Tuesday, May 20, 2008

'Marsha kecewa dilabel perempuan murahan!'


dipetik dari Berita Harian

Bintang jelita AF berang ditawar RM6,100 semalam

"TERUS-TERANG saya katakan, saya sudah rimas dengan dakwaan mengatakan saya playgirl apabila sering dikaitkan dengan ramai artis lelaki termasuklah Fahrin Ahmad, Hans Isaac, Mawi, Kefli dan Ramli MS. Lebih menghairankan, saya tidak pernah berhubungan dengan mereka, hanya berjumpa sekali dua menjayakan fotografi, tiba-tiba saja saya dikatakan bercinta dengan mereka. Jadi, saya tak faham, kenapa orang melabel saya playgirl!

Saya dah lali dengan benda-benda macam ni, seperti yang sering dicakapkan kawan-kawan Islam saya, kita harus reda... Apa yang berlaku ini sebenarnya mengundang keresahan, lebih-lebih lagi apabila keluarga di kampung membacanya di akhbar dan majalah, mereka tak suka. Mereka juga akan terkena tempiasnya.

Inilah lumrah kehidupan seorang artis, kita perlu terima. Bukan senang nak bergelar artis, macam-macam tohmahan orang lemparkan pada kita. Kita tak mampu menahannya, melainkan reda saja. Kadang-kadang tu saya malu juga apabila orang lain lebih mengenali diri saya dengan cerita negatif berbanding kerjaya seni.

Tapi, sudah menjadi kelaziman orang-orang kita lebih suka mendengar perihal kehidupan seorang artis, berbanding cerita kerja mereka. Bagi saya, apa yang berlaku pasti ada pro dan kontra, kebaikan serta keburukannya. Keburukannya, orang akan melabel kita dengan macam-macam gelaran, playgirllah, itulah, inilah. Kebaikannya pula apabila orang akan sentiasa mengingati diri kita berbanding dengan artis yang terus jatuh selepas muncul di persada seni. Justeru, gosip-gosip ini ada kalanya membantu, tapi bukan semua! Jika gosip yang keterlaluan, ia boleh membunuh kerjaya seseorang artis itu.

Terbaru, orang asyik bercakap mengenai kisah diri saya apabila menerima tawaran sehingga RM6,100 untuk keluar menemani seorang VIP! Ada kalanya saya terasa diri ini bagaikan call girl, sedih sangat... Saya tak pernah minta perkara itu berlaku, orang itu yang telefon saya. Memang tak dapat dinafikan, ada segelintir golongan VIP ini gemar mengambil kesempatan ke atas artis.

Saya lebih rela bekerja keras daripada menerima sejumlah bayaran daripada mereka (VIP) untuk hidup mewah cara mudah. Terus-terang, saya tak rela dibeli dengan cara menjijikkan itu! Saya kurang pasti, macam mana pihak itu boleh memperoleh nombor peribadi saya. Kejadian itu baru saja berlaku, ketika itu saya baru selesai membuat persembahan untuk satu majlis di sekitar Sunway, Petaling Jaya, bulan lalu.

Ditawar RM6,100 satu malam

SEBAIK selesai persembahan berkenaan, saya terus menerima panggilan daripada seseorang yang menghubungi saya menggunakan private number. Cara percakapannya seperti orang Cina saja. Katanya dia mewakili majikannya yang berhasrat bertemu saya. Katanya lagi, dia sedia membayar RM6,100 dan harga itu boleh dirunding! Dia sanggup up lagi harga!

Mati-mati saya ingatkan bayaran itu untuk show, saya tanya lagi, ini show untuk apa? Dia menjelaskan, bayaran itu bukan untuk show, tapi majikannya hendak berjumpa dengan saya. Satu malam, sekali jumpa, dia nak bayar saya RM6,100. Dia minta saya jangan bimbang, soal harga boleh dirunding lagi. Saya terkejut sampai tak tahu nak cakap apa!

Terus saya katakan pada orang itu, oh sorry, saya bukan Marsha. Kalau ada apa-apa, boleh tak dia berunding dengan pengurus saya? Memang alasan itu tak munasabah, tapi itu saja cara untuk menyelamatkan diri. Seterusnya saya memberikan hand phone kepada pengurus, biarlah dia yang uruskan panggilan tak senonoh itu!

Memang saya marah gila ketika menerima panggilan berkenaan. Tapi, saya tak mampu berbuat apa-apa, saya tak kenal. Saya ingatkan show, rupa-rupanya ada niat kotor! Saya termenung, ada orang sanggup mendekati saya dengan cara begitu.

'Saya bukan pelacur kelas atasan!'

SEBENARNYA mereka tak pernah terfikir, saya ada prinsip hidup, saya tak akan menerima wang sehingga maruah tergadai, saya bukan perempuan murahan! Jauh sekali pelacur kelas atasan!

Sehingga hari ini masih sukar saya nak percaya, orang sanggup menelefon saya, bayar saya sekian-sekian harga semata-mata untuk melepaskan nafsu jahat mereka! Dia tak cakap saya perlu meniduri majikannya, tapi perlu melayan. Itu mungkin bahasa halusnya, cakap saja nak jumpa, tapi selepas jumpa dah terima duit, faham sajalah apa yang mereka inginkan! Sekali lagi, saya bukan perempuan murahan seperti yang disangka!

Selepas kejadian itu, saya belajar menjadi lebih teguh mempertahankan prinsip saya. Maaf, saya tak berminat tawaran seumpama itu. Jangan ingat dengan sejumlah bayaran, saya sedia melayan nafsu lelaki si hidung belang!

Saya tidak mahu masyarakat terus melabel artis kita murahan. Sudahlah orang asyik memberi pandangan negatif terhadap artis, sekiranya terjadi perkara seperti ini (menjual harga diri), lagi teruk perspektif mereka. Nak tidur dengan artis, bayar saja. Tolonglah, jangan anggap artis tiada harga diri!

INFO: Marsha



NAMA PENUH: Marsha Milan Londoh @ Millon Samingau
TARIKH LAHIR: 6 Disember 1985
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
KETURUNAN & AGAMA: Suku kaum Kadazan-Dusun dan penganut Seventh-Day Adventist
ASAL: Tamparuli, Sabah, namun dilahirkan di Amerika Syarikat (AS)
PENDIDIKAN: Sabah Trainning Primary School, Sabah Adventist Secondary School dan Kolej Yayasan Sabah
PENCAPAIAN: Pemenang tempat keempat, Akademi Fantasia 3 (AF3) pada 2005
DRAMA ON-LINE: Kerana Karina dan Kerana Karina 2 mulai 16 Mei lalu menerusi www.gua.com.my
PENGACARAAN: Gaya Ratu sebanyak 13 episod menerusi RTM2 disiarkan sekitar Jun depan
FILEM: Misi 1511
DUTA: Spritzer, Snips dan Nivea
SINGLE: Sayang (duet dengan Ajai) dan Bila Aku Cinta (solo) dimuatkan menerusi album runut bunyi filem Sayang You Can Dance

1 comment:

Anonymous said...

Tunggu album dia ^_^!