Friday, March 28, 2008

GHAFUR LETAK JAWATAN...


KOTA KINABALU – Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ghapur Salleh berkata, keputusannya meletakkan jawatan semalam kerana tidak mahu terikat dengan peraturan kerajaan yang melarangnya daripada menjalankan perniagaan.
Sebagai anggota Kabinet, Ahli Parlimen Kalabakan itu berkata, banyak peraturan yang mengikatnya dan beliau merasakan adalah lebih baik sekadar menjadi wakil rakyat biasa sahaja.
‘‘Sebenarnya jangan kata jawatan timbalan menteri, jawatan menteri pun saya memang tidak akan terima kerana saya fikir ini suatu tanggungjawab yang besar.
‘‘Saya tidak mahu terikat dengan peraturan kerajaan iaitu saya tidak boleh meneruskan perniagaan dan pelbagai lagi. Saya fikir lebih baik saya menjadi ahli Parlimen dan penyokong kerajaan sahaja,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum berlepas pulang ke Tawau di sini hari ini.
Ghapur, 64, juga menolak dakwaan pihak tertentu bahawa beliau akan menyertai pakatan parti pembangkang.
Tegasnya, prinsip dan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN) tidak harus dipertikaikan kerana beliau masih Ketua UMNO Bahagian Kalabakan dan Ahli Parlimen BN.
‘‘Semua desas-desus tidak benar kerana saya ada prinsip sendiri. Ketika Parti Bersatu Sabah (PBS) memerintah, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Berjaya masuk PBS tetapi saya seorang sahaja tidak mahu. Di situ kita dapat ukur apa pendirian saya,” katanya.
Ghapur memberitahu, surat peletakan jawatan itu telah diserahkannya ke Pejabat Perdana Menteri pagi semalam tetapi beliau tidak menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menjelaskan hasrat tersebut.
Katanya, keputusan itu adalah muktamad dan sebab-sebabnya telah dijelaskan dengan panjang lebar di dalam surat tersebut. Justeru beliau berasa yakin Perdana Menteri akan menerima peletakan jawatan itu.
Peletakan jawatan Ghapur dalam kerajaan bukan yang pertama kali dilakukannya kerana sebelum ini beliau pernah meletak jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan Negeri pada 1997.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini, beliau mengekalkan kerusi Parlimen Kalabakan selepas menang tanpa bertanding selama dua penggal berturut-turut.
Ghapur memberitahu, surat kepada Perdana Menteri itu antara lain mengucapkan terima kasih atas pemilihannya sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kalabakan dan pelantikan sebagai timbalan menteri.
‘‘Sebab lain yang saya berikan ialah saya mahu menumpukan kawasan Parlimen Kalabakan yang terdapat tiga Dewan Undangan Negeri iaitu Merotai, Tanjung Batu dan Sebatik,” ujarnya.
Ditanya mengapa peletakan jawatan itu hanya dilakukan lapan hari selepas majlis mengangkat sumpah, jelasnya, pelantikan sebagai timbalan menteri hanya diketahuinya melalui pengumuman di televisyen dan beliau tidak berkesempatan menyatakan hasrat meletak jawatan itu kepada Perdana Menteri.
Mengenai tindakan itu akan menyebabkan Sabah kehilangan dua wakil dalam Kabinet selepas Datuk Anifah Aman yang turut menolak jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan, Ghapur berkata, beliau tidak boleh mengulas bagi pihak Anifah.
Tambahnya, terpulang kepada Abdullah untuk mengisi jawatan yang dikosongkan itu kerana ia hak Perdana Menteri tetapi beliau berpendapat lebih baik diserahkan kepada ahli Parlimen dari Sabah juga.
Ghapur turut memberi jaminan penyokongnya akan tetap setia kepada UMNO dan BN serta peletakan jawatan itu tidak sesekali menyebabkan mereka berpaling tadah pada parti pembangkang.
‘‘Penyokong saya menyokong UMNO dan BN serta kepada saya sebagai ketua bahagian. Mereka ini tidak susah walaupun saya tiada di dalam kerajaan kerana yang penting ada pembangunan yang boleh saya bawa ke Kalabakan,” katanya.

Peletakan jawatan Ghapur atas sebab peribadi
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, peletakan jawatan Datuk Abdul Ghapur Salleh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar tidak ada kena-mengena dengan soal Ahli Parlimen Kalabakan, Sabah itu hilang kepercayaan terhadap beliau.
Sebaliknya kata Perdana Menteri, keputusan berkenaan dibuat atas sebab peribadi.
‘‘Ia tiada kena-mengena dengan soal itu (hilang kepercayaan). Ini (peletakan jawatan itu) atas sebab yang cukup peribadi,’’ katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT parti itu di sini, hari ini.
Ghapur menyerahkan surat peletakan jawatan berkenaan semalam kepada Perdana Menteri di Putrajaya.
Sambil menjelaskan beliau sudah membaca surat berkenaan, Abdullah berkata, beliau tidak berkesempatan bertemu Ghapur.
“Saya tidak dapat bertemu beliau, sebab terlibat dalam banyak hal. Jadi, beliau tinggalkan surat untuk saya,’’ katanya.
Ghapur merupakan ahli Parlimen kedua dari Sabah dan orang ketiga yang melepaskan jawatan timbalan menteri Pusat setelah pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Sejurus selepas Abdullah mengumumkan barisan Kabinet pada 18 Mac, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan manakala Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar menolak jawatan Timbalan Menteri Luar.

No comments: