Friday, April 11, 2008

" Saya Ingat saya sudah mati"....



KENINGAU : “ Saya ingat saya sudah mati…,” ujar seorang mangsa yang kini dirawat di Hospital Daerah Keningau. Awang Jamak, pembantu pemandu keretapi yang berpengalaman sejak 15 tahun itu patah kaki sebelah kiri ketika berusaha menyelamatkan diri dalam saat-saat paling cemas dalam hidupnya.

Menceritakan detik cemas kejadian itu Awang Jamak yang berasal dari Kg. Benoni Papar , menerima kunjungan Ketua Menteri Sabah , Datuk Musa Hj.Aman di wad lelaki disini berkata , keretapi bergerak seperti biasa apabila tiba-tiba menjunam dan jatuh ke dalam air.

Kata Awang, mereka bertiga yang berada di kepala gerabak keretapi terperangkap dalam air dan sukar untuk keluar kerana pintu tertutup.

“ Saya menahan nafas dan mencari jalan keluar. Saya ingat saya sudah mati kerana saya tidak dapat keluar…Saya keluar melalui jendela dan kemudian dibantu oleh orang ramai disekitar tebing sungai , “ kata Awang yang bersyukur selamat dari nahas tersebut.

Menurut Awang beliau telah mula berkhidmat sebagai kakitangan yang dipinjam dari Beaufort sejak setahun yang lalu kerana pada ketika ini kerja-kerja penambahbaikan untuk menaiktaraf rel keretapi dari Beaufort- Tanjung Aru sedang dilaksana.

Ketika ditanya adakah sebelum ini gerabak itu pernah mengalami sebarang kemalangan. Awang berkata sebelum ini gerabak itu pernah mengalami sedikit kemalangan di Batu 62 ½, Beaufort sabtu lalu, dimana ketika itu beliau bertugas. Dan kejadian yang sama berlaku pada jumaat lalu di batu 61 ½ , Beaufort.

“Kali ini ia betul-betul tergelincir dan menjunam..” katanya.

Turut dimasukkan ke dalam wad ialah seorang warganegara Indonesia , Rina Pandi berusia 24 tahun dari Kg. Masak. Beliau yang mengalamai kecederaan dalaman dan tidak dapat bercakap untuk menceritakan pengalaman ngerinya.

Kejadian keretapi tergelincir dan menjunam itu berlaku di Kg.Tenom Lama iaitu kira-kira 4km dari Stesen Keretapi, yang membawa 41 penumpang menuju ke Beaufort. Kejadian itu turut mengorbankan dua nyawa.

Dalam kunjungan itu Datuk Musa Aman turut memberi kata-kata motivasi kepada mangsa. Turut bersama Ketua Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pembangunan Infrastuktur, Datuk Raymond Tan , pembantunya Datuk Raden Maleh yang juga Adun Melalap, Ahli Parlimen Tenom Raimi Ungi , Wakil Pengarah Kesihatan Sabah, Dr.Heric Cooray dan Dr.William Gotulis

Dalam pada itu Musa juga meminta siasatan secara menyeluruh dijalankan bagi mengelak bencana itu dari berulang. Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

No comments: