Monday, August 25, 2008

Tuhan masih sayang...

Sepanjang keluar masuk di kawasan Pensiangan. Inilah kali pertama saya terlibat dalam satu kemalangan yang membuat saya merasakan satu pengalaman menuju kematian. Inilah yang paling saya ingat. Bukan kerana saya takut mati, tidak. Setiap kali ada perjalanan ke luar bandar seperti di daerah Nabawan dan Daerah Kecil Sook, saya sering berdoa memohon perlindungan Tuhan, dan menyerahkan hidup saya kerana setiap hari yang kita miliki adalah kehendakNya.

Pada malam 14hb Ogos, saya mulai menghantar pesanan ringkas kepada adik bongsu yang bernama Lisa. Saya katakan padanya, apa pun yang berlaku terhadap saya , saya sangat sayang mereka, dan tolong beritahu kekasih saya di Miri saya sangat sayangkannya ( kerana saya bergaduh dengannya dan tidak menghubunginya). Adik saya kata, apabila pulang dari lawatan baliklah bercuti ke kampung di Kota Belud. Saya katakan padanya saya akan pertimbangkan kerana saya belum memohon cuti.

Keesokan paginya , 15hb Ogos , saya menghantar pesanan ringkas kepada seseorang kawan di Tambunan. Dia agak marah dengan isi pesanan saya , dan menyuruh saya berdoa. Saya katakan padanya, saya sering keluar masuk kawasan-kawasan luar bandar dan tahu kawasan yang berisiko. Dia diam.

Kami bertolak pada jam 9.00am, dengan Pegawai Perhubungan Parlimen Mukim Sepulut / Pemuntarian , saudara Steven Lewin, Chong, Pakcik Undan dan saya sendiri dalam satu kenderaan. Kami ada tiga kenderaan semuanya, bos saya YB Tan Sri Joseph Kurup dan sebuah lagi kenderaan milik Ketua Bahagian PBRS Nabawan, Saudara Paul Yambak. Sementara YB Datuk Ellron dan EXCO Pemuda PBRS bertolak pada tengah hari. Itu adalah perjalanan ke Kampung Salinatan , 124km menggunakan jalan kayu balak dari Batu 16 Sook.

Sepanjang perjalanan menuju ke Kg Salinatan, YB Tan Sri Kurup sempat meninjau jalan raya, menikmati pemandangan air terjun serta sempat memburu tapi menghampakan. Kami melalui perjalanan yang amat mencabar dengan jalan milik syarikat kayu balak. Namun itu tidak pernah mematahkan semangat wanita saya yang sentiasa ingin mendekati masyarakat luar bandar dan cuba memahami mereka. Saya tidak pernah kesal dengan kerja saya sebagai Setiausaha Akhbar kepada Yang Berhormat. Malahan kerja ini membuat saya lebih insaf dan sentiasa ingin berkorban untuk melihat kemajuan bangsa di ulu pedalaman yang jauh ketinggalan.

Saya sebenarnya adalah insan yang bertuah kerana mempunyai majikan seperti YB Tan Sri Kurup. Beliau seorang yang sederhana , beliau mempunyai pandangan yang jauh dan reliable apabila ianya menyentuh tentang masyarakat KDM kita yang masih jauh ketinggalan ini. Sebagai contohnya, di Kg Salinatan, penduduk disana dahagakan pembangunan dan kemudahan. YB Tan Sri Kurup berkata, ada dua perkara yang perlu di pertimbangkan oleh penduduk di luar bandar seperti Kampung Salinatan yang terulu dalam Mukim Pensiangan melalui Sungai Saliu.

Pertama, pembangunan tanah yang diperlukan rakyat seperti ladang kelapa sawit atau getah akan dilaksana secara perlahan , ini disebabkan kawasan itu sangat jauh dan kerajaan tidak mendapat pulangan. Bagaimanapun jika masyarakat dapat menunggu dengan sabar, pembangunan seumpama itu akan dapat dilaksana, sama ada hasil di jual ke Indonesia yang lebih dekat atau penduduk menaggung rugi dengan segala kos pengangkutan yang jauh sama ada melalui jalan darat atau sungai.

Kedua ialah , pendekatan berhijrah ke tempat yang lebih dekat dan mempunyai kemudahan melalui konsep agropolitan atau Mini Estet Sejahtera. Bagaimanapun dalam satu pertemuan dengan para pemimpin masyarakat melibatkan Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK, rata-rata mereka berat hati untuk berbuat demikian. Tapi golongan muda menunjukkan minat kerana mahukan kehidupan dan masa depan generasi mereka yang lebih baik. YB Tan Sri berkata, kawasan Tibou di sempadan Tawau adalah tempat yang dimaksudkannya.

Kedatangan saya kali ini ke Kg Salinatan adalah kali yang ke tiga. Pertama dulu saya membawa rombongan RTM Sabah membuat liputan mengenai program pelancongan di kampung itu selama dua malam dan menanti kedatangan mantan Ahli Dewan Rakyat Pensiangan, Datuk Bernard Maraat, kedua ialah semasa lawatan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato Razali Ismail dimana YB Tan Sri sebagai pengiring. Saya mengenali masyarakat di kampung itu dan ada diantara mereka rapat dengan saya.

Tidak banyak yang berubah di kampung ini. Ya…kerana ia sebuah kampong yang sagat jauh. Jika kita menaiki bot ia mengmabil masa sehari untuk tiba.

Keesokan harinya kami bertolak pulang untuk singgah lagi ke sebuah kampung bernama Nangkawangan. Kami tiba di kampung itu pada jam 11 pagi lebih kurang. Dimana kami sempat membantu sebuah lori yang sangkut di tengah jalan.

Majlis di Nangkawangan biarpun sederhana memang meriah. Ada hidangan tapai, jeruk ikan ( pekasam) serta sayur-sayuran tempatan. Bersama dengan pemuda pemudi disana saya memeriahkan diri dengan menyertai mereka menari dan sedikit minum tapai. Saya sempat juga menyanyi lagu-lagu Murut yang saya hafal dan memang lagu wajib saya dimana mana majlis seumpamanya.

Apabila YB Tan Sri mulai menyanyi dan pengerusi majlis umum YB akan pulang. Saya turun dari bangsal itu untuk bersedia untuk pulang. Beberapa rakan yang sudah berhenti minum sedang bersedia masing-masing di kereta. Namun ianya agak lama untuk YB turun dari bangsal itu. Saya mengambil peluang itu dengan bercerita dengan kawan-kawan, dan kemudiannya mengambil gambar di sekitar kampung kerana merasa agak bosan.

Tidak lama kemudian, kereta YB Tan Sri beredar, begitu juga dengan sebuah lagi kenderaan. Kini tinggal kami berempat yang belum pulang. Saudara Steven dan pakcik Undan ditahan di bangsal itu, Chong tidak minum kerana dia Kristian yang baik..: ) beberapa minit mereka tiba dan kami dikelilingi oleh orang kampung. Mereka tidak mahu kami pulang. Tetapi kami harus beredar.

Perjalanan kami yang dipandu oleh saudara Steven amat menyeram dan menakutkan, kerana beliau mabuk. Chong sempat menegurnya tetapi Steven tidak mengendahkannya. Bayangkanlah dalam curam pun dia tekan minyak. Pakcik Undan , bekas penyanyi veteran Murut masih sempat menyanyikan lagu-lagu lamanya. Dalam masa yang sama kereta itu meluncur laju. Perut saya kecut dan kami saling berpandagan dengan Chong.

Saya mulai berdoa kepada Tuhan di dalam hati dan menyerahkan semuanya di tanganNya. Kemudian saya mulai menulis sesuatu ke dalam buku nota saya.ia adalah tentang cinta saya terhadap kekasih saya yang mendalam.

Sebaik sahaja saya menulis nota itu. Pakcik Undan sudah tidur kerana mabuk. Kereta terus meluncur laju dalam menuruni bukit. Dari jauh saya melihat jambatan itu tetapi Steven tidak sempat tukar stering. Akhirnya kerana itu tergelincir dari titian dan terguling sebanyak dua kali dan jatuh ke dalam sungai yang kering.

Semasa saya melihat jambatan dan kelajuan kereta itu saya sudah menjangkan sesuatu. Dan apabila ia tergelincir, seperti nyawa saya juga melayang. Yang saya ingat di hati, “ Ya …oklah” ( maksud saya ialah…ya saya terima jika inilah harinya).

Semasa kereta terguling, saya juga melihat diri saya terguling dalam kereta itu. Kami bernasib baik kerana jendela kereta itu bertutup, jika tidak sudah tentulah kami cedera parah. Apabila saya sedar. Saya buka pintu dan membangunkan pakcik Undan serta Steven. Saya membukakan pintu untuk mereka dan kemudiannya memungut barang-barang kami. Kawan saya yang seorang itu cepat selamatkan dirinya sendiri , dan dalam masa saya sibuk membantu mengeluarkan mereka, dia asyik teriak “ ambil beg saya buang ke atas cepat cepat…,’. Tapi saya tidak endahkannya. Saya katakan padanya, rilek lah.

Setelah selesai, saya naik ke atas bukit dan mendapagti diri saya pening kepala, sakit tangan, sakit pinggang dan juga saya rasakan ada benjol pada kepala.

Tidak ada perkataan lain yang keluar dari mulut saya kecuali bersyukur terhadap Tuhan. Saya bersimpati dengan kereta Steven yang hancur tetapi harta boleh dicari balik, nyawa? Saya bersyukur untuk semua ini, dan ia tidak sama sekali mematahkan semangat saya untuk melalui highway saya ini dengan lebih kerap....