Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun berkata, Parti Maju Sabah (SAPP) tetap akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang Dewan Rakyat.
Beliau yang juga Timbalan Presiden SAPP menafikan laporan sebuah akhbar hari ini bahawa beliau tidak pernah menyatakan persetujuan untuk menyokong usul tersebut.
Katanya, apa yang belum pasti sebenarnya ialah masa untuk berbuat demikian.
Menurutnya, mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP sendiri tidak pernah memutuskan untuk mengemukakan usul tersebut semalam.
''Usul itu tetap akan diteruskan tetapi tidak semestinya daripada saya, mungkin juga ada orang lain yang akan kemukakan. Pada masa ini tidak ditentukan bila akan dibuat, kita mencari masa yang sesuai nanti,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau memberitahu, meskipun usul itu tidak dikemukakan pada mesyuarat kedua penggal pertama Parlimen ke-12 yang bermula semalam, tidak semestinya ia tidak akan dikemukakan langsung.
Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, timbul tanda tanya apabila dua Ahli Parlimen dari SAPP iaitu Majimbun dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau) tidak hadir untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Rabu lalu, Teck Lee menyatakan pendirian SAPP bahawa parti itu hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri dan dua ahli Parlimennya akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap beliau.
Mengulas lanjut, Majimbun berkata, meskipun keputusan untuk menyokong usul undi tidak percaya itu mendatangkan risiko terhadap masa depan politiknya, ia terpaksa dilakukan demi kepentingan rakyat Sabah.
Jelasnya, apa yang dilakukan bukanlah untuk kepentingan peribadi atau kerana mendapat tawaran dan sogokan daripada pihak tertentu.
"Apa yang saya buat bukanlah untuk kepentingan peribadi tetapi bagi membela nasib rakyat Sabah," katanya.
Menurut Majimbun, beliau tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat semalam kerana sebab yang tidak dapat dielakkan termasuk faktor keselamatan dan melawat saudaranya yang meninggal dunia.
Berikutan itu, beliau memohon bercuti daripada mengikuti persidangan Dewan minggu ini.
Majimbun turut mengakui menerima panggilan berbentuk ugutan daripada pihak tertentu sejak akhir-akhir ini.
Bagaimanapun, beliau tidak bercadang membuat laporan polis kerana tidak dapat mengenal pasti identiti pemanggil tersebut.
No comments:
Post a Comment