Oleh ‘Deep Throat’ Sabah
Persatuan Skim Pekebun Kecil Tingkayu Kunak (PSPKTK) dalam mesyuaratnya pada 13 April 2008 telah sebulat suara memberi ultimatum notis 48 jam kepada Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Kunak (SKPTTB) untuk meninggalkan kebun mereka yang diceroboh atau menghadapi tindakan kekerasan.
Pengerusi PSPKTK, Yadum Atihal menggesa SKPTTB menghormati injunksi mahkamah dan tidak membiarkan para pekerjanya yang diketuai oleh Alimudin Mohd Ajay melakukan tindakan di luar batas undang-undang seperti jenayah mengugut dengan senjata api, mencuri buah kelapa sawit milik pekebun kecil dan memusnahkan harta benda.
“Kami telah sebulat suara sepakat memberi notis 48 jam daripada tarikh notis berkenaan disampaikan kepada SKPTTB dan Konsol Indonesia,” ujar Yadum selepas menyampaikan notis bantahan kepada wakil Konsol Indonesia di Tawau berhubung pencerobohan lebih 100 pendatang asing tanpa izin pada jam 11.30 pagi kelmarin.
Notis berkenaan disampaikan Setiausaha PSPKTK, Richard Mekules kepada wakil Konsol Indonesia, Zulkarnain di perkarangan Wisma Indonesia, Tawau dengan disaksikan wakil media dan pekebun kecil.
“Selepas tempoh tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengusir mereka keluar daripada tanah berkenaan, termasuk menggunakan kekerasan,” ujar Yadum yang kesal dengan pihak penguatkuasa undang-undang seolah-olah lumpuh kerana gagal membendung kegiatan jenayah yang berleluasa di Kunak, terutama dengan kehadiran ramai pendatang tanpa izin.
Menurut Yadum, pihaknya telah terlalu lama bersabar dengan karenah SKPTTB yang menggunakan samseng dan pendatang asing untuk menceroboh tanah milik peserta PSPKTK dan merampas hasil pertanian.
Memandangkan kes berkenaan masih dalam pertikaian mahkamah, Yadum menggesa agar SKPTTB tidak melakukan sesuatu tindakan di luar batas kemanusiaan dengan mencabul hak asasi manusia.
“Mahkamah memutuskan kami yang berhak ke atas hasil pertanian kami dan SKPTTB tidak boleh mendakwa tanah tersebut milik mereka sehingga kes ini diputuskan dalam perbicaraan kelak,” ujar Yadum yang kesal dengan sikap Polis Diraja Malaysia yang seolah-olah menutup mata di atas kezaliman yang dilakukan SKPTTB sekalipun ahlinya telah membuat lebih 40 laporan polis.
Tegas Yadum lagi, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Clement Skinner telah meluluskan injunksi kepada pekebun kecil untuk mencegah Defendan Pertama (Syarikat Kerjasama Perkembangan Tanah Tingkayu Berhad) sama ada bagi pihak mereka sendiri, kakitangan, pekerja atau agen atau sesiapa sahaja daripada menghalang Plaintif memasuki atau keluar daripada tanah tersebut dan menuai tanaman mereka di situ dan atau Defendan Pertama daripada meminta, mengambil atau menerima milikan kosong tanah tersebut yang kononnya diberi kepada Defendan Pertama di bawah geran CL 245361951 sehingga pembicaraan tindakan ini atau perintah lanjut oleh Mahkamah ini.
Dalam pada itu, selepas memfailkan notis bantahan rasmi di Konsol Indonesia Tawau, para pekebun kecil turut membuat laporan polis terhadap tindakan SKPTTB memasang papan tanda yang mendakwa tanah berkenaan milik mereka sekalipun bercanggah dengan arahan mahkamah.
“Kami membuka papan tanda yang dipasang di tanah yang menjadi pertikaian dan menghantarnya ke balai polis Tawau kerana tidak yakin dengan kredibiliti polis Kunak,” ujar Yadum lagi.
Pandangan Yadum turut dikongsi bersama oleh lebih 40 pekebun kecil yang pernah membuat laporan polis apabila mereka secara sepontan mem “boo” Ketua Polis Daerah Kunak, Dingka Utoh apabila Ketua Balai Polis Tawau bertanya kenapa tidak membuat laporan di Balai Polis Kunak.
Sementara itu, siasatan Malaysia Today mendapati seorang penjenayah yang dikehendaki oleh Polis Indonesia dan Interpol, Udin Jambang telah diupah oleh Inspektor Tanah SKPTTB, Alimudin Mohd Ajay untuk menyediakan pakej kawalan keselamatan agar pihaknya boleh mencuri buah kelapa sawit milik pekebun kecil.
Bagaimanapun agak mengejutkan kerana Udin Jambang dan Alimuddin sering kelihatan bersama pegawai kanan polis Kunak termasuk Ketua Polis Daerah di tempat awam termasuk di Restoran Vui Kee sekalipun lebih 25 laporan dibuat terhadap Alimudin dan Udin Jambang.
No comments:
Post a Comment