Monday, February 23, 2009

Ini dia tukang tirik...Promote kawan dulu...





Keningau : Bermula dengan hanya sekadar suka-suka untuk mengisi masa lapang. Tidak disangka hobi itu membuat beliau dikenali dan kerap dijemput untuk membuat pertunjukan serta persembahan hiburan di sekitar pedalaman.
Nama beliau tidak sebaris nama Peter Lee atau David Blake. Namun di pedalaman, pemuda berusia 29 tahun ini bukan sahaja dikejar untuk mendapatkan ‘ ilmu’ nya tetapi untuk melihat trick yang dibuatnya hingga buat orang tercengang dan meminta beliau mengulanginya semula.
Chivistoh Sittim (Viss) , yang berasal dari Kg Kambizaan, Papar berkata beliau mempelajari silap mata secara suka-suka ketika bekerja di Kuala Lumpur satu ketika dahulu. Menurutnya tempat beliau bekerja iaitu Wizard World Center di Sungai Wang sering menjadi tumpuan pakar silap mata dari seluruh dunia. Secara tidak langsung katanya beliau terdedah dengan permainan itu dan mempelajarinya hanya untuk sekadar hiburan.
Namun dengan perasaan rendah diri , hanya mahu dikenali sebagai Viss, dia memberitahu beliau boleh buat persembahan trick atau magic secara close up atau pentas.
Sebelum berhijrah ke Keningau, Viss mempunyai kumpulan bernama Ace Mage di Kundasang. Kumpulan itu disertai oleh seramai lapan orang ahli dengan kepakaran masing-masing.
“ Ace Mage sering dijemput untuk buat persembahan di sekitar daerah Ranau, sekolah-sekolah , majlis-majlis koperat, majlis biasa, harijadi dan kadang-kadang majlis sekolah,’ kata Viss yang turut mempelajari trick dari kawan-kawan dan seorang sahabat bernama Black ( Kuala Lumpur)
Namun kata Viss beliau terpaksa berpisah dengan kumpulan Ace Mage kerana pulang ke tempat keluarga abangnya di Keningau. Beliau yang membantu abangnya yang menjalankan perniagaan hiburan di Sunsuron AP kadangkala membuat persembahan di pusat hiburan itu untuk menghiburkan pengunjung.
“ Hubungan saya dengan Ace Mage adalah baik dan tidak ada sengketa. Kami saling berhubung tetapi apa boleh buat saya membantu abang saya di Keningau,” kata Viss.
Katanya di Keningau beliau membuat persembahan untuk kawan-kawan dan kadangkala diundang ke majlis harijadi atau pusat hiburan berhampiran. Untuk persembahan pentas yang memerlukan pembantu beliau dibantu oleh anak saudaranya, Allen. Baru-baru ini mereka membuat persembahan sempena sambutan tahun baru dan mendapat sorakan dari pengunjung Sunsuron AP.
Viss berkata beliau boleh membuat sehingga 200 helah menggunakan kad , syiling , kertas atau sebagainya.
Menurutnya tipu helah seumpama itu adalah satu hiburan yang menyeronokkan. Bagaimanapun dengan rendah hati, Viss berkata, beliau masih di peringkat belajar dan sentiasa memperbaiki kemahiran tipu helahnya.
“ Dulu saya melakukannya dengan cara suka-suka sekarang saya mahu serius kerana bidang ini sebenarnya boleh pergi jauh,’ kata Viss memberitahu perancangan masa depannya dalam bidang silap mata.
Katanya , di Sabah bidang tersebut tidak begitu menonjol dan hanya dimainkan oleh sebahagian orang secara serius.
“ Ramai yang tahu buat silap mata atau tipu helah tetapi mereka tidak buat secara serius. mungkin kurang rasa keyakinan terhadap bidang ini,” kata Viss.
Katanya tidak ada masalah baginya untuk membuat persembahan di sekitar pedalaman dan beliau bersedia.
“ Saya seronok melakukannya dan mahu orang terhibur serta melupakan tekanan yang dihadapi,’ kata Viss.
Kepada yang berminat untuk menempah atau mengundang Viss bolehlah menghubungi Alice ( 0138630098) , Rozie (016-8351291) atau datang ke Sunsuron AP.

1 comment:

Anonymous said...

rasanya boleh kasi jumpa dorang ni sama orang kami...

http://magictawau.blogspot.com/