Thursday, March 28, 2013

PBS KUTUK SERANGAN KE ATAS SABAH

PELANCARAN…Pairin melancarkan Tabung PBS untuk pasukan keselamatan sempena Ulangtahun PBS ke 28 kelihatan sama Henrynus (Setiausaha Agung) , Alimudin (Timbalan Presiden) dan Jahid Jahim (Ketua Pemuda PBS

KOTA KINABALU :  Parti Bersatu Sabah (PBS) mengutuk serangan  yang dilakukan terhadap Lahad Datu dan Semporna oleh penceroboh yang telah mengorbankan nyawa pasukan keselamatan dan mencetuskan  gangguan kepada kenteraman awam.

Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, PBS sangat bersimpati dan bersedih diatas kehilangan nyawa pihak keselamatan berikutan dengan insiden tersebut sebagai satu kemalangan jiwa yang tidak dijangka. Pairin berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Ulangtahun ke 28 PBS di Dewan Ken Hwa disini malam selasa.

“ Tidak dinafikan mereka terkorban kerana mempertahankan negeri dan negara kita, juga mengambil bahagian dalam usaha kerajaan mententeramkan keadaan,” ujar Pairin. Sambutan Ulangtahun PBS ke 28 itu diadakan secara sederhana kerana berkabung untuk memberikan penghormatan terhadap anggota keselamatan negara yang terkorban.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, kejadian yang berlaku di Lahad Datu menunjukkan betapa perlunya bekerjasama dan sebagai penduduk di negeri ini, yang diibaratkan sebagai keluarga, adik beradik agar bersama-sama komited mempertahankan kedaulatan negara bersama dengan pasukan keselamatan

“ Soal keselamatan negara memerlukan kerjasama dari semua rakyat, pasukan keselamatan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” Kata Pairin dan kerana faktor keselamatan adalah antara sebab utama PBS menyertai semula Barisan Nasional (BN).

Beliau turut berterima kasih diatas tindakan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dalam mempastikan kedaulatan negara dipertahankan.

“Kita doakan penyelesaian akan diperolehi secepat mungkin untuk mengembalikan ketenteraman dan keselamatan awam kerana pihak keselamatan telah membuat tindakan terhadap penceroboh yang mencemarkan kedaulatan negara kita,” kata Pairin.

Katanya, apa yang dialami oleh rakyat Sabah kebelakangan ini berikutan dengan pencerobohan itu menguji cinta dan kasih sayang kepada negara  antara satu dengan yang lain.

PBS 28 TAHUN…Presiden PBS , Pairin dan barisan kepimpinan PBS
 memotong kek peringatan ulangtahun PBS 
“ Mari terus bersatupadu, berganding bahu dalam mempastikan negeri dan negara kita aman, damai dan maju, ini adalah tanah tumpah darah kita dan  kita adalah rakyat Malaysia yang mahukan masa depan yang lebih baik dari yang sudah-sudah, oleh itu berganding bahu dan bekerjasama adalah asasnya,” kata Pairin. Hadir sama Timbalan-Timbalan Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) kepimpinan parti berkenan.

Pairin turut mengucapkan penghargaan diatas kesetiaan dan komitmen para ahli yang sentiasa bersama dalam perjuangan dan hala tuju parti berkenan.


“Perjuangan kita banyak liku-liku dan cabaran yang kita atasi   dan alami  bersama, saya mengharapkan walapun cabaran yang kita hadapi jangan berputus asa, kuatkan semangat demi perjuangan dan masa depan,” kata Pairin. Beliau turut mengingatkan para ahli agar terus  bersatu padu dan waspada kepada anasir pecah dan perintah. 

No comments: