Wednesday, May 14, 2008

HORMATI PERAYAAN KAMI : SAMUIL



KENINGAU: Seorang penduduk kampung yang mempunyai acara tersendiri meraikan pesta kaamatan di rumahnya , didakwa tidak menghormati perayaan itu dan tidak menghormati seorang pemimpin bertaraf menteri ketika acara sambutan perayaan peringkat kampung diadakan di sini minggu lepas.

Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Kiulu Baru, Samuil Dalusim berkata, pihak beliau amat kesal dengan tindakan penduduk yang berasal dari Selangor itu kerana dengan sedar sengaja membuat sabotaj terhadap perayaan yang di hadiri oleh wakil rakyat Sook, iaitu Datuk Ellron Angin.

Samuil yang menemui Daily Express disini pada rabu berkata, sikap yang ditunjukkan oleh penduduk yang yang berkahwin dengan orang tempatan itu bukan sahaja menconteng muka rakyat di kampung itu tetapi secara terangan menghina perayaan masyarakat Kadazandusun-Murut (KDM).

Menurut Samuil pada ketika beliau selaku pengerusi JKKK sedang berucap , orang tersebut memasang lagu karaoke dan menyanyi dengan kuat dari rumahnya yang berhampiran dengan balai raya yang menjadi tempat acara sambutan itu. Katanya, orang itu ( namanya diberi). Sebaik sahaja Pembantu Menteri Pelancongan , Kebudayaan dan Alam Sekitar menghabiskan ucapannya, beliau kemudiannya menghentikan nyanyian karaoke beliau kata Samuil.

“Sebaik sahaja sesi ucapan berakhir , orang itu berhenti menyanyi dan bercakap biar mati anak jangan mati adat, “ kata Samuil yang menganggap tindak tanduk orang tersebut yang bukan KDM sebagai tidak menghormati perayaan majoriti penduduk di kampung itu. Meskipun orang itu dinasihati oleh saudara – saudara isterinya untuk berhenti namun beliau tidak menghiraukannya, kata Samuil. Satu salinan laporan dikemukakan kepada Pegawai Daerah, Jabatan Polis dan Mahkamah Anak Negeri telah dibuat oleh Samuil dan badan JKKK.

Sepatutnya kata Samuil penduduk kampung harus bersatu padu di hari keramaian seperti pesta Kaamatan yang turut dihadiri oleh wakikl rakyat tanpa mengira ideologi politik masing-masing. Tetamu kehormat kami sangat tersinggung dengan apa yang berlaku kerana perbuatan itu dibuat oleh seorang penyokong kuat pembangkang.

Menurut Samuil beliau membuat kenyataan di akhbar kerana tidak mahu ada pihak lain cuba memperlekehkan perayaan besar KDM itu terutamanya di pedalaman yang masih kental dalam memelihara budaya dan adat istiadatnya.

Kata Samuil meskipun terdapat pertelagahan diantara penduduk di kampung itu dengan orang tersebut yang seringkali menimbulkan masalah di kampung itu, beliau seharusnya menghormati sensetiviti masyarakat KDM .

Sementara itu Datuk Ellron Angin berkata, perayaan sepatutnya merapatkan hubungan antara satu dengan yang lain tanpa mengira bangsa , agama dan politik, selain merenung pencapaian di masa lalu untuk mempertingkatkan pencapaian di masa yang akan datang.

Katanya, Perayaan kaamatan sepatutnya menjadi jambatan diantara penduduk untuk sama-sama mensyukuri perolehan di masa lalu, menghentikan politiking dan menumpukan kerja-kerja di hadapan dengan penuh harmoni.

“Perayaan kaamatan bukanlah tempat untuk melepaskan kemarahan. Hormatilah perayaan ini,” kata Ellron.

No comments: