Friday, November 23, 2012

UCAPAN ALU ALUAN YB PRESIDEN PBS SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN PBS KE 27

YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA JOSEPH PAIRIN DATUK KITINGAN

Sempena MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN TAHUNAN PBS KALI KE 27
oleh YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI TAN SRI HAJI MUHYIDIN BIN MOHD YASSIN
Hongkod Koisaan Penampang Pada 21 November 2012 Jam 2.00 Petang

 

Selamat Pagi, salam sejahtera, salam hormat, salam bersatu dan salam 1Malaysia.

 

Terlebih dahulu izinkan saya memanjatkan ucapan syukur kepada Tuhan yang masa kuasa kerana dengan izinnya kita sekali lagi dapat bersama-sama dalam majlis yang sangat bermakna pada petang ini.

 

Secara khusus saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Hj Muhyidin Bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran Malaysia atas kesudian beliau untuk meluangkan masa dalam kesibukan tugas seharian agar dapat bersama kita semua dan seterusnya menyempurnakan upacara perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Kali ke 27 petang ini.

 

Kita amat berbangga kerana YAB Tan Sri Timbalan Perdana Menteri tidak jemu-jemu bertemu dengan kita di Sabah. Kalau tidak silap YAB Tan Sri telah datang untuk merasmikan Persidangan kita sebanyak 3 kali berturut-turut. Kedatangan YAB Tan Sri setiap tahun sudah tentulah tidak sia-sia oleh kerana ianya memberi ruang dan peluang kepada kami untuk menyampaikan pandangan kami mengenai isu-isu rakyat yang penting dan seterusnya menyampaikan sokongan tidak berbelah kami kepada Barisan Nasional dan kepimpinannnya.

 

Sesungguhnya YAB Timbalan Perdana Menteri adalah rakan karib PBS dan rakyat Sabah. Beliau sama seperti YAB Perdana Menteri kerana sentiasa prihatin, memahami dan mengambil berat tentang hal ehwal negeri Sabah. Secara peribadi saya sangat menghargai kata-kata dorongan beliau dalam persidangan tahun lalu dan juga yang diulangi dalam Perutusan beliau sempena Persidangan tahun ini. Beliau telah menekankan keyakinan dan kepercyaan kepimpinan BN pusat terhadap kesetiaan PBS dalam wadah perjuangan BN. Keyakinan beliau terhadap PBS sudah pasti akan menyuntik dan menyemarakkan lagi  semangat perjuangan ahli-ahli PBS untuk terus bersama dengan rakan-rakan seperjuangan dalam Barisan Nasional.

 

Kita dalam PBS tidak akan mensia-siakan keyakinan dan kepercayaan pucuk kepimpinan BN kepada kita dan kita akan membalasnya dengan usaha dan kerja kuat kita dalam pilihanraya yang akan datang untuk mempastikan BN sekali lagi menang dengan cemerlangnya dan terus menerajui pentadbiran kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah. Seperti rangkap pantun yang sering digunakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah,

 

Ada ubi ada batasnya

Ada budi ada balasnya

 

Oleh yang demikian, saya bagi pihak pemimpin-pemimpin, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PBS ingin sekali lagi menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia kerana prihatin dan mengambil berat terhadap kami di negeri Sabah. Kami doakan agar YAB Tan Sri serta keluarga terus sihat walafiat.

 

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan terima kasih kita semua kepada YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman, selaku Pengerusi BN Sabah atas kesempatan beliau bersama kita dalam majlis berbahagia ini. YAB Ketua Menteri Sabah sudah tidak asing lagi bagi kita semua dalam PBS kerana beliau sebenarnya telah menghadiri perasmian persidangan kita setiap tahun sejak beliau menjadi Ketua Menteri Sabah.

 

PBS sangat menghargai kehadiran beliau kerana ianya menggambarkan sokongan beliau terhadap PBS yang sangat bermakna. Tidak dinafikan sokongan dan kerjasama yang beliau berikan kepada PBS telah meningkatkan lagi persefahaman, permuafakatan dan persaudaraan kita dalam kerabat Barisan Nasional Sabah. Hari ini di bawah kepimpinan YAB ketua Menteri Sabah kita terus bersatu dan menjadikan lebih kuat, lebih mantap dan lebih bersemangat menghadapi cabaran politik masa kini.

 

Seterusnya saya ingin mengucapkan selamat datang kepada para jemputan khas khusus Presiden-Presiden atau wakil-wakil komponen BN peringkat Negeri dan Nasional. Kehadiran Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional telah menyuntik keyakinan baru bagi kami untuk meneruskan perjuangan kami.

 

Seterusnya saya juga berterima kasih atas kehadiran semua para hadirin, dif-dif kehormat, Tan Sri-Tan Sri, Datuk-Datuk kerana menyerikan lagi majlis pada petang ini. Khusus kepada para perwakilan dan pemerhati PBS dari seluruh pelusuk Sabah, kehadiran atas kehadiran yang begitu ramai petang ini. Selaku pemimpin-pemimpin akar umbi PBS saya ucapkan terima kasih kerana kerjasama dan komitmen berterusan anda semua untuk bersama saya dalam perjuangan murni parti. Terima kasih kepada anda semua kerana telah melaksanakan tanggung jawab anda masing-masing sesuai dengan kehendak Perlembagaan kita.

 

Dalam persidangan kali ini sepatutnya kita akan mengadakan pemilihan kepimpinan tertinggi parti untuk tempoh tiga tahun lagi. Namun disebabkan tumpuan kita tertuju kepada persiapan pilihanraya, maka Majlis Tertinggi PBS dalam mesyuarat yang lalu telah memutuskan untuk menangguh pemilihan tersebut sehingga tahun hadapan dan melanjutkan tempoh jawatan Majlis Tertinggi sekarang sehingga ke Persidangan Perwakilan Tahun hadapan.

 

Tidak dinafikan kemungkinan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS kali ke 27 ini adalah yang terakhir sebelum berlangsungnya pilihanraya umum. Sebelum saya meneruskan ucapan saya, terimalah serangkap pantun saya...

 

semboyan pilihanraya sudah bergema

semarak perjuangan mengisi ruang udara

jantung di dada berkobar-kobar

menanti saat Parlimen dibubar

 

Juga tidak dapat dinafikan bahawa pilihanraya kali ini amat genting kerana ianya akan menentukan masa depan kita dan negara kita. Persiapan kita tidak cukup setakat menghadiri majlis-majlis perjumpaan rakyat dan mendengar ucapan-ucapan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Pihak pembangkang terus menyerang dan menyemarakkan sentimen membenci Barisan Nasional dan pemimpin-pemimpinnya. Kita berhadapan dengan cabaran baru pihak pembangkang yang lebih bersungguh-sungguh.

 

Pihak pembangkang sebenarnya tidak kuat dan tidak dapat menggugat kedudukan BN Sabah.  Namun mereka sudah menjadi pakar putar belit dan saudagar janji kosong untuk mengaburi mata rakyat. Sebahagian rakyat nampaknya masih terpengaruh dengan dakyah politik Pembangkang. Oleh itu, kita tidak boleh mendabik dada dan mengatakan BN boleh menang mudah. Hakikatnya kita harus bekerja keras, komited, bersungguh-sungguh, segera turun padang agar tidak mensia-siakan kepercayaan yang diamanahkan kepada kita oleh pucuk kepimpinan Barisan Nasional. 

 

Saya percaya dan yakin bahawa kunci utama kejayaan kita dalam Barisan Nasional adalah teras pendekatan kita sebagai parti sederhana iaitu melalui perpaduan, kerjasama, persefahaman, muafakat, toleransi dan semangat kekitaan. Sebagai anggota Barisan Nasional kita harus bergerak maju, seiring dan sejalan, seia dan sekata dalam menangani isu-isu rakyat. Selagi kita bersatu dan terus bersatu, bekerjasama untuk kebaikan bersama, kita boleh menangkis serangan musuh yakni dapat mempertahankan negeri Sabah sebagai kubu kuat Barisan Nasional.

 

Saya berbangga dan berterima kasih kerana semua anggota dan penyokong PBS di semua kawasan DUN dan Parlimen Sabah telah menyumbang kepada kekuatan Barisan Nasional. Saya mengajak kita agar meneruskan tahap persefahaman dan kerjasama ini di peringkat kawasan masing-masing dalam pilihanraya akan datang. Kita lupakan perselisihan yang telah menjejas kekuatan BN dan kita mulakan lambaran baru kerjasama yang berlandaskan kepada keikhlasan mencari kepentingan bersama dan saling hormat menghormati.

 

Sepertimana yang kita sedia maklum, PBS masih berpegang kepada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 4 kerusi Parlimen. Kita sebenarnya mengharapkan tambahan kerusi dalam pilihanraya kali ini. Berikutan pengunduran parti SAPP dari Barisan Nasional, kerusi-kerusi yang dikuasai pembangkang terbuka untuk parti-parti komponen BN yang lain. Saya pernah mengatakan dan saya ulangi sekali lagi bahawa perkara ini harus ditentukan oleh kebijaksanaan kepimpinan Barisan Nasional melalui perundingan meja bulat dimana parti-parti komponen BN tidak bertelingkah tetapi membuat ketetapan yang adil dan saksama. Untuk makluman para perwakilan dan pemerhati semua, pucuk kepimpinan PBS telah menyampaikan pendapat atau hasrat kita kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional. Harapan kita ialah agar cadangan kita mendapat perhatian dan sokongan. PBS sememangnya bersedia bertanding dan meletakkan calon-calon menang atau winnable candidatesdalam mana-mana kerusi yang dipercayakan kepada PBS.

 

Dalam kesempatan ini, saya juga merakamkan syabas dan tahniah kepada pucuk pimpinan kerana mempunyai pendekatan baru dengan konsep 1Malaysia iaitu “ Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Pendekatan ini sangat serasi dengan pendekatan PBS iaitu ‘patriotisme Asas perpaduan.” Perjuangan BN telah mengambil kira keperluan rakyat berbilang kaum dan agama dan masa depan yang tidak boleh dipisahkan.

 

Sebagai sebuah badan politik,  BN tidak lari dari berhadapan dengan pelbagai cabaran yang bukanlah sesuatu yang ganjil. Cabaran-cabaran itu adalah perkara yang kita sentiasa ambil berat dan ambil kira. Namun dengan kerjasama antara parti-parti komponen BN serta kekuatan jentera-jentera BN yang ada, kita akan sama-sama memperoleh penyelesaiannya.

 

Kita amat bertuah kerana kita mempunyai Perdana Menteri yang mempunyai pendekatan menyeluruh seperti Gagasan 1Malaysia dan diterima oleh rakyat. Beliau mempastikan rakyat mengetahui dan mendalami segala perancangan serta niat baik, keikhlasan dan usaha kerajaan BN untuk menghadapi atau menyelesaikan masalah-masalah rakyat. Dengan memperkenalkan Gagasan 1Malaysia “Rakyat DiDahulukan dan Pencapaian DiUtamakan” YAB Perdana Menteri telah membawa kita ke arah landasan politik yang betul dengan memastikan persekitaran politik, sosial dan ekonomi sesuai dan kondusif untuk memacu kejayaan dan pencapaian negara menjelang tahun 2020.

 

Kita sedia maklum pihak Pembangkang bersungguh-sungguh mahu menimbulkan keraguan rakyat terhadap keupayaan kerajaan Barisan Nasional. Pembangkang mendakwa bahawa kerajaan BN kononnya tiada buat apa-apa untuk rakyat. Namun rakyat Malaysia tidak buta. Mereka boleh melihat dan menghargai kesungguhan dan keprihatinan kerajaan BN untuk memastikan impian atau keinginan dan hasrat rakyat akan terus menjadi kenyataan. Mereka tahu bahawa kerajaan BN mampu mewujudkan satu keadaan yang lebih baik, suasana politik yang lebih aman, harmoni dan stabil, serta suasana sosial yang lebih adil dan saksama, dan suasana ekonomi yang lebih mengizinkan untuk menjana kekayaan negara. 

 

Secara khusus YAB Perdana Menteri telah memperkenalkan beberapa langkah-langkah yang saya anggap sebagai mesra rakyat. Misalnya, penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menangani Pendatang Tanpa Izin (PTI) ia adalah langkah bijak dan strategik yang menerima sokongan majoriti rakyat negeri Sabah. Pihak Pembangkang cuba menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan kerajaan Barisan Nasional. Namun hakikatnya Suruhanjaya tersebut sudah diwujudkan dengan terma-terma yang cukup memuaskan dan dianggotai ahli-ahli Panel yang berwibawa dan boleh dipercayai. Walau bagaimana pun, parti-parti politik serta rakyat jelata harus memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya yang telah dilantik oleh kerajaan agar fakta-fakta yang berkaitan dengan kehadiran pendatang tanpa izin dapat didokumentasikan untuk tindakan-tindakan selanjutnya.

 

Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak rakyat dan PBS , ingin merayu supaya satu mekanisme diwujudkan bagi membincang dan mencapai penyelesaian “menang-menang” (win win) ke atas sumber asli atau resources seperti minyak dan gas, supaya keperluan negeri dan  hasrat rakyat dapat diambil berat demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Sabah yang berkekalan. PBS berharap YAB Timbalan Perdana Menteri boleh memberi respon yang positif terhadap rayuan dan permohonan ini.

 

Sementara itu, masyarakat Kadazandusun dan Murut sudah tentunya amat berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana telah bersetuju untuk meluluskan penubuhan Kolej KDM yang telah dirasmikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri di Tambunan. Baru-baru ini tapak pembangunan Bangunan Pusat  Latihan Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Penampang telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri. Semuanya ini harus menjurus ke arah memartabatkan budaya, bahasa dan nilai-nilai masyarakat Kadazandusun dan Murut di negara kita.

 

 Kita juga amat bertuah kerana kita mempunyai Ketua Menteri Sabah yang bijak dalam pengurusan ekonomi dan kewangan negeri. Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, YAB Ketua Menteri Sabah telah membentangkan Bajet negeri Sabah bagi tahun 2013 sejumlah lebih kurang RM4 billion. Jumlah ini merupakan jumlah paling besar dalam sejarah Belanjawan negeri Sabah. Ianya menggambarkan kejayaan dan keupayaan kerajaan negeri Sabah untuk menjana kekayaan untuk pembangunan dna kesejahteraan rakyat negeri Sabah.

 

Di negeri Sabah program-program Sabah Development Corridor (SDC) melalui SEDIA bakal mengubah lanskap pembangunan di negeri ini. Kita menyaksikan jumlah peruntukan yang disediakan sentiasa bertambah sejak tahun 2008 sehingga ke tahun 2012. Dengan adanya strategi perlaksanaan yang lebih mantap, saya yakin kerajaan BN akan dapat mencapai matlamat pembangunannya bagi tahun-tahun mendatang ini.

 

Kita menyokong laporan awal perancangan transformasi pendidikan yang telah diumumkan baru-baru ini.  Bagi negeri Sabah banyak yang perlu diambil kira oleh kerajaan berkaitan dengan pertindihan kelas, kekurangan rumah guru dan kemudahan infrastruktur yang diminta. Begitu juga dengan keperluan asrama untuk pelajar yang jauh.

 

Guru-guru dari Sabah perlu ditempatkan di negeri sendiri atas sebab  mereka lebih proaktif dan bersemangat di tempat sendiri. Kita minta kerajaan memberi pertimbangan agar guru yang baru keluar dari institut latihan diberi keutamaan untuk mengajar di tempat asal sendiri. Mereka perlu pendedahan untuk meningkatkan keyakinan diri sebelum ditempatkan di sekolah-sekolah lain.

 

Saya juga berterima kasih kerana Dasar Pendidikan Negara terus mengiktiraf pembelajaran Bahasa Kadazandusun dan Murut dalam sekolah-sekolah kerajaan. Saya difahamkan dan saya berterima kasih kerana kerajaan juga kini mempunyai sikap yang liberal untuk membolehkan pelajaran “Bible Knowledge” dimasukkan dalam kurikulum sekolah. Dasar Pendidikan Negara mengiktiraf betapa pentingnya bagi negara ini terus berada di atas landasan betul. Walau pun Islam merupakan agama rasmi, Perlembagaan memberi kebebasan bagi rakyat Malaysia untuk memilih dan menganuti agama masing-masing. Saya percaya kebebasan ini termasuk hak rakyat Malaysia belajar agama masing-masing. Ianya haruslah dilaksanakan sesuai dengan matlamat asal dan semangat dimana ianya digubal semasa Malaysia di bentuk dahulu.

 

Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada YAB Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran atas sikap terbuka yang sedia menerima pendapat dan cadangan. PBS akan terus menyuarakan cadangan-cadangan untuk membina dan membantu kerajaan merealisasikan matlamat Pendidikan Negara. 

 

Tidak dinafikan BN hari ini berada di landasan yang tepat. Pucuk pimpinan PBS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Doktor Politik kita, YAB Perdana Menteri Malaysia, yang telah mengambil pendekatan yang bijak dan berani. PBS adalah sehaluan pendapat dan memahami pendekatan beliau. Oleh itu, kita tidak ragu-ragu menyokong penuh hala tuju kerajaan Barisan Nasional baik di peringkat kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri Sabah.

 

Kita tidak ragu-ragu menyatakan sedemikian dengan keyakinan bahawa perhubungan di antara PBS dan pucuk kepimpinan BN begitu rapat dan mantap sekali. Kita percaya hubungan kita bukan sahaja erat tetapi wujud hubungan strategik dan persefahaman yang sangat mendalam yang saya percaya mengikat ke dua –dua pihak ke arah aspirasi dan destinasi yang membanggakan rakyat jelata.  

 

Sebagai penutup, sekali lagi saya ingin tekankan bahawa sokongan PBS terhadap BN adalah berasakan kepada asas perjuangan BN yang berpaksikan kepada kepentingan rakyat. PBS yakin perancangan pembangunan yang disediakan dan dilaksanakan oleh Kerajaan BN menyeluruh, tidak tertumpu kepada kawasan bandar atau di Semenanjung sahaja atau hanya untuk kepentingan orang perseorangan. Kita yakin pendekatan kerajaan BN ialah kepentingan rakyat yang harus didahulukan. Kerajaan BN tidak mengetepikan rakyat dan sentiasa menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira anutan agama dan juga suku kaum. Rakyat negeri Sabah terjamin di bawah kerajaan Barisan Nasional. Hakikatnya kerajaan BN menitikberatkan keutamaan, kepentingan dan keperluan rakyat dalam penggubalan dan perlaksanaan dasar pembangunan negara.

 

Saya akhiri ucapan saya dengan doa dan harapan yang tinggi serta ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas kedatangan YAB Timbalan Perdana Menteri ke Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke 27 tahun ini. Semoga pertemuan kali ini sekali lagi meningkatkan semangat juang kita untuk bersama-sama rakyat akar umbi dan memperjuangkan kepentingan dan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang.

 

Sekian dan Terima Kasih.

 

 


MANGSA KEBAKARAN RUMAH DIZIARAHI PAIRIN

Pairin di rumah mangsa kebakaran , Puan Maria Kuntiou.
 
KENINGAU :  Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan telah meluangkan masa mengunjungi keluarga yang telah kehilangan rumah dalam satu kebakaran di Kampung Tuarid Taud.
Mangsa, Michael Majungal seorang pesara polis dan isterinya, Maria Kuntiou, memberitahu kejadian itu berlaku ketika mereka menghadiri upacara keagamaan.
Rumah konkrit dan sebuah kereta pacuan empat roda musnah dalam kejadian 2hb November lalu.
Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau menyampaikan simpati dan  turut menyerahkan sumbangan wang tunai untuk meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga berkenan.

Pairin menyerahkan sumbangan kewangan untuk meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga Pn.Maria.
 

Pairin tinjau stesen keretapi sejauh 134 km



   TINJAU..Pairin dan Mohd Zain di Stesen Keretapi Tanjung Aru sebelum memulakan lawatan   menaiki keretapi sejauh    134    sehingga ke Tenom.
TENOM : Kemudahan dan perkhidmatan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) akan terus dipertingkatkan demi menjamin keselesaan pengguna, sebagai pengangkutan yang berkesan, disukai ramai dan anjakan kepada sektor pelancongan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastuktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama kakitangan di Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI)  dan agensinya Jabatan Keretaapi telah membuat tinjauan dari stesen ke stesen bermula dari Stesen Tanjung Aru (Kota Kinabalu) sehinggalah ke Stesen Keretapi Tenom. Hadir sama Pembantu Menteri, Datuk Japlin Akim, Setiausaha Tetap KPI Datuk Felix Madan dan Pengurus Besar JKNS  Mohd Zain Hj Mohd Said.

Pairin berkata, tinjauan ke dari stesen ke stesen sejauh 134 kilometer itu adalah bertujuan untuk meninjau persiapan mempertingkatkan perkhidmatan keretapi kepada rakyat.
Pairin dan rombongan menaiki keretapi bermula dari Tanjung Aru dan bertukar kepada pengangkutan railbus dari Beaufort ke Tenom dengan menyinggah 13 buah Stesen Penumpang serta 1 buah Stesen Terminal Muatan Barang sepanjang 134km.
“Perkhidmatan pengangkutan keretapi di Sabah telah wujud sekian lama sejak zaman British dan merupakan pengangkutan utama penduduk bukan sahaja untuk ke kawasan laIn tetapi juga mengangkat komoditi pertanian untuk dipasarkan khususnya dari kawasan pedalaman ke Bandar,” kata Pairin dalam satu sidang media di sebuah hotel disini.

Pairin berkata, hasil tinjauan dan lawatan yang dibuat telah melihat keperluan pembaikan dan peningkatan infrastruktur, termasuklah mempertingkatkan soal keselamatan rel.
“Kerajaan juga telah membuat kajian mengenai fakor keselamatan yang dilakukan oleh konsultan. Namun lebih cepat laporan itu diberikan kepada kementerian, maka lebih cepat dibawa ke mesyuarat kabinet untuk dibincangkan,” kata Pairin ketika ditanya mengenai kajian peningkatan keselamatan yang dijalankan oleh konsultan.
Katanya, kajian itu akan mencadangkan apa yang perlu untuk membaiki keadaan.
Selain itu kata Pairin pelbagai kemudahan kepada pengguna akan dipertingkatkan seperti kemudahan tandas, perhentian berbumbung terutama di stesen yang menjadi tumpuan pengguna di stesen-stesen keretapi.
“Kerajaan memandang jauh ke hadapan dalam meningkatkan perkhidmatan keretapi kepada masyarakat, bukan sahaja kepada perkhidmatan sedia ada , kita juga memperhatikan perkhidmatan kepada kawasan lain dengan dorongan ramai yang suka dengan pengangkutan keretapi,” kata Pairin.
Jelasnya, jabatan keretapi juga berperanan dalam menganjak kepada kedatangan pelancong ke kawasan luar Bandar yang menawarkan eko pelancongan khususnya water rafting di Sungai Padas.