Saturday, April 12, 2008

PBRS TERUS BERDIRI TEGUH BERSAMA BN : KURUP








KENINGAU: Rakyat di negeri ini diminta untuk terus berdiri teguh menyokong kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan tidak terpengaruh tentang dakwaan yang kononnya pembangkang akan mengambil alih pemerintahan.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, senario yang berlaku di semenanjung dan di Sabah adalah jauh berbeza. Bahkan Sabah adalah merupakan kubu kuat BN yang terdiri dari pemimpin yang setia kepada perjuangan parti.

Bagaimanapun katanya PBRS akan memberi fokus untuk memperkuatkan dan memperkasakan lagi barisan kepimpinan parti itu agar apa yang berlaku di semenanjung tidak akan berlaku di Sabah.

Kurup berkata demikian di Majlis Kesyukuran Kemenangan BN di Kg.Baransanon dekat sini. Turut hadir ialah wakil rakyat Sook, Datuk Ellron Angin yang juga merupakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Ketua Pemuda PBRS Vincent Lee.

Pada pilihan raya umum ke 12 lalu PBRS menang tanpa tanding di kawasan Parlimen Pensiangan melalui presidennya Tan Sri Joseph Kurup, dan di N.37 Sook melalui Timbalan Presidennya Datuk Ellron Angian.

Kurup berkata melalui perbincangan antara PBRS dengan Perdana Menteri, PBRS dan parti-parti komponen yang lain telah menyuarakan permintaan rakyat.

“ Kami telah membincangkan banyak perkara dengan Perdana Menteri mengenai isu-isu di Sabah. Perdana Menteri telah berjanji memberikan perhatian dan kami (PBRS) amat berkeyakinan beliau sedang mempertimbangkan kewajaran-kewajaran untuk itu,” kata Kurup yang juga merupakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Katanya, rakyat Sabah telah memberikan mandat yang cukup kuat terhadap kemenangan BN meskipun tidak mendapat 2/3 majoriti, namun mandat itu katanya haruslah dihormati.

Parti pembangkang kata Kurup memberikan gula-gula berupa jawatan Timbalan Perdana Menteri jika mereka menang.

“ PKR banyak berjanji, mereka tidak akan tunaikan,”.

Sementara itu, Kurup berkata PBRS akan menerima apa juga keputusan mahkamah berhubung dengan petisyen yang difailkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Mahkamah Tinggi. Petisyen itu antara lainnya memohon peristiharan kemenangan tanpa tanding BN di Pensiangan tidak sah dan batal.

Kata Kurup yang kalah dalam pilihan raya memang ramai yang tidak puas hati. Sepatutnya mereka boleh menggunakan proses perundangan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati tersebut.

“ Jika mereka ( pembangkang) tidak berpuas hati ikutlah saluran yang betul iaitu melalui mahkamah…jangan guna kekerasan, jangan tumbuk , jangan baling botol,” kata Kurup merujuk insiden beliau dipukul oleh penyokong pembangkang setelah diistiharkan menang tanpa tanding pada penamaan calon 24 Februari lalu

Dalam pada itu Kurup juga berjanji akan memberikan tumpuan untuk membantu rakyat di luar bandar atas kapasiti beliau sebagai timbalan menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Dimana kata Kurup beliau telah diberikan taklimat mengenai tanggungjawab beliau di kementerian persekutuan itu.

“ Kita akan mengkordinasikan masalah-masalah di luar bandar dengan rapi dan berkesan, sekaligus di senaraikan untuk dilaksana secara berperingkat mengikut prosedur kementerian,” kata Kurup

No comments: