Friday, March 28, 2008

Adakah giliran Dompok pula selepas ini…


KOTA KINABALU : Adakah Presiden PERTUBUHAN PASOKMOMOGUN KADAZANDUSUN MURUT BERSATU (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok bakal mengikut jejak langkah rakan-rakan BN Sabah yang begitu berghairah meletak jawatan sebagai anggota kabinet persekutuan? Jawatan yang diidam-idamkan oleh mana-mana wakil rakyat. Sehingga berita ini ditulis bekas Ketua Menteri Sabah ( melalui penggiliran jawatan ) itu enggan mengulas atau memberi sebarang komen lanjut sebaliknya berkata khabar angin boleh datang dan pergi.

Bernard yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dikhabarkan akan meletakkan jawatan beliau yang disandangnya bagi penggal kedua. Apakah sebenarnya yang berlaku di Sabah? Apakah mereka tidak menghormati kepercayaan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia , Datuk Abdullah Ahmad Badawi yang telah melantik mereka bagi mengiktiraf peranan BN di Sabah? Atau apakah virus atau angin yang sedang melanda Sabah secara diam-diam?

Keengganan Bernard untuk mengulas lebih panjang mengenai khabar itu, seolah-olah beliau ( Bernard) sedang berhadapan dengan sesuatu yang amat sukar untuk beliau putuskan pada ketika ini. Mungkin beliau perlu bertenang dan lebih berhati-hati memberi sebarang komen kepada media. Mungkin Tan Sri perlu pergi bercuti di Austarlia seperti mana pemimpin-pemimpin BN yang ternyata taksub dengan negara itu.

Bernard sebaliknya berkata Khabar angin boleh datang dan pergi tetapi kita begini juga.

Tanpa menyebut dengan jelas apa maksud beliau tentang khabar angin itu, beliau berkata ‘ kita begini juga. Bagi masyarakat Kadazandusun-Murut (KDM) ayat beliau itu berbau ‘ merajuk’ atau ‘mangaus’.

Kartunis KDM, Langkawit pernah mengaitkan kedudukan KDM umpama menaiki sebuah bas. Ayat itu amat popular di Sabah , dimana kartunis Langkawit berkata. “ Dari Kenaikan (Bas) sampai keturunan ( turun bas) tiada kedudukan ( tidak dapat duduk / tidak mendapat kerusi ).

Sebagai seorang pemimpin KDM yang bertanggungjawab serta setia bersama bersama BN satu masa ketika dahulu. Bernard dan UPKO sepatutnya mempunyai kedudukan yang lebih baik dalam kabinet.Kesetiaan mereka (UPKO) terhadap BN sepatutnya lebih daripada peranan seorang menteri tanpa portfolio.

Selain Dompok yang merupakan Ahli Parlimen Penampang, parti tersebut mempunyai tiga lagi kerusi Parlimen di Dewan Rakyat dan enam kerusi di Dewan Undangan Negeri Sabah.

KRISIS TIDAK PERCAYA PIMPINAN ABDULLAH BERTIUP DI SABAH

KOTA KINABALU : Setelah siri demi siri wakil rakyat dari negeri Sabah menolak jawatan, dan yang terbaru Datuk Ghafur Salleh yang telah mengangkat sumpah , kemudiannya meletakkan jawatan. Ini menimbulkan reaksi dari pelbagai pihak terutamanya UMNO Sabah. Dalam masa yang sama ada dikalangan ahli parti itu sendiri cuba melobi agar wakil rakyat mereka diberi peluang untuk mengambil tanggungjawab tersebut. .

Penolong Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Masidi Manjun bercakap mengenai perkembangan mutahir itu berkata , Sabah lebih berhak mempunyai lebih banyak wakil dalam Kabinet persekutuan. Namun apa yang dilihat katanya, setelah menjadi kubu kuat BN di Sabah, penghargaan itu seharusnya diterjemahkan melalui penyertaan yang lebih ramai dari Sabah sendiri.

Da Masidi berkata Sabah mempunyai justifikasi kukuh untuk meminta pertimbangan Perdana Menteri ( meskipun bukan begitu mudah ) beliau untuk memberikan mereka tanggungjawab (menteri) yang akan dapat membantu memperkukuhkan Barisan Nasional (BN) di Sabah.

“Sebagai orang Sabah, saya merasakan bahawa Sabah berhak mempunyai lebih banyak wakil (dalam Kabinet persekutuan) dan bahawa menteri-menteri dari Sabah sepatutnya juga diberikan portfolio (sesuai). Saya percaya ini perlu diberikan perhatian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Jurukur Sabah di sini.


* Kenyataan Masidi ini turut memberi maksud jawatan yang diberikan terhadap wakil rakyat dari Sabah itu tidak penting. Dalam erti kata lain - sesetengah orang boleh menerima atau tidak.Dalam istilah Sabah - ia bermaksud mangaus.

Kata Masidi Sabah hanya meminta wakil lebih banyak di Kabinet persekutuan bagi memastikan negeri itu terus menjadi kubu BN. “Apa yang ingin saya katakan ialah Sabah telah menunjukkan yang kita boleh diharapkan dan saya fikir ia patut dihargai oleh pusat (kerajaan persekutuan),” katanya.

Mengenai Ghapur , Masidi berkata sekiranya wakil rakyat itu tidak mahu terikat , beliau sepatutnya tidak menerima jawatan tersebut.

Katanya, tanggungjawab yang diberikan kepada Ghapur adalah penting, bukan sahaja kepada negara tetapi juga bagi dunia. “Portfolio ini amat penting. Isu alam sekitar merupakan satu daripada isu semasa di seluruh dunia. Saya belum berkesempatan berjumpa beliau. Saya juga belum bercakap dengan beliau. Tetapi saya akan bertanyakan bagi alasan beliau meletakkan jawatan secara tiba-tiba,” katanya. Masidi, yang jelas terkejut apabila mendapat tahu mengenai peletakan jawatan Ghapur daripada pemberita, berkata kurangnya wakil dari Sabah dalam Kabinet persekutuan akan mengecewakan penduduk Sabah.

Sementara itu Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Silam sebulat suara telah mencadangkan Ahli Parlimen Silam Haji Salleh Kalbi untuk diberi peluang menjawat kerusi Timbalan Menteri Pengangkutan.

"Kekosongan jawatan ( Timbalan Menteri Pengangkutan) itu yang diperuntukkan untuk negeri ini dicadangkan untuk Ahli Dewan Rakyat Silam," kata Penyelaras Pemuda Dun Kunak,Mohd. Hamzah Jumat Datuk Haji Raudah

Beliau juga turut mengemukakan beberapa alasan lain bagi menyokong permintaan tersebut dan antaranya ialah Salleh telah berjaya mendapat sokongan yang begitu besar dari para pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu,dengan majoriti 9,792 unid.
Selain itu katanya,ahli-ahli Parlimen terdahulu di kawasan itu sebelum ini juga mempunyai jawatan masing-masing dan beliau berharap peluang yang sama turut diberi kepada wakil rakyat mereka ketika ini.

Beliau berkata demikian sebaik selesai Mesyuarat Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Silam,di salah sebuah hotel di daerah ini.

Dalam pada itu,Hamzah menyatakan yang beliau dan ahli-ahli pergerakan itu berkeyakinan tinggi yang Salleh akan berupaya melaksanakan tugas yang diamanahkan,sekiranya beliau diberi peluang menjawat jawatan berkenaan.

Beliau berharap perkara itu dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh pucuk pimpinan parti terbabit.

Untuk makluman setelah Sabah memberikan majoriti untuk memastikan kemenangan mudah BN membentuk kerajaan sekali lagi, Sabah telah diberikan jawatan yang kekal iaitu 3 menteri penuh dan 3 timbalan menteri. Sebaliknya wakil-wakil rakyat dari Selangor yang mana kerajaan negerinya telah ditawan pakatan pembangkang, telah diberikan jumlah jawatan yang lebih kurang dengan negeri Sabah....

Tulisan ini adalah pandangan penulis.

GHAFUR LETAK JAWATAN...


KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ghapur Salleh berkata, keputusannya meletakkan jawatan semalam kerana tidak mahu terikat dengan peraturan kerajaan yang melarangnya daripada menjalankan perniagaan.
Sebagai anggota Kabinet, Ahli Parlimen Kalabakan itu berkata, banyak peraturan yang mengikatnya dan beliau merasakan adalah lebih baik sekadar menjadi wakil rakyat biasa sahaja.
‘‘Sebenarnya jangan kata jawatan timbalan menteri, jawatan menteri pun saya memang tidak akan terima kerana saya fikir ini suatu tanggungjawab yang besar.
‘‘Saya tidak mahu terikat dengan peraturan kerajaan iaitu saya tidak boleh meneruskan perniagaan dan pelbagai lagi. Saya fikir lebih baik saya menjadi ahli Parlimen dan penyokong kerajaan sahaja,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum berlepas pulang ke Tawau di sini hari ini.
Ghapur, 64, juga menolak dakwaan pihak tertentu bahawa beliau akan menyertai pakatan parti pembangkang.
Tegasnya, prinsip dan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN) tidak harus dipertikaikan kerana beliau masih Ketua UMNO Bahagian Kalabakan dan Ahli Parlimen BN.
‘‘Semua desas-desus tidak benar kerana saya ada prinsip sendiri. Ketika Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Berjaya masuk PBS tetapi saya seorang sahaja tidak mahu. Di situ kita dapat ukur apa pendirian saya,” katanya.
Ghapur memberitahu, surat peletakan jawatan itu telah diserahkannya ke Pejabat Perdana Menteri pagi semalam tetapi beliau tidak menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menjelaskan hasrat tersebut.
Katanya, keputusan itu adalah muktamad dan sebab-sebabnya telah dijelaskan dengan panjang lebar di dalam surat tersebut. Justeru beliau berasa yakin Perdana Menteri akan menerima peletakan jawatan itu.
Peletakan jawatan Ghapur dalam kerajaan bukan yang pertama kali dilakukannya kerana sebelum ini beliau pernah meletak jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan Negeri pada 1997.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini, beliau mengekalkan kerusi Parlimen Kalabakan selepas menang tanpa bertanding selama dua penggal berturut-turut.
Ghapur memberitahu, surat kepada Perdana Menteri itu antara lain mengucapkan terima kasih atas pemilihannya sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kalabakan dan pelantikan sebagai timbalan menteri.
‘‘Sebab lain yang saya berikan ialah saya mahu menumpukan kawasan Parlimen Kalabakan yang terdapat tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Merotai, Tanjung Batu dan Sebatik,” ujarnya.
Ditanya mengapa peletakan jawatan itu hanya dilakukan lapan hari selepas majlis mengangkat sumpah, jelasnya, pelantikan sebagai timbalan menteri hanya diketahuinya melalui pengumuman di televisyen dan beliau tidak berkesempatan menyatakan hasrat meletak jawatan itu kepada Perdana Menteri.
Mengenai tindakan itu akan menyebabkan Sabah kehilangan dua wakil dalam Kabinet selepas Datuk Anifah Aman yang turut menolak jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan, Ghapur berkata, beliau tidak boleh mengulas bagi pihak Anifah.
Tambahnya, terpulang kepada Abdullah untuk mengisi jawatan yang dikosongkan itu kerana ia hak Perdana Menteri tetapi beliau berpendapat lebih baik diserahkan kepada ahli Parlimen dari Sabah juga.
Ghapur turut memberi jaminan penyokongnya akan tetap setia kepada UMNO dan BN serta peletakan jawatan itu tidak sesekali menyebabkan mereka berpaling tadah pada parti pembangkang.
‘‘Penyokong saya menyokong UMNO dan BN serta kepada saya sebagai ketua bahagian. Mereka ini tidak susah walaupun saya tiada di dalam kerajaan kerana yang penting ada pembangunan yang boleh saya bawa ke Kalabakan,” katanya.

Peletakan jawatan Ghapur atas sebab peribadi
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, peletakan jawatan Datuk Abdul Ghapur Salleh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak ada kena-mengena dengan soal Ahli Parlimen Kalabakan, Sabah itu hilang kepercayaan terhadap beliau.
Sebaliknya kata Perdana Menteri, keputusan berkenaan dibuat atas sebab peribadi.
‘‘Ia tiada kena-mengena dengan soal itu (hilang kepercayaan). Ini (peletakan jawatan itu) atas sebab yang cukup peribadi,’’ katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT parti itu di sini, hari ini.
Ghapur menyerahkan surat peletakan jawatan berkenaan semalam kepada Perdana Menteri di Putrajaya.
Sambil menjelaskan beliau sudah membaca surat berkenaan, Abdullah berkata, beliau tidak berkesempatan bertemu Ghapur.
“Saya tidak dapat bertemu beliau, sebab terlibat dalam banyak hal. Jadi, beliau tinggalkan surat untuk saya,’’ katanya.
Ghapur merupakan ahli Parlimen kedua dari Sabah dan orang ketiga yang melepaskan jawatan timbalan menteri Pusat setelah pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Sejurus selepas Abdullah mengumumkan barisan Kabinet pada 18 Mac, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan manakala Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar menolak jawatan Timbalan Menteri Luar.