Tuesday, May 6, 2008

SDC terima pelaburan RM15 bilion

KOTA KINABALU- Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah menerima pelaburan projek berimpak tinggi syarikat-syarikat utama termasuk syarikat milik kerajaan negeri berjumlah kira-kira RM15 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, syarikat tersebut iaitu Kumpulan Yayasan Sabah, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) dan Sawit Kinabalu yang akan berperanan sebagai agensi peneraju.

Menurut beliau, syarikat-syarikat utama sebagai penyokong pula ialah Petronas, Sime Darby, Kumpulan Suria serta agensi-agensi Felcra, Felda, Lembaga Kemajuan Tanah Sabah dan Lembaga Industri Getah.

''Syarikat ini telah menyediakan rancangan masing-masing bagi beberapa projek berimpak tinggi untuk melabur dalam SDC dengan jumlah anggaran pelaburan bernilai RM15 bilion setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab serentak soalan lisan Datuk Louis Rampas (BN-Kiulu), Mohd. Ariffin Mohd. Arif (BN-Membakut) dan Justin Guna (BN-Bingkor) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Musa berkata, projek berimpak tinggi itu meliputi sektor utama dalam program Hala tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah seperti pembinaan pusat konvensyen dan peranginan, penanaman makanan, peladangan getah dan jatropha, ternakan ruminam dan akuakultur, pemerosesan biodiesel serta pengeluaran minyak dan gas asli.

Katanya, beberapa syarikat lain seperti Kumpulan UEM Berhad, Taman Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Marditech Corporation juga menunjukkan minat untuk terlibat dengan pembangunan SDC.

Begitu juga dengan beberapa agensi Persekutuan seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang kini dalam perbincangan untuk terlibat dalam bidang pembangunan modal insan dan usahawan baru.

''Minat untuk terlibat dalam SDC turut dinyatakan oleh wakil-wakil beberapa kedutaan asing di Malaysia termasuk Denmark, Perancis, Brunei, Korea dan Jepun.

''Selain itu, pelabur dari Indonesia, Filipina, Taiwan, Australia dan Timur Tengah juga menunjukkan minat melabur dalam sektor pelancongan, agro-industri serta minyak dan gas asli," ujar beliau.

3 comments:

Anonymous said...

Jika semua ini berjalan lancar, peluang pekerjaan di Sabah akan bertambah dan sudah sampai masanya untuk kita mengurangkan pengambilan PATI atau pekerja asing. Saya juga terlibat kerana saya berperikemanusiaan cuma saya juga takut pada undang-undang yang tidak mengenal Perikemanusiaan.

Anonymous said...

Rozie / albert
check www.royalsulu.com
TQ

Anonymous said...

Senoga SDC ini tidak menjadi mimpi buruk masyarakat anak negeri sabah- saya hanya takut kalau pembangunan koridor yang di berikan oleh kerajaan adalah persediaan membekalkan tempat tinggal masyarakat tempatan iaitu di koridor @ kaki lima bangunan2 kerana pada masa itu orang kampung tidak lagi mempunyai tanah dan rumah kerena kawasan/tanah diambil sebagai tapak/pelaksanaan KORIDOR pembangunan....Fikir-fikirkan lah wahai anak watan sabah terutama KDM