Friday, April 11, 2008

PKR Sook akan terus berjuang


KENINGAU : Parti Keadilam Rakyat (PKR) akan memperkasakan jentera parti serta berikrar terus bersama rakyat memperjuangkan hak-hak asasi yang gagal diberi perhatian oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Penyelaras PKR Dun Sook, Paul Gitang berkata, masalah tanah dan kemiskinan tegar masih lagi antara masalah yang perlu di selesaikan oleh kerajaan di kawasan pedalaman seperti Sook.

“ Inilah janji mereka sejak dari dulu lagi. Masalah yang tidak pernah diselesaikan. Bahkan menimbulkan kemarahan dan perasaan kurang senang hati penduduk,” kata Paul.

Bekas guru di Sook itu berkata, sebagai contohnya, sebahagian rakyat di Sook umpama pelarian di negeri sendiri kerana tanah yang mereka duduki sejak zaman moyang mereka berada di bawah status Hutan Simpan. Perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana wakil rakyat yang ada sebelum ini telah bersama dengan rakyat hampir 4 penggal katanya.

Paul berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Bedah Siasat PKR sempena Pilihan Raya Umum Ke - 12 di sebuah resort disini.

Sementara usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan sebenarnya tidak berjaya. Malahan kata Paul rakyat sebenarnya menolak skim yang dibuat oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) yang diterajui oleh mantan pengerusinya, Tan Sri Joseph Kurup yang kini Ahli Parlimen Pensiangan.

Tidak ada yang dapat dibanggakan tentang kejayaan LKTNS di beberapa skim di Sook. Sebagai contohnya kata Paul, peserta Skim Dalit masih lagi dalam keadaan miskin, jalan raya di kampong itu juga masih lagi teruk dan buruk.

BN sepatutnya mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan rakyat di pedalaman kerana mahu kerajaan selesaikan masalah mereka melalui BN. Janji BN untuk menyelesaikan masalah mengenai tanah telah memakan masa begitu lama tetapi tidak pernah menemui realitinya.

Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup baru-baru ini berkata, rasuah adalah diantara penyebab masalah tanah di pedalaman, beliau (Kurup) sudah tahu tetapi tidak berbuat apa-apa untuk membantu kata Paul.

Pun begitu katanya, perbuatan BN yang menakut-nakutkan dan mengugut adalah antara faktor utama pengundi memaksakan diri mereka mengundi BN.

“Mereka (BN) mempolitikkan KWAMP dan menakut-nakutkan ibubapa dimana anak-anak mereka akan kehilangan bantuan itu jika memangkah pembangkang,”

Hakikatnya kata Paul sikap pengundi telah berubah disaat-saat akhir disebabkan budaya kempen BN yang mengugut dan memberi tekanan.


Ditanya apakah yang akan beliau lakukan terhadap pengundi dan penyokong PKR di Sook, Paul berkata beliau akan sentiasa bersama dengan para penyokong PKR dan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap PKR.

“ Kita akan terus aktif memperjuangkan rakyat. Berkhidmat sepenuhnya terhadap masyarakat itu adalah tanggungjawab yang PKR pikul termasuk saya,” ujar Paul.

Dalam pada itu Paul turut berterima kasih diatas sokongan rakyat terhadap PKR. Beliau juga turut mengucapkan selamat berkhidmat dan tahniah diatas kemenangan Datuk Ellron Angin.

No comments: