Saturday, April 12, 2008

ADAKAH ANDA LELAKI?

oleh Rozie Jumat




Mutalib tidak serik dengan ugutan danancaman demi kedaulatan negara

Meskipun nyawa terus terancam dengan pendedahan berani melalui buku trilogy mengenai skandal projek IC palsu yang menjadi bahan bukti tentang kewujudan pengundi hantu di kalangan pendatang tanpa izin di negeri ini, Abdul Mutalib Mohamed Daud kini tampil dengan bukunya 007 – Lelaki Malaysia Terakhir.

Pemenang Anugerah Silver Kewartawanan Shell ini yang lebih dikenali sebagai Mutalib MD berkata, kewujudan kewarganegaraan songsang harus ditangani dengan lebih serius melalui penubuhan suruhanjaya sisatan Diraja. Tahun lepas menurut Mutalib MD beliau telah dipanggil ke Dewan Parlimen dan membentangkan affidavit sulit dihadapan jawatankuasa Khas Parlimen mengenai integriti.

Hanya beberapa bulan kata Mutalib, menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok yang mempengerusikan jawatankuasa itu kemudiannya meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut.

007- Lelaki Malaysia Terakhir setebal 530 muka surat itu mendedahkan pemimpin-pemimpin berprofail tinggi yang terlibat dengan pemberian kad pengenalan, turut memaparkan wawancara dengan beberapa orang tahanan ISA yang terlibat dengan aktiviti ini.

Membaca buku ini pasti membuat bulu roma anda meremang sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan tanah air.

Mutalib berkata, kerajaan pusat harus menangani masalah pendatang tanpa izin (PTI) yang semakin meruncing di negeri ini, kerana kebanjiran PTI akan mengugat kestabilan dan keamanan negara. Penulis itu mendakwa kebanyakan PTI ini telah mengambil peranan sebagai pengundi dalam pilihan raya umum Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan melalui satu sindiket.

“Jika pelarian Vietnam di Bidong dikawal ketat oleh pihak berkuasa dan kemudiannya ditutup setelah kerajaan menghantar mereka pulang atau ke negara ketiga yang mengambil mereka,

mengapa pula di Sabah kita tidak mampu berbuat demikian? Di negeri ini PTI nampaknya diberi layanan yang istemewa. Mereka bebas keluar masuk ke pusat tahanan yang dijenamakan namanya iaitu Pusat Penempatan,” kata Mutalib.

Menurutnya, ugutan dan ancaman seringkali diterimanya, dan beliau pernah dikasari malahan dipukul atas pendedahan itu.

“ Ancaman yang saya terima tidak mematahkan semangat saya walaupun menghadapi risiko kehilangan nyawa. Saya berjuang dengan cara saya untuk menyedarkan pihak berkuasa bahawa penyakit PTI yang berlaku sekarang harus ditangani dengan segera sebelum ia bertambah melarat,”.

Penulis kontroversi ini mengupas isu-isu pendatang asing secara naratif dan komprehensif.

“Dengan membiarkan warga asing memperkosa bumi Sabah secara sewenang-wenangnya, apakah kita layak digelar atau mengelarkan diri kita sebagai lelaki,” katanya.

Sebelum ini buku beliau bertajuk IC Palsu Merampas Hak Sabah, Pengundi Untuk Disewa dan IC Projek – Agenda Tersembunyi Mahathir. Sebuah buku beliau telah digunakan sebagai bukti dalam petisyen pilihanraya DUN Likas yang didakwa dicemari oleh pengundi hantu, petisyen itu berjaya yang mana telah menafikan kemenangan Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee.

Mutalib turut mengajak rakyat Sabah untuk bersatu hati menangani masalah pendatang tanpa izin dengan merayu sebuah suruhanjaya siasatan diraja.

Dalam hal lain Mutalib berkata, jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai PTI sempena kunjungan beliau ke Sabah baru-baru ini amat mengecewakan.

“ Pak Lah mahu lebih banyak penempatan dibuat di Sabah, itu bukan caranya,” kata Mutalib yang kecewa masalah yang telah berlarutan sejak 40 tahun itu tidak ditangani dengan cekap dan serius oleh kerajaan pusat.

No comments: