Monday, May 12, 2008

Pengusaha IKS diminta guna pesta perkenal produk



KENINGAU: Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terutamanya dari kawasan luar Bandar dinasihat untuk mengambil peluang mempamer dan mempromosikan produk mereka melalui penyertaan dalam perayaan pesta kaamatan yang kini sedang diraikan di seluruh negeri.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Tan Sri Joseph Kurup berkata, mereka ( pengusaha IKS) harus menggunakan pendekatan dengan mengadakan demontrasi dan pameran di mana-mana pesta yang sentiasa diadakan di negeri ini, kerana melalui cara itu para pelanggan akan mengenali produk yang ditawarkan.
Beliau berkata demikian sempena perasmian perayaan pesta kaamatan peringkat daerah kecil Sook disini ahad. Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin yang juga merupakan Wakil Rakyat Sook, Pegawai Daerah Keningau Haji Zulkifli Nasir dan Ketua Pemuda PBRS Pusat, Vincent Lee.
Kata Kurup , di perayaan seperti kaamatan adalah peluang yang terbaik bagi para peniaga tempatan untuk menonjolkan produk mereka.
Ahli Dewan Rakyat Pensiangan itu berkata, pelbagai usaha sedang giat dijalankan oleh Kementerian beliau untuk membantu dan memajukan kawasan luar Bandar di negeri ini, oleh itu katanya rakyat haruslah berani mencari peluang itu.
Dalam pada itu Kurup melahirkan kekesalan beliau terhadap kegiatan sesetengah penduduk yang masih menjual tanah dan secara berleluasa.
“ Saya kesal kerana masih ada lagi individu yang menjual tanah secara berleluasa dan seolah-olah seperti satu budaya berlaku di kawasan ini, mereka sepatutnya mengusahakan tanah – tanah ini demi kebaikan mereka sendiri, “ kata Kurup, yang merupakan mantan Adun Sook.
Namun Kurup juga turut memuji usaha dan sikap rakyat di kawasan itu yang sentiasa mencari peluang dalam aktiviti peningkatan sosio ekonomi. Ini termasuklah minat para penduduk untuk turut serta dalam penanaman getah , pokok jarak dan sawit secara berkelompok.
Tambahnya beberapa agensi kerajaan di bawah KKLW akan dibawa ke Sabah seperti Felcra dan Risda bagi membantu rakyat di negeri ini meningkatkan taraf ekonomi mereka. Oleh itu katanya, rakyat harus memberikan kerjasama terhadap usaha kerajaan itu demi kebaikan mereka.

No comments: