KOTA KINABALU - Rakyat Sabah diminta supaya tidak memberi perlindungan dan pekerjaan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) supaya usaha mengurangkan PATI di negeri ini dapat dilaksana dengan lancar dan berkesan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Radin Malleh berkata, kerjasama itu amat diperlukan kerana sebelum ini terdapat masyarakat setempat melindungi PATI sehingga menyukarkan tindakan kerajaan.
"Kita memerlukan kerjasama rakyat tempatan dengan memberi maklumat tentang PATI dan bukan memberi perlindungan dan pekerjaan kepada mereka," katanya ketika menjawab soalan lisan Dr. Joachim Gunsalam, (BN-Kundasang) pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
Joachim menanyakan jumlah sebenar PATI yang sedang bekerja di Kundasang dan tindakan yang telah, sedang dan akan dilakukan kerajaan untuk mengatasi masalah kebanjiran PATI di seluruh Sabah.
Radin berkata, kerajaan melalui kerjasama pihak polis, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Ketua Menteri, Angkatan Relawan Rakyat, Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah dan Labuan sentiasa menjalankan operasi membanteras PATI.
Terbaru katanya, seramai 1,487 PATI diperiksa melalui satu operasi pada 14 hingga 16 Februari lalu dan 68 orang daripadanya ditahan di bawah Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959 dan 1963.
Jelasnya, usaha membanteras PATI di Sabah tidak tertumpu di satu-satu kawasan sahaja tetapi ia meliputi semua tempat sama ada di bandar atau di luar bandar.
Katanya, operasi giat dilakukan di premis perniagaan, kawasan kediaman, kebun termasuk sekatan jalan raya dan pemeriksaan di tempat-tempat yang dikenal pasti menjadi tumpuan PATI.
No comments:
Post a Comment