon oleh orang lain. dan terbaru telah mengertak pihak keluarga si mati untuk memindahkan jenazah jika tidak akan dikenakan sogit. itulah yang berlaku.
Keputusan memindahkan kuburan mengikut istilah disini dibuat apabila keluarga si mati kurang keyakinan terhadap jaminan status tanah perkuburan yang dikatakan sebagai tapak Perkuburan Orang Islam Kg Membulu, apabila persekitarannya mulai ditanam dengan kelapa sawit.
Eta , 30 tahun anak kepada arwah Lans Koperal Ibrahim @ Timun Basinau berkata, jenazah ayahnya telah dikuburkan di tapak perkuburan yang dikatakan sebagai tanah wakap pada 17hb Oktober 2007. Bagaimanapun katanya sebelum dikuburkan terdapat pertikaian diantara anggota keluarga dan wakil jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) .
“ Kami mahu menguburkan arwah di tanah perkuburan keluarga dan masa itu lubang kubur telah pun dikorek tetapi JHEAINS mahu mayat arwah ditanam di tanah wakap. Masa itu memang agak tegang juga kerana kami masing-masing mempunyai pendapat,” kata Eta. saya juga turut bersama menyaksikan pemindahan bangkai tersebut yang dilakukan oleh sanak saudara si mati.
Apa yang menyedihkan kata Eta ialah , status tanah itu dikatakan mempunyai geran dengan dimiliki oleh penduduk di kampung yang sama bukannya tanah wakap seperti mana diberitahu setahun yang lalu.
“Seorang ibu saudara memberitahu kami bahawa tanah itu adalah milik seorang penduduk dan meminta kami untuk memindahkan kuburan itu jika tidak kami akan dikenakan sogit,” kata Eta. Tanpa melengahkan masa kata Eta, mereka sekeluarga mulai mengurus mengenai pemindahan itu.
Kata Eta , bagaimana mereka tidak marah apabila melihat tapak perkuburan itu ditanam dengan kelapa sawit.
Dalam masa yang sama pihak keluarga tersebut merasa kesal kerana pihak pengurusan surau kg Membulu dan JHEAINS gagal memberi gambaran yang sebenar mengenai status tanah tersebut.
Salah seorang anggota keluarga arwah juga mengamuk di hadapan pegawai JHEAINS yang hadir lewat petang itu. Bagaimanapun JHEAINS tidak menyertai pemindahan ke tapak kuburan keluarga arwah.
Sementara itu , Pegawai Penguatkuasa JHEAINS, Juaris Agud Mohd Daud berkata, permohonan untuk tanah perkuburan di Kampung Membulu seluas 2 ekar lebih itu telah lama dikemukakan kepada pihak berkaitan. Dimana tanah perkuburan itu telah dirancang bagi kampung tersebut yang tidak mempunyai tanah perkuburan bagi yang beragama Islam. Dimana permohonan itu kini dalam proses dan sedang menunggu kelulusan. Beliau juga menafikan tanah tersebut adalah milik perseorangan dan mempunyai geran.
“Jika tanah itu bergeran tidak mungkin bagi kami di JHEAINS dan pengurusan masjid di Kampung Membulu sewenang-wenangnya menggunakan tanah itu sebagai tanah perkuburan,” tegas Juaris. Beliau berkata memandangkan selama ini jenazah mereka yang beragama Islam bercampur di tanah perkuburan bukan Islam, terdapat keperluan untuk mendapatkan tanah untuk tujuan tersebut. Dimana tapak yang ada seluas 2 ekar lebih itu telah dirancang dan telah dipohon.Arwah Ibrahim bin Basinau adalah jenazah pertama dikubur ke tapak tersebut.
Tanaman kelapa sawit dengan ketinggian antara 2- 3 kaki terdapat di kawasan tersebut.
Juaris berkata pertikaian mengenai tanah perkuburan itu tidak ada kaitan dengan soal agama. Kes tersebut menurut Juaris adalah yang pertama kali berlaku di daerah ini. Belaiu juga menasihatkan kepada mana-mana yang berhadapan dengan masalah seumpama itu untuk merujuk terlebih dahulu kepada JHEAINS sebelum membuat sebarang tindakan.
manusia mati hanya sekali. tapi dalam kes ini manusia mati dua kali kubur.
Semoga roh arwah aman dan damai selepas ini, amin.
Subscribe to:
Posts (Atom)