Thursday, April 24, 2008

Lagi artis bidas AJLTI

Penganjuran anugerah yang dianggap mengambil kesempatan terhadap artis Iban

SIBU: Setelah Andrewson Ngalai, seorang lagi artis veteran Iban Jonathan Jubin menyuarakan pandangan tidak setuju dengan penganjuran Anugerah Juara Lagu Terbilang Iban (AJLTI) 2008, yang dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri serta Bahagian Iban Mirifm.

Menurut Jonathan, mereka yang menganjurkan pertandingan tersebut mengambil kesempatan terhadap artis Iban demi kepentingan diri sendiri, sambil menggunakan acara berkenaan untuk mengumpul dana bagi menjalankan aktiviti mereka.

“Saya minta pihak yang menganjurkan pertandingan mengkaji semula perkara ini,” ujar beliau sambil bersetuju dengan kenyataan Ngalai bahawa penganjuran pertandingan tersebut dijalankan dengan cara yang salah.

Katanya, lagu-lagu yang bertanding pada AJLTI seharusnya dibahagikan kepada beberapa kategori dan bukannya dicampurkan seperti rojak dalam satu kategori sahaja.

“Bagaimana lagu Irama Malaysia boleh ditandingkan dengan lagu Rock atau Dandut. Lagu ini tidak boleh dicampurkan,” ujar beliau sambil menambah, hadiah juga perlu diberikan kepada pencipta lagu selain bagi persembahan terbaik dan vokal terbaik.

Jonathan juga mahu setiap peserta akhir diberi saguhati sekurang-kurangnya RM500 seorang memandangkan artis terbabit terpaksa menanggung sendiri kos yang agak tinggi untuk menyertai pertandingan.

“Ini satu pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Bagi yang menang mereka akan mendapat habuan tetapi bagaimana dengan mereka yang kalah?” soal beliau.

Hadiah berjumlah RM16,900 menanti pemenang dengan juara akan menerima wang tunai RM3,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa beberapa buah lagu yang dipertandingkan pada AJLTI merupakan lagu ciplak.

“Bagi anugerah berprestij seperti ini, lagu yang dipertandingkan mestilah lagu original, begitu juga dengan rentak dan seni kata lagu,” ujar Jonathan sambil menambah tidak semua peminat muzik boleh ditipu.

AJLTI yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Miri pada 26 April ini, menyaksikan 11 buah lagu akan dipertandingkan. Lagu-lagu tersebut dipilih daripada lagu-lagu yang paling lama menduduki carta Lagu Terbilang Iban 95.7Fm, yang disiarkan setiap Jumaat.

Selain mengumpul dana untuk Kelab Sukan dan Rekrasi RTM Miri, 10 peratus kutipan tiket akan disumbangkan kepada Persatuan Ibu Tunggal Miri. Tiket masuk menyaksikan pertandingan ialah RM10.

1 comment:

Gideons said...

setuju....before this we've been invited by mirifm dj to perform for ajl last few months as a 'guest band'...no pay and self funding...and we have to play some other songs from natala and diana with both of them will be vocals...as a bonus, this dj let us play our own iban song...to be clear that we're not a 'band' that plays for other singer...we r own our own...therefore we REJECT