Tuesday, April 15, 2008

Lelaki juga hidap barah payudara

dari Media Permata, Brunei Darusalam

Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Jumlah penghidap barah payudara di negara ini semakin meningkat dari setahun ke setahun iaitu daripada 32 orang pada 2004 menjadi 44 orang pada 2005, meningkat lagi kepada 49 orang pada 2006 dan pada tahun lalu seramai 62 orang.
Daripada 62 orang penghidap barah itu tahun lalu, 47 orang Melayu, 10 orang Cina, empat orang puak asli dan seorang lagi bangsa lain, dedah pengerusi Kumpulan Sokongan Barah Payu Dara (Breast Cancer Support Group - BCSG) Hajah Jaliha Haji Momin hari ini.

Beliau memberitahu fakta itu dalam persidangan media mengenai walkaton, Walkathon - Walk For Breast Cancer yang buat pertama kalinya diadakan oleh BCSG pada 4 Mei 2008 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Acara itu diadakan bagi mengutip derma tabung pertubuhan berdaftar berkenaan serta membangkitkan kesedaran mengenai wujudnya barah payudara dan peranan BCSG di negara ini.

Beliau mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam walkaton itu bagi sama-sama menyokong inisiatif BCSG membantu penghidap barah payudara di negara ini melalui sumbangan derma ikhlas.

Kad derma akan diedarkan sempena acara itu selain penyediaan kotak tabung pada hari walkaton.

Walkaton sejauh 3 kilometer bagi perempuan dan 5 kilometer bagi lelaki itu turut bertujuan menyebarkan maklumat dengan penyakit berkenaan termasuk cara mengesannya di peringkat awal, jelasnya.

Mengenai barah payudara, menurutnya penyakit itu dapat dielakkan ataupun dikawal jika dapat dikesan di peringkat awal, tetapi kebanyakan wanita kurang tahu cara dan tindakan yang perlu diambil bagi mengetahui dan mengenal pasti tanda-tanda awal barah itu.

Beliau menasihati kaum wanita yang mempunyai tanda-tanda atau sudah menghidapinya jangan menolak hakikat atau tidak mahu percaya bahawa dirinya mempunyai tanda-tanda awal berkenaan.

Pada peringkat awal, katanya wanita berkenaan tidak akan mengalami tanda-tanda kesakitan, cuma mereka dapat merasakan seperti benjol dalam payudara mereka yang akan dapat dikesan sendiri melalui teknik pengesanan yang betul.

Jika seseorang itu menunggu rasa sakit kemudian baru berjumpa doktor, dikhuatiri barah berkenaan sudah merebak ke organ-organ lain dalam badan seperti paru-paru, ketiak dan organ lain yang berhampiran dengan payudara.

Penyakit itu jika dibiarkan boleh menyebabkan komplikasi lain selain mengurangkan kadar survival pesakit berkenaan, jelasnya.

Beliau juga mendedahkan barah payudara bukan hanya dialami oleh kaum wanita namun turut berlaku kepada kaum lelaki dan beberapa kes sudah berlaku di Brunei.

Bagi memberi kesedaran kepada rakyat dan penduduk di negara ini mengenai barah payudara, BCSG ditubuhkan pada 16 September 2001 yang kemudiannya didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan rasmi pada 14 Oktober 2004.

Pertubuhan itu ditubuhkan untuk memberi sokongan kepada pesakit barah payudara yang terselamat dan kaum keluarga dari segi emosi, menyediakan kaunseling, maklumat yang betul dan membantu mereka mencapai pemulihan maksimum secara fizikal, psikologi dan kosmetik.

Ia turut membuka ruang kepada para wanita berkongsi pengalaman masing-masing dan membantu dalam perkara-perkara yang menjadi kekhuatiran, ketakutan, kekecewaan dan pemahaman kepada penyakit serta pelbagai rawatan yang ada bagi menangani penyakit berkenaan.

Hajah Jaliha berharap lebih ramai lagi pesakit barah payudara yang terselamat dan sukarelawan tampil menjadi anggota BCSG yang ketika ini hanya 54 orang.

Keterangan lanjut mengenai walkaton boleh didapati dengan menghubungi Hajah Jaliha di talian 8621721.

1 comment:

Anonymous said...

BERJAGA-JAGA UNTUK SEDIA TANGKAP SI PEROGOL BERSIRI YANG SEDANG BOLOS BUAT MASA INI DI SEKITAR KENINGAU..

FRESH NEWS FROM TV3..

SEORANG PELAJAR IPT KK TELAHPUN DIROGOL KERANA DICULIK KETIKA BERJALAN KAKI DIA DI TARIK KE DALAM KERETA LALU DICULIK 9 JAM UNTUK DIROGOL..

WHAT HAS HAPPEN IN OUR STATE TODAY??