Wednesday, May 28, 2008
Kontraktor yang tamak...
Nabawan : Asrama desa SK Babalitan yang sepatutnya menempatkan seramai 100 penghuni dari rumah-rumah panjang sepanjang sungai Loggongon tidak dapat digunakan. Malang bagi sekolah dibawah guru besarnya Anis Pangias , asrama itu juga telah pun rosak dengan lantai yang telah berlubang dipercayai menggunakan bahan kurang bermutu.
Ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang hanya mahu dikenali sebagai Ngui berkata, beliau dan rakan-rakan telah melawat ke SK Babalitan baru-baru ini dan amat bersimpati dengan apa yang sepatutnya tidak berlaku terhadap bangunan asrama desa yang disalurkan oleh kerajaan untuk membangun dan memaju taraf pendidikan di kawasan luar bandar.
Asrama dua pintu itu belum dihuni secara rasmi dan amat berbahaya untuk berbuat demikian melihat kepada struktur bangunan yang amat menyedihkan. Kata Ngui amat menyedihkan kerana wang kerajaan telah digunakan secara tidak berhemah.
Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup ketika dihubungi berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak kontraktor untuk memastikan kerja-kerja yang dilaksana mengikut spek kerja dengan betul.
“ Saya tidak teragak-agak untuk menyenarai hitamkan mana-mana kontraktor yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan amanah, kita mahu berikan keselesaan dan kemudahan untuk pelajar di luar bandar agar dapat bersekolah dengan mendiami asrama,” kata Kurup. Kampung itu juga mempunyai sebuah asrama desa yang dibina oleh Kelab Lions.
Katanya, beliau mahukan laporan dari Jabatan Pelajaran berhubung dengan projek tersebut secepat mungkin untuk tindakan seterusnya.
SK Babalitan terletak kira-kira 90km atau 1 jam setengah perjalanan dari Nabawan sehingga ke pengkalan jeti Kg.Salong, dan perjalanan sejauh 100km atau 1 jam lagi dari pengkalan jeti ke sekolah tersebut menggunakan bot. SK Babalitan terletak di muara sungai Loggongon dengan kebanyakan pelajarnya adalah dari suku kaum Murut Tagol. Sekolah ini terletak berhampiran dengan sempadan Indonesia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment