The Borneo Post
Pelajar guna blog untuk buli, luah perasaan tidak puas hati terhadap guru
MIRI: Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Lee Kim Shin menyelar tindakan para pelajar yang menggunakan laman blog untuk membuli dan meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap guru mereka.
Beliau berkata, tindakan itu jelas menunjukkan mereka tidak mempunyai disiplin dan sikap hormat menghormati terhadap golongan dewasa khususnya guru yang memberi didikan dan tunjuk ajar.
“Saya ada menerima laporan terdapat segelintir pelajar menggunakan blog untuk memaki hamun dan mengutuk guru yang mereka tidak suka.
“Perbuatan menyalah guna internet ini harus dihentikan atau tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bersalah,” katanya semasa merasmikan majlis Penyampaian Anugerah Bintang Setia Guru (BSG) dan penyampaian Insentif Aka-demik Cemerlang Anak-anak Ahli Kesatuan Guru Sarawak (STU) Bahagian Miri di sebuah hotel semalam.
Menurut Lee, baru-baru ini seorang pelajar di Miri ditahan polis kerana menggunakan blog untuk mengugut hendak membunuh seorang guru di sini.
Beliau yang kesal dengan tindakan pelajar berkenaan sehubungan itu, menyeru golongan pendidik agar lebih komited dalam menerapkan semangat bertanggungjawab dan beretika di kalangan pelajar.
“Kita harus beri kesedaran dan didikan sepenuhnya agar para pelajar terutama yang bermasalah tidak terus ‘hanyut’ dalam masalah.
“Guru-guru harus menasihat dan beri maklum balas terhadap apa jua permasalahan mereka,”kata Lee.
Dalam pada itu, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau kegiatan anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat.
“Ibu bapa harus beri soko-ngan dan motivasi kepada guru-guru agar mendidik anak-anak mereka dengan penuh tanggungjawab.
“Bukan sikit-sikit pergi balai polis buat aduan itu dan ini,”kata Lee sambil menambah ibu bapa harus menghargai semangat serta kesungguhan guru-guru untuk mendidik anak mereka.
Mengenai STU, Lee berharap lebih ramai guru di bahagian Miri mendaftarkan nama mereka dalam kesatuan supaya suara dan perjuangan mereka dapat didengari dan dirasai.
“Untuk menjadi kuat dan dihormati, guru-guru hendaklah bersatu.
“Kesatuan harus menjadi tempat bersatu terutama sekali STU yang sudah sedia besar keahliannya serta mantap pengurusannya di samping ahli-nya yang pelbagai kaum.
“Kerajaan amat berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh STU dalam menjayakan visi dan misi pendidikan di negara ini lebih-lebih lagi dengan cara dan sikap STU dalam mengemukakan panda-ngan dan tuntutan,” katanya.
Lee turut mengumumkan peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 bagi menyokong kegiatan dan aktiviti STU bahagian Miri sepanjang tahun.
Pada majlis yang sama, Lee turut menyampaikan Anu-gerah BSG kepada 44 guru yang bersara antara Mei 2006 hingga Disember 2008.
Hadir sama Naib Presiden STU Zon Utara Vincent Huang Huat Choon dan Pengerusi STU Bahagian Miri Jalong Wan.
No comments:
Post a Comment