Monday, May 5, 2008

Rakyat Keningau kemuka memorandum 'halau' PTI




Keningau : Keluhan rakyat tempatan di daerah ini mengenai ancaman kebanjiran pendatang asing yang dikatakan berada di tahap kritikal akan disampaikan kepada pihak kerajaan melalui satu memorandum yang bertujuan untuk mendesak pihak berkuasa bertindak segera menangani masalah tersebut.

Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan W.P Labuan (CASH) , Datuk Patrick Sindu, berkata kehadiran pendatang di daerah ini telah mendatangkan masalah sosial, peluang perniagaan, selain menyebabkan daerah ini sebagai sebuah tempat yang paling kotor dengan parit tersumbat dengan plastik dan sampah sarap yang bertaburan.

“ Apa yang saya lihat di Keningau ialah kegagalan pihak berkuasa dalam menangani perlbagai masalah yang timbul , penguatkuasaan yang tidak efektif dan tidak berkesan,” kata Patrick yang telah membuat pemantauan selama 2 hari termasuk menemuramah orang ramai berkaiatan dengan pelbagai masalah kepenggunaan di sini.

Hasilnya kata Patrick ialah beliau begitu terkejut dengan peranan pendatang asing berniaga secara berleluasa dan bergerak bebas. Sementara banyak kedai yang menjual barangan luput tarikh , premis makanan kurang bersih dan peluang pekerjaan diambil alih orang asing.

Atas kegagalan itu kata Patrick pihak beliau dan rakyat di pedalaman akan membuat petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sekiranya kerajaan tidak berbuat sesuatu selepas 100 hari penyerahan memorandum ‘ Keluhan dan Aspirasi Rakyat Keningau’.

“ Orang ramai terutamanya rakyat tempatan malahan para peniaga di pekan ini merasa terancam, malahan peluang perniagaan di pasar malam telah dimonopoli oleh pendatang asing, yang menguris perasaan anak-anak asli di negeri ini yang sepatutnya lebih berhak,” , kata Patrick yang melahirkan kekesalan terhadap wakil-wakil rakyat di kawasan ini yang dikatakan gagal mendengar suara rakyat terutamanya mengenai soal pendatang asing yang menimbulkan ketakutan orang tempatan.

Bersama beliau membuat tinjauan ialah Penyelaras CASH Keningau , Padris Sitim dan Penyelaras Bingkor, Michael Lundi.

Kata Patrick, pihak CASH dan masyarakat daerah ini akan mendesak kerajaan untuk membuat tindakan dengan menyerahkan memorandum kepada wakil-wakil rakyat, ketua menteri, Agong dan Perdana Menteri setelah berjaya mengumpul banyak tandatangan dari orang ramai yang menyokong usaha tersebut.

Dan jika kerajaan masih tidak berbuat sebarang tindakan kata Patrick, pihak Cash akan menyaman kerajaan negeri dalam masa 100 hari selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Ketika ditanya apakah kredibiliti Cash untuk menyaman kerajaan berkenan dengan masalah itu , Patrick berkata, terdapat peruntukan dalam kerajaan Persekutuan dan melalui Suhakam membolehkan rakyat menyaman kerajaan kerana hanya itu sahaja cara terbaik setelah banyak yang telah disuarakan tidak diendahkan.

Dalam pada itu Patrick juga berkata hasil daripada responden secara rambang , rata-rata mereka ( peniaga / orang ramai) menyalahkan penguatkuasaan yang lemah dan pihak berkuasa tempatan adalah gagal.

Rakyat di pedalaman menuntut penguatkuasaan yang telus dan berintegriti dalam menangani masalah ini dari berlarutan sehingga tidak boleh dikawal, kata Patrick.

Sehubungan dengan itu kata Patrick, CASH mencadangkan agar ahli-ahli majlis daerah atau perbandaran dipilih melalui pungutan suara atau di undi.

Kaedah yang dipraktikkan oleh pihak kerajaan pada ketika ini ternyata tidak banyak membantu kerana kebanyakan ahi majlis adalah terdiri dari lantikan politik yang tidak mampu bersuara dan suara mereka terhad.

Dalam pada itu Penyelaras CASH Keningau, Padris Sitim menggesa rakyat di pedalaman untuk memberi sokongan terhadap memorandum itu.

“ Kami mengalu-alukan penyertaan masyarakat di pedalaman kerana kita mahu kehidupan yang lebih selamat dan tidak terancam seperti apa yang berlaku sekarang,”.

No comments: