Monday, May 5, 2008
Membaca Minda Tan Sri Joseph Kurup
Oleh Rozie Jumat
Pada 4 Mei 2008 yang lalu saya berkesempatan bersama-sama dengan YB Tan Sri Joseph Kurup (TSJK) iaitu Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan YB Datuk Ellron Angin, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dalam satu majlis perasmian Balai Raya Kg.Penagatan Laut, Keningau.
Saya tertarik dengan inti ucapan YB.TSJK yang begitu kecewa dengan sikap sebahagian rakyat di Sook, terutamanya ketika menghadapi pilihan raya umum ke 12 baru-baru ini.
Kata TSJK sepatutnya sebarang rasa tidak puas hati sepatutnya disuarakan melalui saluran yang betul seperti melalui Badan Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK), dan bukannya menunggu ketika pilihan raya untuk menghentam kerajaan.
Yang menariknya TSJK yang selalu mendapat kritikan hebat di kawasannya kerana sikap beliau yang dikatakan disebabkan oleh isteri beliau yang sombong. Pada saya, rakyat silap menilai sikap TSJK kerana beliau seorang yang prihatin dan sebenarnya mudah mesra. Mungkin hanya kerana imej beliau dan bagaimana beliau digambarkan selama ini.
Memang ada logiknya TSJK menasihati rakyat di kawasan itu agar berani bersuara kepada kerajaan melalui badan JKKK atau wakil-wakil rakyat yang mereka telah berikan mandat. Apa yang mengecewakan kata TSJK ialah rakyat telah dipengaruhi oleh segelintir manusia yang memesongkan fakta. Dalam usaha memenangi hati pengundi kata TSJK pihak pembangkang memainkan pengaruh dan sentimen yang sebenarnya tidak berasas.
Malahan yang paling mencabar kata TSJK ialah apabila calon Barisan Nasional (BN) dikatakan mengambil tanah penduduk kampung. Tuduhan tidak berasas dan apabila habis kempen mereka tidak tampil mengemukakan bukti katanya.
“ Siapa pun tidak boleh menyelesaikan sebarang masalah pada ketika sebuah kerajaan sedang dipilih melalui pilihan raya,” kata TSJK yang masih terngiang-ngiang di benak fikiran saya.
Saya sangat bersetuju dengan saranan dan gesaan beliau agar rakyat menggunakan waktu ini iaitu dalam masa 5 tahun ini untuk menyuarakan suara mereka. Jangan biar tersekat kerana itu akan menghalang sebenarnya rakyat dari berpartisipasi dalam kemajuan dan pembangunan kawasan.
Sebagai rakyat di kawasan luar Bandar, cabaran besar TSJK adalah amat besar. Antaranya ialah berkenan dengan masalah tanah.
Saya berpengalaman bekerja di pedalaman seperti di Daerah Kecil Sook, Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan. Ramai rakyat berlumba-lumba membuat permohonan tanah (PT) namun , belum sempat tanah itu mendapat komen dari pejabat tanah, ada diantara pemohon ini menjual tanah dengan harga antara RM500 seekar.
Saya pernah ditawarkan untuk sebuah kawasan tanah seluas 15 ekar dalam Mukim Dalit. Tanah itu cantik, boleh buat kebun buah-buahan , getah ataupun paling-paling untuk tempat memelihara lembu. Namun saya terpaksa menolaknya meskipun harga yang ditawarkan sangat murah kerana
1. tanah itu masih title PT
2. tanah itu dijual secara lisan dan ramai yang telah membelinya secara bertindih
3. tanah itu dikatakan berada di dalam tanah simpan Mandalom.
ya, meskipun terdapat surat perjanjian berkenan dengan pembelian, iamasih tidak akan dapat membantu saya sebagai pembeli. dan saya sangat ragu untuk mendapat tanah itu kerana berhadapan dengan banyak masalah.
Saya bersetuju dengan TSJK apabila beliau menyatakan adanya segelintir manusia yang mengumpulkan borang-borang permohonan PT , kemudiannya dijual kepada syarikat-syarikat besar lalu dibangunkan dengan penanaman kelapa sawit.
Tetapi malangnya gesaan TSJK yang sebelum ini sebagai adalah ADUN bagi Sook, kini Ahli Dewan Rakyat 182 Pensiangan, untuk memajukan tanah-tanah ini dengan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) tidak disenangi oleh rakyat.
Kononnya skim itu tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat. Saya sering ke kawasan Dalit dan melihat orang-orang disana mendapat pekerjaan melalui skim itu, mereka mampu membeli kereta atau motosikal, mereka berjaya membina rumah yang lebih baik, dan mereka juga mampu menyekolahkan anak-anak mereka. Justeru itu jika ditanya tentang kegagalan skim itu saya sendiri belum melihatnya.
Berbalik kepada TSJK tadi, saya dapat merasakan betapa murninya hati beliau untuk melihat rakyat di kawasannya iaitu Pensiangan dibangun dan dimaju. Namun rakyat juga harus menerima perubahan dan membuat pendekatan baru iaitu saling bekerjasama dengan kerajaan , mengurangkan politicking dan lebih agresif untuk menyuarakan suara mereka melalui saluran yang tepat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment