Thursday, April 24, 2008

BUKU PERCUMA DI KALIMARAN




KENINGAU : Perpustakaan Negeri Sabah dengan kerjasama Perpustakaan Negara akan mengadakan program “ Buku Teman Saya “ sempena Pesta Kalimaran di Tenom, 26hb bersamaan hari sabtu ini bermula jam 8 pagi. Sebanyak 500 buah buku akan diberikan kepada kanak-kanak dan 100 untuk dewasa secara percuma.

Timbalan Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, Joanna Kitingan berkata, sempena program itu juga satu aktiviti membaca beramai-ramai serentak seluruh negara selama 5 minit akan diadakan di pesta itu. Oleh itu katanya kanak-kanak atau para pelajar setempat adalah dialu-alukan untuk menyertai program sehari itu secara percuma. Seramai 3 peserta akan dipilih untuk aktiviti bercerita bagi memeriahkan lagi Pesta Kalimaran.

“ Banyak aktiviti akan dilaksana oleh perpustakaan seperti roda-roda ilmu dan sudah tentulah kemunculan badut sebagai antara interaski yang boleh dijadikan daya penarik di kalangan kanak-kanak bagi menggalakkan kempen membaca buku,” kata Joanna kepada wartawan.

Terdahulu, Joanna berkata sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk melengkapkan dan membiayai bahan-bahan bacaan di seluruh negeri pada tahun 2007.

Peruntukan itu kata Joanna adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan setempat dan diharap para pengguna memanfaatkan koleksi yang banyak itu sepenuhnya.

Joanna berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Pengguna Perpustakaan Keningau 2007 sempena Kempen Galakan Membaca disini pada khamis.

Katanya, perpustakaan negeri Sabah juga sentiasa mengadakan program-program bagi menggalakan minat membaca termasuklah program pembangunan dan perkhidmatan luar Bandar dibawah Rancangan Malaysia ke – 9.

“Perpustakaan sepanjang 2006-2010 akan terus membina beberapa buah cawangan baru, Perpustakaan Desa Siber Ilmu dan Perpustakaan Bergerak MultiMedia, yang mana kemudahan ini dibuat untuk kegunaan penduduk dan pelajar mengakses maklumat,” kata Joanna. Turut hadir Andi Syiartazni Kamaluddin, Ketua Perpustakaan Wilayah Keningau, Betty Leong dari Gabungan Pelajaran Keningau dan Beatrice Saili, Ketua Seksyen Galakan Membaca.

Dimajlis itu Perpustakaan Wilayah Keningau turut menyampaikan beberapa anugerah kepada para ahlinya. Antaranya anugerah bagi kategori keahlian terbanyak sekolah , pinjaman buku paling aktif, peminjam buku berkelompok, perkhidmatan perpustakaan bergerak yang melibatkan pelajar, sekolah dan orang awam.

No comments: